Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasar Geylang Serai kini ada lebih banyak tempat duduk, tempat makan lebih selesa & pasar basah kurang berbau

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Para pengunjung di Pasar Geylang Serai menyambut baik pembaharuan di pasar itu selepas ia menjalani kerja-kerja naik taraf selama tiga bulan.

Pasar Geylang Serai yang ditutup sejak hujung bulan Julai lalu setelah menjalani Program Transformasi Pusat Penjaja (HTP) Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sebagai sebahagian daripada kerja-kerja peningkatan dan naik taraf yang selalunya dijalankan setiap enam hingga lapan tahun.
Menurut NEA, HTP dilakukan demi memastikan pusat-pusat penjaja sesuai untuk sekitaran masa hadapan serta memperbaiki pengalaman para pelanggan dan juga penjaja.

Pengerusi Persatuan Peniaga Geylang Serai, Osman Sudin berkata: "Menerusi kerja-kerja peningkatan ini, keutamaan NEA adalah kebersihan pasar. Yang utama juga adalah untuk kebersihan dan keselesaan para pelanggan."

LEBIH BANYAK TEMPAT DUDUK DI ARAS DUA

Antara pembaharuan di aras dua Pasar Geylang Serai adalah penambahan tempat duduk untuk para pelanggan.

Encik Osman berkata: "Tempat duduk pun bertambah, selalunya para pelanggan perlu tunggu untuk tempat duduk. Sekarang tidak lihat mereka tertunggu-tunggu. Diutamakan keselesaan para pelanggan kita."
Menurutnya, jumlah tempat duduk bertambah sekitar 20 peratus dan ini dimungkinkan dengan susunan dan bentuk meja yang baharu.

Sebelum ini, kebanyakan meja berbentuk bulat tapi kini ditukarkan kepada yang berbentuk segi empat kesemuanya, agar tidak memakan terlalu banyak tempat.

"Jarak antara meja-meja pun lebih jauh sekiranya berlakunya pandemik seperti COVID-19 lagi. Jadi jaraknya sudah dipastikan 1 meter antara satu sama lain. Jadi kita tidak perlu berpangkah-pangkah lagi," jelas beliau lagi.

Selain itu, Encik Osman juga menjelaskan bahawa kipas dinding dan kipas bumbung juga diganti baharu.
Pembaharuan-pembaharuan itu juga disambut baik oleh para pelanggan yang mengunjungi Pasar Geylang Serai pada hari pertama ia dibuka semula.

"Sekarang lebih selesa, kalau ada keluarga besar boleh duduk bersama. Sekarang pun ada kipas, jadi rasa sikit angin," kata Cik Noormala Muhd Thoha.

Cik Suwarni Sasterosandiman pula berkata: "Rasa selesa, makan pun senang, tidak perlu berebut tempat seperti dahulu."

Selain kerusi dan meja, tandas awam di situ juga dinaik taraf dan dinding luarnya lebih luas bagi memberikan pengguna lebih banyak privasi.

"Dahulu, tandasnya terbuka, jadi kalau orang makan boleh lihat para pengunjung masuk keluar tandas. Sekarang sudah lebih cantik dan lebih tertutup," kata Encik Osman.
PENJUALAN MENINGKAT 40 PERATUS

Dengan jumlah tempat duduk yang lebih banyak, ia juga dapat merancakkan lagi perniagaan makanan di sana.

Pemilik Gerai Nenek Obek, Juhani Johan berkata: "Hari ini ada peningkatan sebab semua orang ingin tengok apa yang baharu di sini. Jadi semua pun suka dengan perubahannya."

Anaknya, Cik Filzah Moranti Mohd Dawood berkongsi bahawa penjualan sudah meningkat sekitar 40 peratus jika dibandingkan dengan hari-hari biasa sebelum ini.

Setakat jam 11.00 pagi, Encik Osman yang juga merupakan pemilik gerai Pak Din Nasi Ayam Bakar juga menyaksikan peningkatan dalam jualannya.

"Kalau hari Jumaat, biasanya kurang sikit penjualan. Selepas solat Jumaat akan sibuk sikit tetapi hari ini, dari pagi, para pekerja saya belum lagi dapat berehat," kata Encik Osman.

"Kita lebihkan bekalan ayam untuk hari ini, dari semalam kita sudah siapkan. Biasanya hari Jumaat, kita mungkin bakar empat kotak ayam tetapi hari ini sudah lebih daripada lima kotak," tambah beliau lagi.

Para peniaga juga berharap agar penambahbaikan di Pasar Geylang Serai akan dapat menarik lebih ramai pelanggan ke situ.

