Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasangan S'pura mahu 2 atau lebih anak; isu kewangan dan tekanan jadi halangan: Tinjauan

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 10 Oct 2022 05:54PM Dikemas Kini : 11 Oct 2022 02:07PM
SINGAPURA: Keinginan untuk berumah tangga dan menimang cahaya mata kekal tinggi dalam kalangan rakyat Singapura, dengan ramai pasangan yang sudah berkahwin tidak mempunyai jumlah anak yang mereka inginkan.

Demikian hasil tinjauan mengenai perkahwinan dan keibubapaan.

Tinjauan Perkahwinan dan Keibubapaan 2021 yang dikeluarkan oleh Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD) pada Isnin (10 Okt) mendapati aspirasi dan realiti ketika membentuk keluarga di Singapura yang tidak sepadan.

Sembilan daripada 10 pasangan yang sudah berkahwin (92 peratus) berkata mereka ingin dua atau lebih anak-anak, namun realitinya, hampir separuh daripada mereka yang ditinjau (51 peratus) mempunyai kurang daripada dua anak.

Salah satu sebab utama tidak mempunyai lebih ramai anak adalah kos kewangan, dengan 64 peratus responden memilihnya sebagai satu daripada tiga sebab utama.

Dua lagi sebab ialah "tekanan membesarkan anak di Singapura" dan "sukar untuk mengimbangi tuntutan pekerjaan dan keluarga".

Mereka juga prihatin dengan kurangnya khidmat sokongan penjagaan anak yang baik. Ada juga yang berkata mereka sukar hamil.

Berhubung mendirikan rumah tangga, sebilangan besar, yakni 80 peratus responden muda dan bujang berusia 21 hingga 35 tahun berkata mereka ingin berkahwin. Jumlah itu merosot sedikit berbanding 2016 (83 peratus) dan 2012 (86 peratus).

75 peratus responden berkata mempunyai kerjaya dan keluarga sama pentingnya manakala 14 peratus berkata keluarga lebih penting berbanding kerjaya.

Sebilangan besar (77 peratus) responden bujang juga inginkan cahaya mata. Mereka yang belum pasti ataupun tidak inginkan anak bimbang tentang kos membesarkan anak, kurangnya masa dan tenaga untuk menjaga anak serta mengimbangi komitmen antara pekerjaan dan keluarga.

Ramai bersetuju bahawa aturan kerja fleksibel memudahkan pasangan untuk membina keluarga dan mempunyai lebih banyak anak.

90 peratus yang ditinjau berkata aturan kerja yang fleksibel akan atau telah memudahkan mereka untuk memulakan keluarga.

Tinjauan itu dijalankan dari Februari hingga Jun 2021. Responden termasuk 2,848 orang bujang dan 3,017 rakyat Singapura dan penduduk tetap yang sudah berkahwin berusia antara 21 dengan 45 tahun.

PERALIHAN TANGGAPAN PERANAN JANTINA

Tinjauan 2021 juga menunjukkan peralihan dalam tanggapan mengenai peranan jantina dengan hampir kesemuanya (99 peratus) pasangan yang sudah berkahwin berkata kedua-dua ibu dan bapa memainkan peranan sama penting dalam menjaga anak.

24 peratus bujang yang ditinjau berkata " secara ideal ibu harus menjaga anak sepenuh masa". Jumlahnya jatuh merosot daripada 40 peratus pada 2016.

Bagi pasangan yang sudah berkahwin, ia merosot kepada 40 peratus berbanding 56 peratus pada 2016, menurut NPTD dalam satu kenyataan media.

Secara purata, wanita menghabiskan kira-kira enam jam pada hari bekerja untuk menjaga anak dan 10 jam pada hujung minggu manakala kaum lelaki melaporkan purata 3.6 jam pada hari bekerja dan 7.7 jam pada hujung minggu.

Tinjauan itu mendapati sebahagian kecil wanita (59 peratus) berpuas hati dengan pembahagian kerja di rumah berbanding dengan lelaki (72 peratus).

MENCARI JODOH

Separuh daripada golongan bujang yang ditinjau berkata tidak menjalin hubungan serius buat masa ini dengan 38 peratus belum pernah keluar berpacaran.

Sebab utama yang ialah kurangnya kenalan sosial (58 peratus) dan tidak mempunyai banyak peluang untuk bertemu dengan bakal jodoh mereka. Kira-kira separuh (48 peratus) berkata mereka lebih suka untuk berserah kepada takdir.

Antara mereka yang sudah mempunyai pasangan, 29 peratus daripada mereka menemukan pasangan mereka melalui wadah online, jumlah yang melonjak dengan ketara daripada 13 peratus pada 2016.

Sekitar 58 peratus lebih selesa bertemu pasangan melalui laman web atau aplikasi mencari jodoh online, berbanding 43 peratus pada 2016.

NTPD menyatakan bahawa pandangan daripada tinjauan itu akan diambil kira sedang pemerintah menyemak dan mengkukuhkan langkah-langkah sokongan perkahwinan dan keibubapaan.

Perunding penyelidikan untuk tinjauan tersebut ialah profesor sosiologi, Paulin Straughan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dan Dr Mathew Mathews, fellow penyelidik utama di Institut Kajian Dasar.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan