Pasangan suami isteri mengaku bersalah curi 6 tin abalon dari Cold Storage
Sebuah pasangan suami isteri yang mempunyai sabitan mencuri sebelum ini mengaku bersalah pada Selasa (22 Feb) kerana mencuri enam tin abalon dari Cold Storage pada Januari tahun lalu.
(Gambar hiasan: Ekaterina Bolovtsova/Pexels)
SINGAPURA: Sebuah pasangan suami isteri yang mempunyai sabitan mencuri sebelum ini mengaku bersalah pada Selasa (22 Feb) kerana mencuri enam tin abalon dari Cold Storage pada Januari tahun lalu.
Enver Druce Ernest, 65 tahun dihukum penjara satu minggu atas satu tuduhan mencuri dengan niat bersama.
Isterinya, Becky Low Yoke Lin yang berusia 59 tahun, akan dinilai sama ada dia sesuai menjalani perintah rawatan wajib dan akan kembali ke mahkamah pada bulan depan untuk dikenakan hukuman.
Mahkamah diberitahu bahawa Enver merupakan seorang pengurus besar pada ketika itu manakala Low adalah seorang suri rumah. Mereka pergi ke Cold Storage di Cluny Court di 501 Bukit Timah Road pada petang 8 Januari 2021.
Sedang mereka membelek barang di rak, Enver mengambil beberapa produk lalu meletakkannya ke dalam bakul. Semasa lalu di depan rak abalon, Low berkata dia mahu menghadiahkan beberapa tin kepada ibunya.
Pasangan itu kemudian memutuskan untuk mencuri abalon tersebut. Enver mengambil enam tin abalon Skylight Australian berharga S$55 setiap satu, dengan keseluruhan nilainya S$330, lalu meletakkannya ke dalam bakul.
Dia kemudian menyerahkan bakul itu kepada isterinya yang memindahkan tin abalon itu ke dalam beg yang dibawanya.
Low kemudian berjalan keluar dari pasar raya itu dengan tin abalon itu dalam begnya tanpa membuat bayaran. Suaminya pula memulangkan barang lain dalam bakul mereka ke rak lalu meninggalkan pasar raya itu.
Pasangan itu kemudian memandu pulang bersama tin abalon yang dicuri itu.
Perbuatan mereka dirakam kamera litar tertutup pasar raya itu dan pengurus cawangan tersebut membuat laporan polis.
Polis mengenal pasti pasangan itu dan mereka ditangkap semasa di rumah. Polis menggeledah rumah itu dan menemui enam tin abalon yang disimpan dalam almari baju. Tin abalon itu kemudian dipulangkan kepada pasar raya tersebut.
Mahkamah diberitahu bahawa kedua-dua Low dan suaminya mempunyai sabitan mencuri sebelum ini. Low didapati bersalah atas dua tuduhan mencuri pada 2009 dan didenda S$3,000 manakala Enver pernah didenda pada 1975 kerana mencuri dan sekali lagi pada 2009 atas kesalahan mencuri dengan niat bersama.
Peguam pasangan itu memohon bagi laporan untuk menilai kesesuaian Low menjalani perintah rawatan wajib. Menurutnya, Low mengalami kemurungan dan kesedihan berpanjangna menyusuli kematian saudara perempuannya pada 2018.
Beliau juga menukil laporan psikiatrik yang menyatakan Low memenuhi kriteria menghidap kleptomania. Dia masih menghadiri janji temu susulan bagi kedua-dua konsultasi psikiatrik dan psikoterapi, menurut peguam itu.
Low juga merupakan satu-satunya penjaga ibunya yang berusia 83 tahun, tambah beliau.
Bagi Enver, dia bertugas dalam industri gas dan minyak selama 20 tahun namun kini sedang mencari pekerjaan setelah kontrak pekerjaannya tamat pada Disember.
Dia merayu supaya diberikan peluang kedua untuk membuka lembaran hidup baru dan membangunkan semula keluarganya, kata peguam mereka.
Atas kesalahan mencuri, dia boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan didenda.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.