Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasangan kes Tradenation didakwa dengan tuduhan menipu, meninggalkan S'pura secara haram

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Aug 2022 06:34PM Dikemas Kini : 12 Aug 2022 09:20PM

SINGAPURA: Pasangan suami isteri yang terkait dengan kes penipuan barangan mewah yang dipercayai bernilai berjuta-juta dolar didakwa di mahkamah pada Jumaat (12 Ogos), sehari selepas mereka diserahkan kepada Pasukan Polis Singapura (SPF) setelah diberkas di Malaysia. 

Rakyat Singapura, Pi Jiapeng, 26 tahun, dan isterinya, warga Thailand, Siriwipa Pansuk, 27 tahun, melarikan diri dari Singapura selama lima minggu. 

Mereka masing-masing berdepan dengan tiga tuduhan, dua daripadanya atas tuduhan bersubahat untuk melakukan penipuan. 

Pi dan Pansuk dituduh menipu para pelanggan Tradenation antara 28 Mei 2021 dengan 27 Jun 2022 dan mereka berdua memperdayakan para pelanggan untuk membuat bayaran bagi jam-jam mewah yang mereka berdua tidak berniat untuk menyerahkan barangan tersebut kepada para mangsa.

Mereka juga dituduh menipu para pelanggan Tradeluxury untuk membeli beg tangan berjenama antara 15 Januari dengan 27 Jun. 

Tuduhan ketiga pula kerana meninggalkan Singapura secara haram melalui Pusat Pemeriksaan Tuas pada 4 Julai. 

Pasangan suami isteri itu yang kini sedang ditahan reman dihadapkan ke mahkamah daerah melalui panggilan video.

Apabila hakim bertanya sama ada mereka mempunyai apa-apa yang ingin dikemukakan, Pi setakat berkata mereka "tidak sepatutnya" melarikan diri dari negara ini.

"Ia disebabkan oleh tekanan yang kami hadapi ketika itu. Saya dan isteri saya menghadapi pelbagai tekanan dan ugutan bunuh," kata Pi. 

"Ia sememangnya kesilapan kami untuk membuat keputusan tersebut dan kami benar-benar menyesali tindakan kami." 

Menurut Pi, mereka berdua akan "melakukan yang terbaik" untuk bekerjasama dengan polis dalam siasatan mereka.

Menerusi jurubahasa Thai, Pansuk berkata: "Saya sedar saya sudah melakukan sesuatu yang salah. Saya akan bekerjasama dengan para pegawai polis bagi siasatan mereka." 

Timbalan Pendakwa Raya David Koh menyifatkan kedua-dua tuduhan menipu itu sebagai "tuduhan sementara", sambil menambah bahawa siasatan masih di peringkat awal.

Ini kerana pasangan itu telah melarikan diri dan kerana masa diperlukan untuk menyiasat lebih 180 aduan polis yang dibuat sejauh ini, katanya. 

Hakim meluluskan permohonan pihak pendakwa supaya pasangan itu tidak dibebaskan dengan ikat jamin dan direman bagi siasatan lanjut. 

Mereka akan dihadapkan semula ke mahkamah pada minggu depan. 

Buat masa ini, kedua-dua Pi dan Pansuk tidak diwakili peguam.

Sekurang-kurangnya tiga mangsa hadir ke mahkamah untuk menghadiri perbicaraan di Mahkamah Negara. 

Hukuman bagi kesalahan menipu adalah hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda. 

Hukuman bagi kesalahan meninggalkan Singapura tanpa menggunakan pasport adalah hukuman penjara sehingga enam bulan dan didenda sehingga S$1,000. 

Sumber : CNA/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa