Pasar kejiranan sesak jelang Syawal, tawar kemudahan di bawah satu bumbung
SINGAPURA: Seawal jam 6.00 pagi Selasa (9 Apr), orang ramai sudah membanjiri kedai Noorhaj Freshmart di Pasar Bulat Tampines untuk membeli barangan keperluan bagi menyediakan juadah Hari Raya nanti.
Antara daya tarikan utama kedai Noorhaj Freshmart ialah ia menjual pelbagai keperluan Syawal, semuanya di bawah satu bumbung.
Kedai yang sudah 30 tahun bertapak di situ bukan setakat menjual barang dapur kering dan basah, malah ia turut menjual ketupat, lemang dan lontong.

Lebih menariknya, pelbagai jenis lauk-pauk Hari Raya yang sedia dimakan seperti rendang dan kuah kacang turut dijual.
KEDAI DIBUKA 24 JAM MENJELANG SYAWAL
Menurut pemilik Noorhaj Freshmart, Naszima Banu, 49 tahun, kedainya dibuka 24 jam sejak semalam lagi bagi memenuhi permintaan pelanggan dalam menyambut ketibaan Syawal.
Katanya, bekalan bagi lontong, lepat dan lemang dihantar ke gerainya pada sekitar 3.00 pagi tadi (9 April), sementara lauk-pauk Hari Raya selepas Subuh pula.

"Hari ini bukan cuti umum. Jadi kalau kita dapat buat begini kita dapat menolong dan memudahkan urusan masyarakat kita. Contohnya, mereka tidak perlu masak selepas pulang dari bekerja.
"Kebanyakannya kita menerima tempahan. Mereka hanya perlu datang dan ambil. Tidak payah masak. Sebab ada orang kata, kalau balik kerja, nak beli barang, nak masak macam penat," kongsi Cik Naszima kepada wartawan Nur Arina Ahmad Anis.
HARGA BAWANG LEBIH MAHAL DEK KRISIS DI INDIA
Dalam pada itu, Cik Naszima akur bahawa terdapat kenaikan pada harga beberapa barangan keperluan.
Kata Cik Naszima: "Bawang kami adalah dari India. Jadi sekarang di negara India ada sedikit krisis. Harga melonjak kepada S$9 bagi sekitar 3 kilogram. Sebelum ini ia ia hanya S$5.50"

Tambahnya, harga bagi beberapa sayuran seperti kacang panjang, daun salam, daun kunyit serta kubis turut meningkat sedikit menjelang Syawal ini.
PENDUDUK TAMPINES LEBIH SENANG BERBELANJA DI PASAR KEJIRANAN
Antara yang terawal datang berbelanja di kedai Noorhaj Freshmart hari ini (9 Apr) ialah Encik Zailani Mohd Tahir, 58 tahun.

Katanya, beliau memang tiada rancangan ke Geylang Serai kerana tidak sanggup untuk 'merempuh' kesesakan di sana.
"Di sini kita pasti dapat barang yang kita inginkan sebab barangnya banyak dan apa juadah yang kita nak pun kebanyakannya ada. Oleh itu saya ke sini. Lagipun saat-saat akhir begini, tidak boleh ke Geylang kerana penuh sesak," ujar Encik Zailani.
Bagi beberapa lagi pelanggan yang kami temui, mereka juga akur mengenai kemudahan berbelanja di kawasan kejiranan sebegini.
"Sini dekat, kalau Geylang jauh nak pergi. Duit teksi lagi dan takut lambat. Macam sini sekejap saja boleh balik," kata Cik Khadijah Sumadi, 73 tahun.
Encik Abdul Rahim Yahya Marican, yang memang lazimnya berbelanja di Pasar Bulat itu setiap menjelang Syawal turut berkongsi pendapat yang serupa.
"Geylang tak boleh masuk kerana ramai orang. Lagipun, di sini dekat dan tidak perlu tunggu lama. Sana (Geylang Serai) perlu beratur. Di sini tidak perlu," menurut Encik Abdul Rahim.
HARGA AYAM KEKAL SAMA
Walaupun harga bahan-bahan masakan yang lain meningkat, tinjauan BERITA Mediacorp mendapati harga ayam dikekalkan menjelang Hari Raya Aidilfitri ini.
Kedai milik Cik Naszima misalnya tidak menaikkan harga ayam yang dijualnya pada minggu ini.
Bagi para pegerai di pasar Bukit Gombak, mereka turut mengambil langkah serupa.

Apabila krew BERITA Mediacorp tiba di pasar Bukit Gombak sekitar jam 9.00 pagi tadi, stok ayam dan daging semua habis licin.
Bagi kedai Abdullah Fresh Chicken, kesemua stok ayam dan daging habis terjual seawal jam 8.30 pagi tadi.
Kata anak pemilik gerai itu, Nuraini Rosman, jumlah ayam dan daging yang dijual hari ini sekitar 50 peratus lebih rendah berbanding jumlah yang dijual pada hujung minggu lazimnya.
"Biasanya kita tak tempah banyak kerana kita pun nak balik awal. Kita nak kemas rumah jadi kita tak tempah banyak. Jauh kurang berbanding jumlah yang ditempah pada hujung minggu lalu. Lagipun kita menjangkakan orang masih bekerja, jadi kami tak tempah begitu banyak. Kami tidak mahu menyimpan bekalan ayam dan daging sepanjang cuti nanti kerana kami hanya akan buka semula pada hujung minggu nanti," kongsi Cik Nuraini
STRATEGI ATASI MASA PELANGGAN TUNGGU LAMA
Selain itu, bagi memastikan para pelanggan tidak perlu beratur begitu lama, beberapa langkah telah diambilnya.
Antaranya termasuk meniadakan khidmat untuk buang kulit ayam dan potong daging pada musim perayaan ini.
Meskipun permintaan tinggi, Cik Nuraini dan keluarganya memutuskan untuk tidak naikkan harga kali ini.

"Untuk tahun ini kita tak naikkan harga kerana tahun lalu GSTdah naik 8 peratus. Oleh itu kita naikkan harga tahun lepas. Jadi tahun ini kami berusaha untuk tidak menaikkan harga. Ini meskipun pembekal memberitahu harga akan naik menjelang Hari Raya. Bagaimanapun kami tidak menaikkan harga kerana tidak mahu pelanggan terperanjat," dedah Cik Nuraini lagi.
Bagi lagi seorang penjual ayam dan daging di pasar itu, Cik Nurchasanah Jeman, beliau turut mengakui tidak menang tangan melayan pelanggan yang datang hari ini.
Menurutnya, stok ayam dan daging gerainya habis sekitar 8.30 pagi.
"Tak sangka begitu cepat habis. Saya ingat akan habis sekitar waktu tengah hari tapi cepat habis, boleh cepat balik dan boleh rehat. Saya pun belum buat apa-apa untuk persiapan Hari Raya sebab sibuk dengan kedai," seloroh Cik Nurchasanah yang baru lapan bulan berniaga di pasar Bukit Gombak.
Bagi beberapa lagi pelanggan yang kami temui, mereka berkongsi bahawa mereka lebih gemar berbelanja pada saat-saat akhir kerana menginginkan bahan-bahan yang segar.

"Pasal kita ingat masak tak banyak. Jadi beli hari ini senang. Jadi segar sedikit. Tak payah simpan peti sejuk pasal peti sejuk pun penuh juga," kata pengunjung Pasar Gombak, Cik Siti Zainab.
Hal yang sama turut dikatakan oleh Cik Rohaiyah Konit, 70 tahun: "Nanti beli siang-siang, tak tahan. Jadi cik beli hari ini sajalah."
Ada juga yang sudah menempah awal dan mengambil daging-daging dan ayam itu hari ini bagi memastikan kesegarannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.