Pasangan S'pura dipercayai buang bayi perempuan di Taipei
Polis Taiwan mengesyaki pasangan rakyat Singapura membuang mayat bayi yang baru dilahirkan di Taipei.

Pasangan rakyat Singapura dipercayai tiba di pada 19 Februari. (Gambar: Pichi Chuang/Reuters)
SINGAPURA: Polis Taiwan mengesyaki pasangan rakyat Singapura membuang mayat bayi yang baru dilahirkan di Taipei.
Mayat bayi itu ditemui dibalut di dalam sebuah beg plastik oleh seorang kakitangan syarikat mengitar semula, yang menjumpai mayat berkenaan semasa mengasingkan sampah yang dikumpulkan dari merata Taipei pada awal pagi Selasa (26 Feb), menurut laporan tempatan.
Beg yang mengandungi mayat itu dibuang menerusi tong sampah dapur, yang kemudian dibawa oleh sebuah lori sampah dari Taipei ke Xindian di New Taipei, menurut laporan Focus Taiwan pada Khamis (28 Feb).
Bayi itu ditemui masih bertali pusat bersama-sama urinya.
Selepas menyemak rakaman video jalan raya di laluan yang digunakan oleh lori sampah itu, polis memutuskan bahawa bayi berkenaan mungkin dibuang di daerah Xinmending di bahagian tengah Taipei, menurut laporan itu.
Laporan berkenaan memetik polis sebagai berkata bahawa seorang lelaki dipercayai membalut bayi itu di dalam sebuah beg plastik berwarna hitam dan kemudian membuang beg tersebut ke dalam sebuah bekas yang penuh dengan sampah dapur pada sekitar 3.00 pagi pada Selasa (26 Feb).
Orang awam mendakwa mereka ternampak lelaki itu, yang menurut mereka bertutur dalam Bahasa Mandarin dengan loghat asing.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, polis Taiwan menyatakan bahawa pasangan itu adalah rakyat Singapura, berdasarkan rekod penginapan hotel mereka. Pasangan itu melakukan penerbangan ke Taiwan pada 19 Februari dan meninggalkan Taiwan pada 26 Februari.
Polis menambah pihaknya sedang menantikan keputusan DNA bayi berkenaan, menyusuli ujian yang dijalankan ke atas darah yang ditemui di dalam bilik hotel pasangan tersebut.
Pihak polis masih belum menghubungi polis Singapura kerana mereka masih lagi mengesahkan maklumat, menurut polis Taiwan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.