JUBIN DITUKAR, LONGKANG DAN PAIP DIPERBAIKI

Di pasar basah dan kering Pasar Geylang Serai yang terletak di aras satu, ada beberapa penambahbaikan yang dilakukan termasuk lantai di dalam pasar serta di kawasan memunggah.
"Jalan di kawasan memunggah lebih rata. Dahulu, gunakan tar, jadi lantai tidak rapi. Sekarang lebih rapi. Kalau kawasan ini lebih teratur, lebih banyak kenderaan yang boleh masuk. Sebelum ini, ada banyak lopak di lantai jadi ada banyak tempat yang lori-lori tidak boleh gunakan untuk memunggah barangan," kata anak pemilik kedai Mutton King, Abdillah Abdul Malik.

Kata Encik Abdillah, lampu-lampu di pasar basah juga lebih terang sekarang.

Selain itu, longkang dan paip-paip di bawah lantai juga diperbaiki.

"Perihal longkang, sebenarnya selalu tersumbat tetapi ini pun disebabkan para peniaga yang tidak mengambil berat tentang kebersihan. Setelah diperbaiki selama tiga bulan, harap-harap para penjaja boleh terus menjaga kebersihan," kata Encik Hasim Abbas yang memiliki gerai menjual ayam segar.

Salah seorang kakitangan di kedai menjual daging, D'Aliyah, Encik Remy berkata "Selalu ada masalah, banyak sampah yang tidak lalu. Sampah akan berkumpul dan akan banjir di depan kedai ini. Sejauh ini, longkang tidak ada yang sendat atau tersangkut."
Selain itu, beberapa bangku juga dipasang di antara pasar basah dan pasar kering bagi menyediakan para pengunjung tempat menunggu yang selesa.

Antara pengunjung yang ditemui BERITA Mediacorp, Cik Yang Chik Yaakub, berkongsi pandangannya mengenai tempat kemudahan baharu itu.

"Yang baik di sini, bangku di sini sekarang kita dapat sandar. Apa yang boleh diperbaiki sebenarnya ada ruang kosong di antara bangku-bangku ini, kalau boleh tidak perlu adakan jadi ada lebih banyak bangku. Sebenarnya bangku ini bergoyang," kata beliau.

SAMBUTAN BERCAMPUR-CAMPUR DI PASAR BASAH

Meskipun dengan 'wajah' baharu, ada juga sesetengah para peniaga di pasar basah yang mengatakan bahawa penjualan tidak begitu rancak.

Encik Hashim berkata: "Hari pertama kita sangka, kunjungannya akan hebat tetapi tidak terjadi. Agak kurang meriah. Jadi, kita mengharapkan kunjungan baik pada hujung minggu ini."

Encik Abdillah pula sebaliknya menyaksikan penjualan yang meningkat sedikit berbanding hari-hari biasa sebelum kerja-kerja peningkatan.

"Untuk hari ini, kita sudah sediakan bekalan tambahan 30 peratus daripada hari-hari biasa. Untuk esok pula, kita akan sediakan 50 peratus lebih banyak daripada hujung minggu biasa," kata beliau.

ADA LAGI KERJA PENINGKATAN SEHINGGA JANUARI 2025

Meskipun sudah dibuka semula, kerja-kerja peningkatan di Pasar Geylang Serai masih lagi dilakukan.

Beliau berkata: "Sepatutnya kita perlu tutup pasar selama enam bulan untuk kerja-kerja ini tetapi disebabkan ramai yang tidak bersetuju, kita tetapkan tiga bulan sahaja tetapi (selepas pembukaan semula), kerja-kerja penambahbaikan masih lagi berlangsung tetapi bagi kerja-kerja yang tidak terlalu berat."

"Sekarang, ia lebih kepada kerja-kerja seperti memasang alat untuk pastikan burung tidak masuk. Mereka juga akan letakkan langsir automatik untuk lindung daripada hujan. Selalunya kalau hujan, air hujan akan masuk."

Menurut Encik Osman, kerja-kerja peningkatan itu dianggarkan akan berlangsung sehingga bulan Januari tahun depan.

Dalam kenyataan media bagi menjawab pertanyaan BERITA Mediacorp, NEA menyatakan bahawa disebabkan para penjaja tidak dapat berniaga sepanjang penutupan Pasar Geylang Serai, mereka diberikan pampasan sewa sepanjang tempoh tersebut.

NEA juga memberi jaminan bahawa harga sewa gerai-gerai tidak akan dinaikkan dengan kerja-kerja penambahbaikan yang sudah dijalankan.

Kerja-kerja naik taraf di Pasar Geylang Serai juga saling melengkapi projek Jalur Budaya Geylang Serai yang dilancarkan untuk menyuntik kesegaran kepada kawasan tersebut namun tetap mengekalkan ciri uniknya.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan