Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasangan suami isteri didenda; ganggu jururawat dan keluarganya semasa tempoh pemutus jangkitan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sepasang suami isteri yang didapati mengganggu jiran sebelah rumah mereka, termasuk seorang jururawat dari Hospital Besar Sengkang (SKH) semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 dikuatkuasakan, didenda oleh sebuah mahkamah daerah pada Selasa (8 Feb).

Cheang Eng Hock, 57 tahun mengaku bersalah atas satu tuduhan melakukan kesalahan di bawah Akta Perlindungan Daripada Gangguan (POHA) dan didenda S$1,200.

Pertuduhan kedua yang serupa turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman hukuman ke atas penyelia pembersihan itu.

Isteri Cheang, Lim Sok Lay, 49 tahun mengaku bersalah atas tiga tuduhan di bawah POHA, sementara tuduhan keempat pula kerana mencetuskan kemarahan orang ramai dalam satu lagi insiden yang tidak berhubung kait.

Atas kesalahan-kesalahan itu, Lim didenda S$4,000.

Empat tuduhan serupa turut dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman terhadapnya.

Pasangan itu meminta untuk membayar denda mereka secara ansuran.

Mahkamah diberitahu oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Joseph Gwee bahawa kejadian antara pasangan berkenaan dengan jiran mereka, Encik Muhammad Najib Ngasewan, berlaku sekitar pertengahan Mei 2020.

Insiden itu mendapat perhatian ramai apabila Encik Najib, yang pada ketika itu bekerja sebagai seorang jururawat di SKH, mengongsi di akaun Instagramnya bagaimana tertuduh menghina beliau dan keluarganya semata-mata kerana kerjayanya.

Menurut DPP Gwee, siasatan menunjukkan bahawa pasangan tersebut terlibat dalam pertikaian dengan Encik Najib dan keluarganya antara 13 dengan 15 Mei tahun itu.

Dalam pertikaian itu, pasangan tersebut berteriak, "COVID,""penyebar COVID," virus", dan "keluarga virus" kepada mangsa.

Pendakwa raya menambah bahawa Lim juga pernah menyembur pembasmi kuman ke arah keluarga Encik Najib.

DPP Gwee menegaskan bahawa pasangan berkenaan menghamburkan kata-kata tersebut "semasa kemuncak pandemik COVID-19 di Singapura" dan kata-kata itu sememangnya disasarkan kepada mangsa disebabkan oleh kerjayanya sebagai seorang jururawat.

Sungguhpun demikian, peguam bela pasangan itu, Cik N K Anitha dari firma guaman Anitha & Asoka, berhujah,
kedua-kedua keluarga itu sudah berjiran selama lebih lima tahun dan menjalin 'hubungan yang muhibah' selama ini.

Pasangan itu memang sedia maklum bahawa Encik Najib adalah seorang jururawat dan mereka berdua tidak mempunyai masalah dengan keluarga Encik Najib sehingga bulan Mei.

DAKWAAN PIHAK PEMBELA

Kejadian yang mencetuskan pertikaian antara kedua-dua keluarga berpunca daripada isteri Encik Najib, Cik Habibah Sakri yang mula mempelawa pekerja hijrahan untuk menginap di rumah mereka sekitar Mei 2020.

Menurut Cik Anitha, terdapat beberapa pekerja hijrahan yang akan datang ke rumah Encik Najib setiap masa dan Cheang memutuskan untuk mengambil tindakan dengan membuat rakaman sebagai bukti untuk "memaklumkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa."

DPP Gwee berkata apa yang relevan untuk menjatuhkan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh adalah kata-kata dan tingkah laku mereka secara keseluruhannya dan bukan sama ada Encik Najib adalah seorang jururawat ataupun tidak.

Hukuman bagi kesalahan di bawah POHA adalah denda sehingga S$5,000 dan hukuman penjara sehingga enam bulan.

Hukuman bagi kesalahan mengganggu ketenteraman awam adalah denda sehingga S$2,000.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan