Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasangan warga emas, anak lelaki meninggal dunia di flat Jurong terkena renjatan elektrik dek palam pemanas air rosak

Anggaran Waktu Membaca:
Pasangan warga emas, anak lelaki meninggal dunia di flat Jurong terkena renjatan elektrik dek palam pemanas air rosak

Mahkamah Negara di Singapura. (Gambar fail: Jeremy Long)

Diterbitkan : 09 Mar 2022 11:05PM Dikemas Kini : 10 Mar 2022 03:06AM

SINGAPURA: Sebuah mahkamah koroner diberitahu pada Rabu (9 Mac) bahawa wayar yang bercantum dalam palam tiga pin untuk menghidupkan pemanas air di bilik mandi merupakan faktor utama di sebalik kematian seorang lelaki berusia 80 tahun yang sedang mandi dan isterinya yang berusia 66 tahun.

Allahyarham Omar Manan dan isterinya, Allahyarhamha Asmah Bujang yang telah pergi untuk membantu suaminya apabila beliau rebah, terkena renjatan elektrik di flat mereka di Ho Ching Road di daerah Jurong Lakeside pada 10 Disember 2020.

Anak lelaki mereka, Muhamad Ashikin Omar yang berusia 45 tahun, turut meninggal dunia setelah beliau pergi ke flat itu bersama anak perempuannya dan terkena renjatan elektrik semasa cuba membantu ibu bapanya.

Dua pegawai siasatan dari Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) dan Pasukan Polis Singapura memberi keterangan pada hari pertama siasatan koroner terhadap kematian ketiga-tiga individu itu.

RENTETAN TRAGEDI 

Mahkamah koroner diberitahu bahawa anak perempuan Allahyarham Ashikin menghubungi beliau dan ibunya setelah gagal menghubungi datuk dan neneknya.

Apabila mereka pergi ke flat HDB itu, anak beranak itu terdengar bunyi air sedang mengalir. 

Encik Ashikin berjaya memecahkan mangga pada pintu pagar besi utama unit tersebut lalu meluru masuk ke dalam flat dan mendapati ibu bapanya berada dalam tandas di dapur.

Allahyarham Omar ditemui dalam keadaan terlentang manakala isterinya tersandar pada tembok.

Anak perempuan Allahyarham Ashikin kemudian melihat bapanya memegang datuknya sambil menjerit: "Mak!"

Tidak lama kemudian, Allahyarham Ashikin rebah di atas pangkuan bapanya. Dalam keadaan terkejut, anak perempuannya segera menghubungi ibunya yang kemudian menghubungi Pasukan Pertahanan Awam Singapura.

Anggota paramedik tiba di tempat kejadian lalu mengesahkan Allahyarham Omar meninggal dunia pada pukul 5.04 petang manakala  Allahyarhamha Asmah meninggal dunia pada pukul 5.09 petang.

Encik Ashikin dibawa ke Hospital Besar Ng Teng Fong, namun usaha untuk menyelamatkannya  gagal dan beliau disahkan meninggal dunia pada pukul 5.23 petang.

Satu bedah siasat mendapati punca kematian ketiga-tiga anak beranak itu adalah akibat renjatan elektrik. Polis tidak mengesyaki sebarang perbuatan khianat berlaku.

FIUS TERLEBIH BEBANAN, TIADA PEMUTUS LITAR ARUS ELEKTRIK

Pada Rabu, Encik Goh Chin Fong, seorang jurutera bersekutu kanan dari EMA, memberi keterangan bahawa alat pemanas air dalam tandas itu dihidupkan menggunakan palam tiga pin dengan fius 13-amp.

Palam itu disambung ke soket elektrik di dapur.

Encik Goh berkata fius itu menanggung beban berlebihan, menyebabkan kabel neutral dan bumi dalam palam itu cair akibat kepanasan lalu ia bercantum.

Encik Goh berkata disebabkan wayar itu tercantum, arus elektrik mengalir kembali ke tangki pemanas air lalu menyebabkan hos logam yang dipegang Allahyarham Omar menjadi bertenaga.

PEMUTUS LITAR HARUS KERAP DIUJI

Apabila ditanya Peguam Negara Ong tentang nasihat kepada pemilik rumah, Encik Goh memberitahu mahkamah bahawa mereka tidak harus menggunakan palam tiga pin atau fius 13-amp bagi alat bilik mandi seperti pemanas air dan sebaliknya periksa bilik tandas mereka bagi  tempat suis untuk pemanas air.

Jika tidak ada suis, mereka harus mendapatkan khidmat seorang pekerja elektrik bertauliah untuk memasang suis bagi pemanas air.

Pemilik rumah juga boleh mendapatkan khidmat seorang teknisyen bertauliah untuk menghubungkan alat pemanas air itu kepada suis, kata Encik Goh.

Mereka juga harus  kerap menguji pemutus litar arus sisa (FCCB) dengan menekan butang ujian setiap bulan.

Bekalan elektrik seharusnya terputus sepenuhnya, jika tidak pemilik rumah harus mendapatkan khidmat pekerja elektrik bertauliah untuk memperbetulkan masalah itu, katanya.

Koroner Negara Adam Nakhoda akan memberikan keputusannya pada 29 April.

Sumber : CNA/HA/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan