Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasangan kes Tradenation ditahan di penjara, siasatan diteruskan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pasangan suami isteri yang didakwa melakukan penipuan jutaan dolar membabitkan barang mewah diarah terus ditahan reman pada Jumaat (16 Ogos)  sedang siasatan dijalankan. 

Warga Singapura Pi Jiapeng dan isterinya, warga Thailand Siriwipa Pansuk, dituduh menipu pelanggan Tradenation untuk membuat bayaran bagi jam tangan mewah yang mereka tidak berniat untuk menghantarnya. 

Pasangan itu yang kedua-duanya berusia 27 tahun, juga didakwa menipu pelanggan lain dalam satu lagi syarikat mereka, Tradeluxury, untuk membeli beg tangan mewah berjenama. 

Kesalahan ini dipercayai berlaku antara 28 Mei 2021 dengan 27 Jun 2022, menurut dokumen mahkamah. Mangsa melaporkan kerugian lebih S$20 juta. 

Pasangan itu hadir di mahkamah menerusi panggilan video dari penjara, sambil memakai baju polo berwarna merah. 

Kedua-duanya ditahan reman untuk membantu  siasatan. Pihak pendakwa sebelum ini menyifatkan kes tersebut sebagai "rumit" dan berkata lebih banyak masa diperlukan untuk menentukan keberadaan wang berkenaan.

Pada Jumaat (26 Ogos), Timbalan Pendakwa Raya David Koh berkata Pi dan Pansuk tidak lagi perlu ditahan reman di bahagian penjara yang tertentu bagi membantu siasatan. 

Namun, kedua-duanya akan terus ditahan di penjara memandangkan hakim sebelum ini menegaskan mereka tidak ditawarkan ikat jamin kerana berisiko melarikan diri dari Singapura. 

Pasangan itu berdepan dengan tuduhan meninggalkan Singapura secara haram menerusi Pusat Pemeriksaan Tuas pada 4 Julai, selepas Pi diberkas manakala Pansuk membantu siasatan. 

Mereka melarikan diri dari Singapura selama kira-kira lima minggu sebelum ditangkap di Malaysia dan diserahkan kepada polis Singapura pada 11 Ogos. 

Encik Koh pada Jumaat (26 Ogos) juga memohon kes ditangguhkan selama enam minggu kerana siasatan masih dijalankan. 

Hakim menarik perhatian bahawa pihak pendakwa sebelum ini berkata siasatan  kemungkinannya "berlarutan" disebabkan jumlah dakwaan. 

Pihak pendakwa menyifatkan tuduhan menipu terhadap Pi dan Pansuk sebagai "tuduhan sementara", sambil menambah bahawa siasatan masih di peringkat awal. 

Pi dan Pansuk akan kembali ke mahkamah pada Oktober bagi sidang sebelum perbicaraan.

Pi diwakili peguam Bhargavan Sujatha dan Pansuk oleh peguam Johannes Hadi. 

Dua lelaki yang dituduh membantu pasangan itu melarikan diri - warga Malaysia Mohamad Fazli Abdul Rahman, 38 tahun, dan Mohamed Alias, 40 tahun - berkata mereka berniat mengaku bersalah. 

Kesalahan menipu membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda. 

Hukuman bagi meninggalkan Singapura tanpa mengemukakan pasport adalah penjara sehingga enam bulan dan denda sehingga S$1,000. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan