Skip to main content

Singapura

Pasaran kerja berdaya saing dorong lebih ramai penuntut SG jalani lebih banyak latihan amali

Anggaran Waktu Membaca:
Pasaran kerja berdaya saing dorong lebih ramai penuntut SG jalani lebih banyak latihan amali

(Gambar: TODAY/Ili Nadhirah Mansor)

Diterbitkan : 09 Oct 2024 11:04AM Dikemas Kini : 09 Oct 2024 11:08AM
SINGAPURA: Mahasiswa sains komputer Justin Teo sedang menjalani latihan amali keduanya – namun, beliau bukanlah satu-satunya pelajar yang melakukan sedemikian.

Dia memerhatikan bahawa lebih ramai rakan sebayanya mengikuti latihan amali, walaupun universiti mereka hanya memerlukan pelajar untuk melengkapkan satu sahaja latihan amali sebelum tamat pengajian.

Pelajar tahun ketiga di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) itu mengaitkannya dengan keinginan untuk lebih menonjol dalam pasaran kerja yang semakin berdaya saing, serta ingin mempunyai pengalaman yang pelbagai sebelum menamatkan ijazah mereka.

Lebih separuh pelajar universiti yang menamatkan pengajian tahun lalu turut mengikuti beberapa latihan amali, menurut statistik Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS), SMU dan Sekolah Perniagaan Universiti Nasional Singapura (NUS)

Kira-kira 80 peratus pelajar di SMU dan Sekolah Perniagaan NUS menjalani lebih daripada satu latihan amali tahun lepas, manakala 58 peratus melakukannya di SUSS.

Bagi Teo, dia mengambil bahagian dalam latihan amali kejuruteraan perisian, yang memberi tumpuan kepada mereka bentuk dan membangunkan huraian perisian - termasuk semasa beliau berkhidmat di Mavericks Consulting.

Program elektif belajar-kerja selama 20 minggu itu direka untuk menggabungkan pembelajaran bilik darjah dengan pengalaman dunia sebenar. Selepas bekerja, dia sering menghabiskan malamnya untuk mengahbiskan projek sekolah.

"Saya rasa apa yang mendorong saya untuk mengambil beberapa latihan amali adalah keinginan untuk mendapatkan pengalaman langsung dalam industri yang berbeza dan merentasi peranan yang berbeza, walaupun kadang-kadang ia mungkin meletihkan untuk mengimbangi kedua-dua sekolah dan kerja," belia berusia 23 tahun itu memberitahu Mediacorp.

Pelajar juga mungkin tidak tahu apa yang mereka mahu lakukan pada masa hadapan, tambahnya.

"Setiap latihan amali menawarkan peluang pembelajaran yang unik untuk pelajar meneroka apa yang mereka ingin lakukan sebelum memasuk alam pekerjaan."

LEBIH INGIN TAHU BERBANDING DAHULU

Pakar sumber manusia yang bercakap dengan Mediacorp juga menzahirkan kepercayaan mereka bahawa pelajar ingin memperoleh pelbagai pengalaman kerja sebelum menamatkan pengajian. Pasaran pekerjaan kini juga lebih tidak menentu.

Encik Nilay Khandelwal, pengarah urusan Michael Page Singapura & Indonesia, menegaskan bahawa pelajar masa kini "mempunyai lebih banyak rasa ingin tahu daripada yang dahulu".

Mereka juga mahu dikaitkan dengan sesuatu yang mereka percayai dan mencari "pekerjaan yang mempunyai matlamat", tambahnya.

“Mereka mahu melihat apa yang benar-benar sesuai dengan kemahuan … dan mereka mahu mencubanya melalui latihan amali, kerana itulah satu-satunya cara sebagai graduan atau pelajar di mana anda boleh melakukannya. Jadi mereka benar-benar mahu memaksimumkannya,” katanya.

“Anda akan melihat ramai yang melakukan latihan amali pada pertengahan cuti musim panas, tidak pergi bercuti dan sebagainya. Mereka menghabiskan masa antara semester itu untuk cuba mencari latihan amali.”

JALIN HUBUNGAN, KEMAHIRAN SOSIAL

Encik Khandelwal menambah bahawa dalam keadaan pasaran yang sukar, pelajar dengan latihan amali yang boleh dipercayai juga akan dapat membezakan diri mereka daripada graduan lain - termasuk mereka yang mempunyai pengalaman kerja.

Beliau juga berkata latihan amali membolehkan pelajar membina kemahiran sosial dan hubungan, yang boleh membantu mereka mendapatkan pekerjaan pada masa depan.

"(Anda tidak akan) sentiasa mendapat pekerjaan di syarikat yang sama di mana anda menjalani latihan amali," tambahnya.

“Bagaimanapun, jika anda terus mencipta rangkaian dan perhubungan itu dengan individu yang anda kerjasama semasa latihan amali, kemungkinan besar, melalui rangkaian itu, anda mungkin mendapat pekerjaan dalam bidang yang sama – sama ada dalam organisasi yang sama untuk satu tempoh atau organisasi yang berbeza."

Itulah keadaan bagi Teo, yang berkata beliau dapat berinteraksi dengan para karyawan dan jurutera kanan dari jabatan yang berbeza.

"Saya fikir persekitaran terbuka dan kolaboratif dalam latihan amali juga membantu saya belajar lebih banyak daripada mentor saya," katanya.

Namun begitu, seorang jurulatih kerjaya dari SMU memberi amaran bahawa selain pengalaman latihan, majikan juga mencari individu yang serba lengkap dalam proses pengambilan pekerja.

Aktiviti luar darjah dan kepimpinan membantu membina kemahiran insaniah, yang menjadi perhatian majikan, kata Cik Corrine Ong, pengarah perkhidmatan kerjaya dan kebolehpasaran di Pusat Kerjaya Dato' Kho Hui Meng SMU.

"Adalah sangat penting bahawa pelajar benar-benar melihat perkembangan holistik diri mereka melalui semua aktiviti seharian pelajar, dan bukan pergi untuk latihan amali serta gred semata-mata," tambahnya.

"Jika mereka melihat latihan amali, maka yang paling penting, (mereka perlu) melihat mutu latihan amali - bukan hanya mengejar jumlahnya."
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita