Skip to main content

Singapura

Pasar malam, ruang gerai sementara antara inisiatif suntik nafas baharu di Orchard Road

Anggaran Waktu Membaca:
 Pasar malam, ruang gerai sementara antara inisiatif suntik nafas baharu di Orchard Road

Lukisan Pusat Beli-Belah yang dibangunkan semula. (Gambar: Pacific Eagle Real Estate)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 08 May 2026 02:20PM Dikemas Kini : 08 May 2026 02:21PM
SINGAPURA: Bermula dengan ruang gerai sementara atau 'pop-up' hingga penambahbaikan pada permukaan bangunan dan pasar malam, lebih banyak inisiatif bakal dilancarkan di Orchard Road tahun ini dan pada 2027 untuk menghidupkan semula kawasan beli-belah tersebut.

Lembaga Pelancongan Singapura (STB) menyatakan pada Jumaat (8 Mei) bahawa rancangan itu menunjukkan "komitmen berterusan" untuk menyuntik nafas baharu di Orchard Road.

Berucap di Persidangan Industri Pelancongan di Pusat Konvensyen Resorts World, Ketua Eksekutif STB, Melissa Ow, memaklumkan bahawa di kawasan Tanglin, empat banglo warisan diwartakan semula untuk kegunaan hotel. Banglo-banglo tersebut terletak di kawasan seluas 1.9 hektar di Seton Close.

"Tapak ini memberi peluang untuk membangunkan konsep hospitaliti yang unik dan berkepadatan rendah," katanya.

Di persidangan yang sama, Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan Grace Fu berkata Pelan Pembangunan Semula Orchard Road yang bermula pada 2019 sedang "berjalan lancar".

"Kita membayangkan Orchard Road sebagai destinasi gaya hidup ikonik untuk semua - dimeriahkan dengan aktiviti, konsep, dan pengalaman menarik dalam suasana taman bandar," kata Cik Fu, yang juga Menteri Kemampanan dan Alam Sekitar.

Bagi tujuan itu, Inisiatif Pembangunan Semula Orchard Road yang baharu akan dilancarkan pada pertengahan 2026.

Pihak-pihak berkepentingan akan diundang untuk membangunkan acara atau pengalaman perintis dalam tiga bidang utama: penambahbaikan permukaan bangunan seperti papan paparan digital dan permukaan bangunan interaktif, konsep pengalaman serta karya seni di ruang awam, dan inisiatif sebelah malam seperti projek pencahayaan dan pasar malam.

Pengendali pusat beli-belah, hotel, penganjur acara, dan persatuan boleh mengambil bahagian dalam program yang akan berlangsung selama dua tahun ini. Cadangan yang disenarai pendek mungkin menerima sokongan dana.

Cik Fu turut memberi contoh paparan skrin tiga dimensi di Ion Orchard yang menurutnya "memberi gambaran tentang apa yang boleh dilakukan".

"Saya menggalakkan pihak-pihak berkepentingan di Orchard Road untuk tampil dengan cadangan yang berani dan inovatif," tambah beliau.

RUANG 'GERAI SEMENTARA'

Awal tahun ini, STB juga menyatakan ia akan melancarkan tender bagi 37 Emerald Hill, bekas tapak Sekolah Perempuan Cina Singapura (SCGS), untuk pembangunan campuran yang merangkumi konsep hotel dan gaya hidup.

STB juga akan melancarkan satu lagi tender bulan ini bagi reka bentuk, pembinaan, dan pengurusan sehingga tiga ruang pop-up di antara Wisma Atria dan Ngee Ann City.

Ruang tersebut akan dibuka untuk disewakan kepada jenama tempatan dan luar negara bagi tempoh antara satu hingga enam bulan.

Kumpulan pertama ruang gerai sementara ini dijangka dibuka pada hujung tahun ini dan boleh beroperasi sehingga hujung 2028.

STB akan bekerjasama dengan ejen-ejen pengurusan yang dilantik untuk mengenal pasti dan menyusun giliran jenama, termasuk jenama yang baharu di Singapura.

Sesetengah jenama mungkin mencuba konsep baharu atau menawarkan pengalaman terhad di ruang gerai sementara itu, manakala yang lain mungkin menawarkan pengalaman runcit atau makanan dan minuman (F&B) yang berbeza.

PENANDA KAWASAN & BANGKU DI ORCHARD ROAD

Untuk mempamerkan identiti unik Orchard Road dan meningkatkan daya tarikan di sepanjang jalan tersebut, penanda kawasan baharu akan ditambah, kata Cik Ow.

STB menyatakan penanda tersebut akan memberi panduan kepada pelawat dan menggalakkan interaksi. Terdapat empat penanda fizikal yang menampilkan puisi tempatan dan tiga penanda jalan di sepanjang Tanglin, Orchard, Somerset, dan Dhoby Ghaut.

Lapan reka bentuk bangku yang memenangi Pertandingan Reka Bentuk Bangku Orchard Road juga akan dipasang.

PEMBANGUNAN AKAN DATANG

Beberapa pembangunan di Orchard Road yang diumumkan sebelum ini masih dalam proses pembinaan.

Hotel NoMad oleh Hilton, sebuah hotel setinggi 19 tingkat, dijadualkan dibuka pada hujung 2026.

Pembinaan untuk mewujudkan empat zon yang saling berhubung di Somerset Belt dijangka siap bermula hujung 2027. Terdapat zon untuk perhimpunan masyarakat, kreativiti dan inovasi belia, sukan bandar yang aktif, serta ruang refleksi dan ketenangan.

Tanglin Shopping Centre sedang dibangunkan semula menjadi bangunan yang merangkumi kegunaan runcit, pejabat, kesejahteraan, dan kebudayaan.

Taman Istana akan diperluaskan sehingga tiga kali ganda saiz sekarang, dan akan mempunyai ciri-ciri termasuk taman permainan semula jadi, padang terbuka, dan laluan aktiviti untuk mengadakan acara.

Grange Road Events Venue, ruang yang berupaya menampung kapasiti 3,000 orang, juga masih dalam pembinaan. Ruang acara tertutup itu akan mempunyai teres, "laluan aktiviti", dan restoran.

Apabila dibuka kelak, ia akan menganjurkan konsert muzik secara langsung dan pelbagai acara lain.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita