Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasangan muda, termasuk penuntut dan NSF boleh mohon flat baharu dengan bayaran deposit lebih rendah mulai Jun

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Mar 2024 03:15PM Dikemas Kini : 05 Mar 2024 09:14PM
SINGAPURA: Pasangan muda yang memohon flat di bawah skim Bina Ikut Tempahan (BTO), Penjualan Baki Flat atau Tempahan Terbuka akan mendapat lebih banyak bantuan dalam bentuk wang pendahuluan yang lebih rendah sebanyak 2.5 peratus harga jualan.

Ini termasuk mereka yang masih belajar sepenuh masa, menjalani
Perkhidmatan Negara (NSF) atau mereka yang baru tamat pengajian atau Perkhidmatan Negara pada tahun lalu.

Perubahan itu mula dilaksanakan bagi tawaran penjualan flat BTO pada Jun ini, kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee pada Selasa (5 Mar), semasa Parlimen membahaskan peruntukan belanjawan bagi kementeriannya.

Buat masa ini, dalam tempoh 12 bulan memohon surat kelayakan bagi flat HDB, golongan itu boleh memohon bagi flat dahulu dan menangguhkan penilaian pendapatan untuk geran perumahan atau pinjaman sehingga mendapat kunci rumah mereka.

Ini kerana, jika pendapatan mereka dinilai ketika permohonan dibuat, pasangan tersebut mungkin tidak layak mendapatkan geran seperti Geran Perumahan CPF yang Dipertingkat (EHG), yang memerlukan sekurang-kurangnya salah seorang pasangan itu bekerja untuk tempoh sekurang-kurangnya 12 bulan.

Dengan menangguhkan penilaian pendapatan sehingga mereka mengambil kunci rumah, pasangan itu kemungkinan besar layak mendapatkan geran dan jumlah pinjaman lebih tinggi, kata Kementeriaan Pembangunan Negara (MND) dan HDB dalam satu kenyataan media.

Selain itu, di bawah Skim Bayaran Pendahuluan Berperingkat, pasangan muda akan dapat membayar jumlah pendahuluan minimum sebanyak 20 peratus secara ansuran. Bayaran pertama sebanyak 5 atau 10 peratus, bergantung kepada jenis pinjaman yang diambil. Ansuran kedua pula harus dibayar ketika mereka menerima kunci rumah.

Menurut Encik Lee sejak 2018, lebih 3,700 pasangan telah memanfaatkan penilaian pendapatan tertunda, dengan sokongan daripada skim bayaran pendahuluan berperingkat, untuk mengurangkan jumlah pendahuluan yang perlu dibayar dan memudahkan lagi pasangan muda membeli flat.

Tambah beliau, pemerintah mahu melakukan lebih lagi untuk membantu mengurangkan beban kewangan pasangan muda.

"Disebabkan mereka sudah menangguhkan penilaian pendapatan mereka, mereka akan hanya menerima EHG lebih dekat dengan tarikh pengambilan kunci, dan harus bergantung kepada simpanan mereka atau bantuan daripada keluarga untuk kos menempah flat," kata Encik Lee.

Skim bayaran pendahuluan berperingkat akan dipertingkatkan dengan mengurangkan bayaran pendahuluan kepada 2.5 peratus. Ia akan memudahkan lagi pasangan muda membeli flat.

Dalam pada itu, keluarga yang layak bagi Skim Perumahan Sementara Keibubapaan (PPHS) akan menerima bantuan tambahan dalam bentuk skim baucar baru.

Di bawah skim itu, keluarga muda boleh memohon baucar sebanyak S$300 setiap bulan bagi membantu membayar flat HDB atau bilik yang disewa dari pasaran terbuka sementara menunggu rumah mereka siap dibina.

HDB sedang meningkatkan bekalan flat sewa sedemikian untuk memenuhi permintaan, dan menetapkan sasaran untuk menggandakan jumlahnya kepada 4,000 unit menjelang separuh kedua 2025.

Skim Baucar PPHS (Pasaran Terbuka) itu bermula Julai ini dan diberi selama setahun.

Untuk layak menerima baucar tersebut, keluarga harus memenuhi kriteria di bawah PPHS dan mendaftar dengan HDB ketika mereka memohon baucar itu.

Keluarga yang menyewa daripada anggota keluarga terdekat atau saudara mara tidak layak menerimanya.

Lebih banyak butiran akan dikongsi menjelang tarikh penguatkuasaan skim tersebut, tambah pihak berkuasa.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan