Skip to main content

Singapura

Pasar Geylang Serai akan ditutup 2 bulan mulai 19 Sep

Pasar Geylang Serai akan ditutup selama dua bulan selepas Hari Raya Haji.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pasar Geylang Serai akan ditutup selama dua bulan selepas Hari Raya Haji.

BERITAMediacorp difahamkan tempoh pentutupan itu dipendekkan daripada tiga bulan, menyusuli rayuan daripada Anggota Parlimen GRC Marine Parade, Tan Chuan-Jin yang maklum tentang kebimbangan para pegerai.

Tinjauan BERITAMediacorp mendapati hampir separuh daripada peniaga-peniaga di Pasar Geylang Serai sudah memohon kepada Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) untuk menyewa gerai di pasar lain, sepanjang tempoh penutupan sementara pasar itu.

Namun, permohonan mereka tertakluk kepada beberapa syarat, seperti adanya gerai-gerai kosong.

Pasar Geylang Serai menempatkan sekitar 360 gerai. Seluruh pasar itu akan ditutup bermula 19 September bagi menjalani kerja-kerja pembaikan dan naik taraf. Ia akan dibuka semula pada 19 November.

"Ada yang setuju, ada kurang setuju. Tapi kebanyakannya setuju kerana ini perlu dilakukan. Selepas beberapa tahun, mereka perlu mengubah elok (pasar). Jadi bagi pegerai-pegerai, lebih daripada setengah 'okay' kerana tiga bulan tidak teruk sangat (bagi mereka)," kata Bendahari, Persatuan Peniaga-peniaga Pasar Geylang Serai, Encik Anwardeen Sulaiman.

Sepanjang tempoh itu, para pegerai tidak perlu membayar sewa, bayaran perkhidmatan dan penyenggaraan (S&CC), serta yuran membersihkan meja.

NEA BERI PILIHAN SEWA GERAI DI LUAR GEYLANG SERAI BUAT SEMENTARA

Namun ramai yang prihatin penutupan itu akan menjejas pendapatan mereka.

Bagi menangani keadaan, sebuah agensi Pemerintah sudah mengemukakan cadangan kepada para peniaga.

Encik Anwardeen menjelaskan: "Kita dapat bantuan daripada NEA (Agensi Sekitaran Kebangsaan), mereka ada memberi cadangan kepada pegerai, mereka boleh sewa secara sementara gerai-gerai di luar kawasan Geylang Serai ini, jika mereka mahu.

"Seperti, mana yang ada (gerai) kosong, mereka (NEA) akan membuat tawaran kepada mereka pegerai sama ada mereka (pegerai) hendak atau tidak. Jadi, ada separuh daripada pegerai di sini, mereka mahu cuba," ujar Encik Anwardeen.

Namun selain sewa dan pendapatan, satu lagi hal yang menjadi kebimbangan peniaga ialah pekerja mereka.

Encik Anwardeen berkata: "Mereka (pekerja) tiada pendapatan untuk dua bulan. Jadi pihak jawatankuasa persatuan ada berbincang dengan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Tan Chuan-Jin tentang masalah ini. Beliau berkata, jika mereka ada masalah, datang ke CC, tengok apa yang boleh dilakukan oleh CC untuk mereka."

Menurut Encik Anwardeen, yang merupakan seorang pemilik gerai sayuran di Pasar Geylang, beberapa pegerai terpaksa terus membayar gaji pekerja sepanjang penutupan dua bulan itu, bagi memastikan pekerja mereka tidak 'lari' mendapatkan pekerjaan lain.

HARAP PASAR SEMENTARA DIBINA

Rata-rata pengunjung yang ditemui BERITAMediacorp masih berharap sebuah pasar sementara dapat dibina.

"Saya memang selalu datang ke Pasar Geylang untuk membeli-belah kerana saya jualan di sekolah. Jadi di sini, apa yang saya nak, semuanya ada. Harganya pun berpatutan. Kalau ia tutup, saya bimbang nak mencari barang-barang di mana, masih tertanya-tanya, ada ke disediakan tempat lain," kata seorang pengunjung.

Seorang lagi pengunjung pula berkata: "Saya memang selalu datang, tiap-tiap minggu bersama isteri saya. Jadi kalau tutup bermakna kita susah, kehilangan kerana di sini, kebanyakan semua barang-barang kemelayuan, sayur-sayur, ulam-ulam, jadi kalau dah tutup, ke mana lagi kita nak pergi?"

Namun, Encik Anwardeen menerangkan, sebuah pasar sementara tidak dapat dibina kerana tempoh penutupannya singkat.

"Di Singapura ini, kita perlukan tempat menyimpan yang betul, infrastruktur yang betul, semua nak betul. Jadi kalau bina, hanya untuk (digunakan selama) dua bulan, memang tidak munasabah," katanya.

Difahamkan, kerja-kerja pembaikan dan naik taraf Pasar Geylang kali ini termasuk menggantikan tangga bergerak, membina laluan longkang dan memasang kipas besar.

Ini kali pertama Pasar Geylang menjalani kerja-kerja sedemikian, selepas dibuka semula pada tahun 2009.

Pasar itu ditutup sejak 2006 bagi menjalani Program Peningkatan Pusat-pusat Penjaja (HUP). 

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita