Skip to main content

Singapura

Pasangan suami isteri jadikan cabaran umrah DIY sebagai inspirasi idea perniagaan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sewaktu mahu menunaikan ibadah umrah secara sendiri (DIY) beberapa tahun lalu, Encik Muhammad Abdil Hakeem dan isterinya merasakan sukar untuk mencari kelengkapan umrah serta bagasi yang sesuai untuk perjalanan menaiki Kereta Api Laju Haramain.

Ini kerana hanya ukuran bagasi tertentu sahaja dibenarkan.

Pengalaman itu mendorong Encik Abdil Hakeem, 30 tahun untuk menubuhkan perniagaan 'Umrah Porter'.

"Masalah pertama yang kami hadapi adalah kami tidak mempunyai bagasi. Jadi ia menjadi pendorong yang membuat kami menubuhkan syarikat ini," kata Encik Hakeem.

Menurut Encik Hakeem, tidak ramai yang mempunyai bagasi ukuran yang ditetapkan ataupun mereka tidak biasa melancong sebelum menunaikan ibadah umrah.

Oleh itu, beliau dan isterinya mengambil keputusan untuk melakukan sesuatu untuk memudahkan pengalaman bakal jemaah yang ingin melakukan umrah.

Mereka menubuhkan platform online sehenti di mana pelanggan boleh mendapatkan barang keperluan di bawah satu bumbung serta menawarkan khidmat sewa bagasi.

Khidmat tersebut menurut Encik Hakeem tidak terhad kepada perjalanan bagi umrah sahaja.

Ditanya tentang "insurans" bagi bagasi-bagasi yang disewa, beliau menjelaskan:
"Jika kerosakan disebabkan oleh ejen pengendalian, kami akan berunding bersama syarikat penerbangan. Jika ia disebabkan oleh pelanggan, kami akan berbincang dengan mereka."
KEMAHIRAN TEKNOLOGI ISTERI BANTU BAHAGIAN PEMASARAN

Pada mulanya, penubuhan syarikat Umrah Porter bukan perkara yang mudah bagi Encik Hakeem kerana bekerja sepenuh masa sebagai penyelia dalam industri penerbangan.

Isterinya pula yang merupakan suri rumah sepenuh masa, menguruskan aspek digital syarikat dan pemasarannya.

"Saya tidak celik teknologi, jadi kadang-kadang saya rasa video saya tidak menarik pelanggan," kata Encik Hakeem.

"Isteri saya mempunyai latar belakang sebagai pereka pemasaran. Beliau yang menubuhkan laman web, kos perbelanjaan, apa sahaja terkait dengan online, beliau yang melakukannya. Malah, video juga disunting olehnya," tambah Encik Hakeem.

Bagi musim cuti yang bakal menjelang, Encik Hakeem menyaksikan jumlah tempahan meningkat 30 peratus pada bulan Oktober

RANCANGAN MASA DEPAN

Encik Hakeem dan isteri kini dalam proses untuk mempelbagaikan produk yang ditawarkan.

"Ada jemaah yang perlukan produk yang mungkin 80 peratus jemaah lain tidak perlukan, jadi kami akan menawarkan produk yang di luar kotak," katanya.

Beliau juga berkongsi bahawa syarikatnya bakal bekerjasama dengan sebuah syarikat pelancongan tempatan.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita