Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasangan ini dibebaskan daripada tuduhan bunuh anak lelaki mereka berusia 5 tahun, bakal hadapi tuduhan lebih ringan

Pasangan suami isteri yang dituduh membunuh anak lelaki mereka yang berusia lima tahun pada 2016 setelah menderanya selama berbulan-bulan, sehingga dia akhirnya rebah selepas disimbah air panas, didapati tidak bersalah pada Jumaat (3 Apr) daripada tuduhan yang membawa hukuman mati. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pasangan ini dibebaskan daripada tuduhan bunuh anak lelaki mereka berusia 5 tahun, bakal hadapi tuduhan lebih ringan

(Gambar: Dokumen mahkamah)

Diterbitkan : 03 Apr 2020 11:41PM Dikemas Kini : 03 Apr 2020 11:46PM

SINGAPURA: Pasangan suami isteri yang dituduh membunuh anak lelaki mereka yang berusia lima tahun pada 2016 setelah menderanya selama berbulan-bulan, sehingga dia akhirnya rebah selepas disimbah air panas, didapati tidak bersalah pada Jumaat (3 Apr) daripada tuduhan yang membawa hukuman mati. Mereka sebaliknya akan berdepan dengan tuduhan lebih ringan.

Ibu bapa budak tersebut, yang kedua-duanya berusia 27 tahun, Azlin Arujunah dan Ridzuan Mega Abdul Rahman, masing-masing dibebaskan daripada tiduhan membunuh dengan niat sama selepas satu perbicaraan, kerana hakim mendapati bahawa pihak pendakwa belum membuktikan wujud elemen niat sama.

Hakim Valarie Thean berkata bahawa ciri niat sama untuk membunuh harus wujud sebelum kesalahan-kesalahan tersebut dilakukan, dan dalam kes ini merujuk kepada empat perbuatan melecurkan mangsa.
 
Bagaimanapun, "tiada sebarang perbuatan di mana kami boleh mengandaikan ada niat tersebut", katanya.
 
Pihak pendakwa cuba menggesa hakim membuat andaian sebaliknya daripada keengganan pasangan itu untuk memberi keterangan di mahkamah, kerana hanya mereka sahaja yang tahu apa yang berlaku.

Kes itu ditangguh pada satu tarikh kelak bagi memberi masa kepada pihak pendakwa membuat tuduhan lebih ringan.

Perbicaraan itu bermula pada November dan mendedahkan butiran mengenai penderaan yang didakwa dilakukan terhadap kanak-kanak itu - termasuk bagaimana dia dicubit dengan alat penyepit dan dikurung semalaman dalam kandang kucing yang kecil.

Sebelum kanak-kanak lelaki itu meninggal dunia, ibu bapa budak berkenaan  menyiramnya dengan air panas beberapa kali, yang menyebabkannya dalam kesakitan, hujah pihak pendakawa.

PEMBELAAN PASANGAN
 
Pembelaan bagi kedua ibu bapa itu tertumpu pada pasangan itu tidak ada sebarang niat sama. Pihak pendakwa berhujah bahawa tuduhan berkenaan berdasarkan empat perbuatan penganiayaan sepanjang satu tempoh masa, namun hakim menekankan bahawa bukan semua perbuatan melibatkan kedua ibu bapa.

Pakar psikiatri pembelaan Dr Jacob Rajesh memberitahu mahkamah bahawa Azlin pernah disimbah air panas oleh ibunya sendiri dan mempelajari cara itu sebagai kaedah menghukum.
 
Beliau berkata Azlin melindungi suaminya daripada dipersalahkan bagi beberapa kesalahan, dan dia juga didakwa dianiya suaminya semasa perkahwinan mereka termasuk ditampar semasa dia sedang hamil dan dipukul.

Azlin mengalami gangguan penyesuaian dengan rasa murung. Ini menjejas keupayaannya mengawal diri, kata Dr Rajesh.
 
Sementara itu, Ridzuan disifatkan sebagai seseorang yang tidak mempunyai kasih sayang ibu semasa dia kanak-kanak dan  daya inteleknya "antara sangat rendah hingga bawah paras sederhana".
 
Sekiranya pasangan itu didapati bersalah atas membunuh dengan niat sama, mereka boleh dihukum mati, atau dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan  disebat. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan