Skip to main content

Singapura

Pasar Borong Pasir Panjang akan perbetul semua isu keselamatan kebakaran bagi lanjutkan pajakan jangkaui 2026

Anggaran Waktu Membaca:
Pasar Borong Pasir Panjang akan perbetul semua isu keselamatan kebakaran bagi lanjutkan pajakan jangkaui 2026

Gambar fail Pasar Borong Pasir Panjang.

SINGAPURA: Tempoh pajakan bagi Pasar Borong Pasir Panjang dan Pelabuhan Perikanan Jurong akan dilanjutkan sehingga 2040, dengan Pasar Borong Pasir Panjang dikehendaki melaksanakan kerja-kerja pembetulan bagi memenuhi syarat-syarat dan peraturan keselamatan kebakaran wajib menjelang akhir 2026.

Demikian menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Jumaat (29 Ogos).

Kerja-kerja pembetulan itu akan melibatkan semua kedai - kira-kira 200 - di Pasar Borong Pasir Panjang, dan sokongan kewangan akan disediakan.

Tempoh pajakan sedia ada bagi Pasar Borong Pasir Panjang dan Pelabuhan Perikanan Jurong masing-masing akan tamat pada tahun 2026 dan 2030.

SFA menyatakan bahawa lanjutan ini bertujuan untuk memastikan rantaian bekalan makanan Singapura kekal berdaya tahan dan berterusan.

Kedua-dua hab borong ini memainkan peranan penting dalam sistem agromakanan Singapura, menurut agensi itu.

Ditubuhkan pada 1969, Pelabuhan Perikanan Jurong merupakan satu-satunya pasar borong makanan laut di Singapura.

Ia mempunyai 130 lot, dermaga (wharf) sepanjang 400 meter dan kemudahan sokongan seperti kedai, lot simpanan, dan gerai penghancur ais.

SFA menyatakan lanjutan tempoh pajakan hingga 2040 akan membolehkan penyewa di pelabuhan tersebut “merancang, melabur dan menaik taraf dengan yakin”.

KERJA PEMBETULAN DI PASAR BORONG PASIR PANJANG

Pasar Borong Pasir Panjang mula beroperasi pada 1983.

Dengan keluasan 15.4 hektar yang merangkumi 26 blok, ia merupakan pasar borong terbesar di Singapura bagi buah-buahan, sayur-sayuran dan barangan kering.

Sebagai syarat untuk melanjutkan tempoh pajakan, sekitar 200 daripada 1,200 unit akan dikehendaki melaksanakan kerja-kerja pematuhan keselamatan kebakaran. Sebanyak 1,200 unit tersebut termasuk kedai, gerai, bilik sejuk dan lot niaga.

Kerja-kerja ini termasuk pemasangan sistem pemercik air, serta pembetulan terhadap pengubahsuaian yang dilakukan oleh penyewa tanpa kelulusan SFA.

SFA menegaskan bahawa kerja-kerja ini penting untuk menjamin keselamatan penyewa, pekerja dan orang awam yang melanggani pasar borong itu.

Setakat ini, SFA telah melengkapkan pemasangan sistem pemercik air di kawasan awam dan pengesan haba di kedai-kedai, sebagai asas kepada kerja-kerja pembetulan yang lebih luas.

SFA juga akan menyelesaikan kerja-kerja penambahan dan pengubahsuaian secara berperingkat antara sekarang hingga akhir 2026.

Ini termasuk merobohkan aset-aset dalam unit yang tidak mematuhi piawai keselamatan kebakaran bagi membolehkan pemasangan pemercik air, serta mendapatkan kelulusan keselamatan kebakaran bagi keseluruhan kompleks selepas sistem pemercik air diuji sepenuhnya.

SFA akan menanggung kos pemasangan pemercik air di siling setiap kedai dan merobohkan mesin penyejuk (chiller) atau aset lain yang tidak memenuhi piawai keselamatan kebakaran.

Selain itu, penyewa yang terjejas akan menerima pengecualian bayaran sewa dan caj penyenggaraan selama tiga bulan.

Ruang niaga sementara akan disediakan untuk memastikan perniagaan dapat terus beroperasi, sementara sokongan kewangan bersama akan diberikan kepada penyewa yang perlu memasang semula mesin penyejuk mereka.

Penyewa yang tidak mahu menyambung pajakan boleh memilih untuk mengundurkan diri tanpa perlu memulihkan unit kepada keadaan asal.

SFA juga menegaskan bahawa terdapat penyewa yang mengembangkan kegiatan perniagaan ke kawasan awam, yang menjejas laluan kecemasan dan menyekat peralatan keselamatan kebakaran.

SFA akan bekerjasama dengan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) bagi memastikan halangan keselamatan kebakaran ini diatasi untuk menyediakan persekitaran yang lebih selamat kepada semua.

Menyentuh tentang perkara ini, Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran Zaqy Mohamad berkata bahawa “adalah penting kemudahan-kemudahan ini dinaik taraf, diperbaharui dan bersedia untuk masa depan” demi menjamin bekalan makanan yang selamat dan berterusan untuk Singapura.

Beliau juga menekankan betapa pentingnya memastikan keselamatan penyewa, pelanggan dan pihak berkepentingan lain yang beroperasi di kemudahan itu.

“Oleh itu, kita mesti melaksanakan kerja pembetulan yang diperlukan di Pasar Borong Pasir Panjang mengikut peraturan keselamatan kebakaran yang diwajibkan,” katanya dalam kenyataan media itu.

“Walaupun mungkin terdapat sedikit kesulitan sepanjang kerja-kerja pembetulan ini, SFA akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak yang relevan dan menghulurkan bantuan yang diperlukan untuk memastikan kelangsungan perniagaan serta meminimumkan gangguan.”
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita