Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasaran jualan semula hartanah kian stabil, mungkin capai kemuncak: Laporan PropertyGuru

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pasaran bagi flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mungkin sudah mencapai kemuncaknya.

Demikian menurut laporan PropertyGuru pada Isnin (7 Ogos).

Data juga menunjukkan bahawa pasaran perumahan privet mencecah kemuncaknya dan harga mungkin menjadi stabil dalam beberapa suku akan datang, tambah laporan tersebut.

Analisis ke atas lebih 600,000 hartanah yang disenaraikan di laman PropertyGuru Singapore mendapati pasaran hartanah kediaman menunjukkan tanda-tanda melembab, menurut syarikat tersebut.

Salah satu tanda termasuk Indeks Permintaan Jualan Hartanah Singapura bagi flat jualan semula HDB, yang merosot 6.4 peratus pada suku kedua tahun ini. Indeks tersebut menjejaki bilangan pertanyaan bagi semua hartanah yang disenaraikan untuk dijual di PropertyGuru Singapore.

"Mengambil kira Indeks Permintaan Jualan yang boleh ditafsirkan sebagai satu petunjuk awal trend pasaran - memandangkan ia mencerminkan keinginan pembeli pada permulaan pencarian hartanah mereka - perangkaan ini memberi bayangan bahawa pasaran jualan semula HDB itu mungkin sudah mencapai kemuncaknya," menurut Laporan Pasaran Hartanah Singapura, yang diterbitkan oleh PropertyGuru bagi suku ketiga tahun ini.

Kenaikan dalam permintaan harga bagi flat jualan semula HDB yang disenaraikan juga kian perlahan pada suku kedua tahun ini, setelah ia naik 0.6 peratus berbanding kenaikan 1.6 peratus pada suku pertama.

Sekalipun demikian, pencari hartanah berdepan dengan tekanan yang berkurangan untuk memenuhi harga tinggi kerana mereka mempunyai lebih banyak pilihan - lebih banyak flat Bina Ikut Tempahan (BTO) sedang disiapkan, dan sekitar 16,000 flat dijangka memenuhi Tempoh Penginapan Minimum (MOP) yang ditetapkan sebelum boleh menjual flat mereka.

HARTANAH PRIVET

Bagi perumahan privet tanpa halaman, laporan PropertyGuru menyatakan bahawa median harga hartanah yang disenaraikan di laman itu merekodkan pertumbuhan 0.3 peratus, turun daripada kenaikan 0.9 peratus pada suku pertama.

"Langkah meredakan pasaran yang dilaksanakan antara September 2022 dengan April 2023, di samping dasar-dasar yang mendukung pertambahan bekalan, sudah menunjukkan keberkesanannya dalam meredakan sentimen dan mengelakkan pasaran daripada terus membahang - sama juga dijangka dalam suku akan datang," menurut laporan tersebut.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan