Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasar raya SG tidak akan kenakan bayaran lebih 5 sen bagi beg plastik; sokong usaha sosial, kitar semula

Beberapa pasar raya utama di Singapura menyatakan mereka tidak akan mengenakan bayaran lebih S$0.05 bagi setiap beg plastik apabila pembayaran wajib bagi beg plastik pakai buang dikuatkuasakan mulai 3 Julai.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Beberapa pasar raya utama di Singapura menyatakan mereka tidak akan mengenakan bayaran lebih S$0.05 bagi setiap beg plastik apabila pembayaran wajib bagi beg plastik pakai buang dikuatkuasakan mulai 3 Julai.

NTUC FairPrice, Prime Supermarket, Sheng Siong dan DFI Retail Group - yang mengendalikan Cold Storage dan Giant - memberitahu Mediacorp bahawa cawangan-cawangan mereka hanya akan mengenakan bayaran minimum bagi setiap beg plastik bermula daripada tarikh ia dikuatkuasakan.

Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran Amy Khor mengumumkan tarikh permulaannya di Parlimen pada Khamis lalu (2 Mac) semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS).

Prime Supermarket kini mempunyai 24 cawangan manakala Sheng Siong pula mempunyai 68. Kedua-dua pasar raya itu tidak mengenakan sebarang bayaran bagi beg plastik buat masa ini.

Jurucakap Sheng Siong berkata pasar raya itu menjalin kerjasama dengan pertubuhan bukan pemerintah Zero Waste SG bagi kempen selama tiga bulan untuk menggalak para pelanggan supaya menggunakan beg pakai semula untuk barangan dapur.

Prime Supermarket juga sedang menimbangkan kemungkinan membawa masuk beg-beg pakai semula untuk dijual kepada para pelanggan pada "kos rendah".

"Kami tentu sekali akan mengusahakannya untuk mendidik para pelanggan tentang pentingnya sekitaran hijau," kata jurucakap itu, apabila ditanya tentang bagaimana pasar raya itu akan menggalak para pengguna untuk beralih kepada pengunaan beg yang lebih mampan untuk membawa barangan.

Sementara itu, DFI Retail Group menyatakan Cold Storage dan Giant buat masa ini menawarkan beraneka beg guna semula untuk digunakan dan merancang untuk memperkenalkan lebih banyak beg bagi menggalak para beralih kepada beg guna semula. Kedua-dua rangkaian pasar raya itu mempunyai 101 cawangan di sini.

"Makluman dalaman dan pekerja pasar raya akan terus mengingatkan dan menggalak para pelanggan supaya menimbangkan pilihan beg guna semula kami," kata jurucakapnya.

NTUC FairPrice, rangkaian pasar raya terbesar di Singapura, pertama kali memperkenalkan bayaran beg plastik di cawangan- cawangan terpilih pada September 2019, di mana tujuh pasar raya dan kedai serbaneka terpilih mengenakan bayaran bagi setiap beg plastik.

Pada 2022, inisiatif itu diperluaskan ke semua 178 kedai Cheers dan FairPrice Xpress dan 11 pasar raya FairPrice, menurut jurucakapnya.

Peruncit itu yang mempunyai 230 cawangan di sini, menyatakan ia telah menjimatkan lebih 57 juta beg plastik tahun lalu di bawah insiatif "Tiada Beg Plastik".

"Sepanjang beberapa bulan akan datang, kami berharap dapat menjalin kerjasama dengan agensi-agensi pemerintah yang relevan untuk terus mengingatkan para pelanggan bahawa terdapat bayaran perlu dibayar bagi setiap beg plastik pakai buang di pasar raya," kata jurucakap itu.

Sebagai sebahagian daripada undang-undang yang dicadangkan, para pengendali pasar raya dikehendaki menerbitkan maklumat mengenai jumlah beg yang diberikan, hasil yang diterima daripada setiap bayaran yang dikenakan dan bagaimana hasil itu akan digunakan.

Mereka digalakkan untuk menyalurkan hasil bayaran itu kepada usaha sosial atau alam sekitar.

Walaupun pasar raya berkenaan mengesahkan kepada Mediacorp bahawa hasil yang diterima akan digunakan bagi tujuan sosial dan alam sekitar, sebahagian besar menyatakan butiran terperinci mengenainya belum lagi dimuktamadkan.

Sebelum ini, hasil yang diterima oleh NTUC FairPrice disalurkan kepada inisiatif menyokong usaha hijau, termasuk sumbangan S$180,000 kepada gerakan OneMillionTrees anjuran Lembaga Taman Negara (NParks).

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan