Pasar Geylang Serai lengang pada hari pertama ia dibuka hingga 5.00 petang
Masyarakat ternyata mendengar nasihat dan seruan pemerintah agar tidak beratur panjang atau beramai-ramai pergi ke Pasar Geylang Serai hari ini (11 Apr). Pasar itu ternyata lengang dan tidak ramai orang beratur siang tadi.
SINGAPURA: Masyarakat ternyata mendengar nasihat dan seruan pemerintah agar tidak beratur panjang atau beramai-ramai pergi ke Pasar Geylang Serai hari ini (11 Apr). Pasar itu ternyata lengang dan tidak ramai orang beratur siang tadi.
Pemandangan sebegitu jauh berbeza daripada semalam (10 Apr), yang menyaksikan orang ramai beratur panjang dan 'berkumpul' - sesuatu yang tidak seharusnya berlaku demi mencegah virus COVID-19 daripada menular.
Tinjauan BERITAmediacorp selama empat jam di pasar itu bermula jam 8.00 pagi tadi mendapati jumlah pengunjung juga amat berkurangan berbanding semalam.
Malah, tiada barisan beratur untuk menunggu giliran masuk. Pembeli dan penjual di pasar itu juga rata-rata memakai pelitup muka di dalam mahupun luar pasar basah.
Jumlah pegawai keselamatan juga dipertingkat bagi menguruskan jumlah pelanggan dalam pasar yang dihadkan pada satu-satu masa.
Semalam Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli, melahirkan kebimbangan bahawa orang masih beratur "sangat panjang" di Pasar Geylang Serai.
Ini menimbulkan kebimbangan bahawa ia berisiko menjadikan pasar popular itu satu lagi kelompok jangkitan COVID-19.
Lantaran itu jugalah beliau semalam mengumumkan bahawa pasar itu akan dibuka sehingga jam 5.00 petang pada Sabtu dan Ahad, selain menggalak orang ramai ke pasar-pasar lain yang tidak sibuk.
Ternyata, orang ramai akur dengan seruan pemerintah itu dan memberikan reaksi positif.
"Pasal untuk keselamatan kita sendiri kan, jadi baguslah dia buat macam gini walaupun nampak susah sikit tetapi jaga, untuk kita memang bagus saya rasa kan, inilah satu-satunya cara yang kita boleh buatkan," Encik Sadon Amin berpendapat.
Pelanggan seperti Cik Zahara Osman pula berkongsi: "Saya rasa baguslah pasal apa masa dia panjang (hingga 5.00 petang). Jadi, orang pun tak kelam kabut lah. Kalau masa dia pendek orang pun kelam kabut kan. Jadi, ada orang boleh pergi lambat sedikit, bagus lah pada saya."
"Saya tengok semalam nak pergi Geylang tapi penuhkan, hari ini mungkin kurang sedikitkan jadi saya pergi siang sikit lah," komen Cik Sarni Dawan.
PENJUAL LUAH KEPRIHATINAN
Meskipun begitu, tidak semua pihak yang menyambut baik langkah-langkah baru ini, khususnya para penjual di pasar itu yang bimbang melihat jumlah pelanggan semakin merosot.
Cik Seri Suyut misalnya berkongsi situasi sekarang amat mencabar untuk dirinya, bukan setakat daripada aspek keuntungan, malah pergerakan fizikal yang selamat sewaktu bekerja.
"Sangat mencabar pasal kakak ni berniaga makan dekat Joo Chiat Complex, tempoh hari duduk setakat tiga orang, sekarang langsung tidak boleh duduk. Jadi, amat-amat membimbangkan sangat," jelasnya.
Sentimen yang sama juga dikongsi oleh Cik Noriza Sanan yang akur bahawa pelanggan kini memang sudah tidak ramai. Beliau membayangkan bahawa para pelanggan perlu memberikan kerjasama kerana kedai masih dibuka.
"Tak ada nanti mereka bising, kan. Setiap kali pelanggan datang kita kena cakap 1 meter, 1 meter," cerita beliau.
Meskipun ada cabaran selaku seorang penjual, Cik Noriza akur bahawa langkah melanjutkan tempoh operasi adalah sesuatu yang baik bagi mengelakkan kesesakan pada satu-satu masa.
"Tetapi sebenarnya bagus lah, bagus. Jadi tak terlalu ramai. Kadang-kadang kita sampai berlanggar-langgar bahu, berlanggar-langgar belakang semua kan. Terlalu sempit bagi Sabtu dan Ahad, terlalu ramai orang," tambah beliau.
Mengulas tentang perubahan sikap masyarakat ini, Encik Masagos yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam muji masyarakat Melayu/Islam yang menerima baik gesaan agar tidak membanjiri Pasar Geylang Serai hari ini.
Ini katanya menunjukkan masyarakat faham tentang arahan pemutus rantaian jangkitan COVID-19 dan berperanan memastikan bahawa Pasar Geylang Serai tidak menjadi kelompok penularan virus itu.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.