Pasangan ini abadikan detik manis nikah di ROMM sebelum ia dibangunkan semula
SINGAPURA: Banyak kenangan manis terukir di Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) di Canning Rise.
Namun pada Khamis (10 Apr), bangunan yang sudah beroperasi lebih empat dekad itu menyaksikan majlis ijab kabul terakhirnya sebelum ditutup untuk kerja-kerja pembangunan semula.
Ia akan berpindah buat sementara waktu ke Esplanade Mall mulai Isnin ini (14 Apr).
Pasangan mempelai, Encik Rashid Abdullah, 42 tahun, dan isterinya Cik Khoirunnisa Nono Waryono, 38 tahun, teruja menjadi pasangan terakhir yang dinikahkan di lokasi penuh sejarah itu.
“Saya rasa bangga dan terkejut apabila diberitahu bahawa bangunan ini akan ditutup. Saya bersyukur dapat bernikah di sini sebelum ia berpindah,” kongsi Encik Rashid kepada BERITA Mediacorp.
Majlis mereka dihadiri 16 ahli keluarga daripada pihak pengantin lelaki, yang sama-sama menyaksikan detik manis itu.
Bagi pasangan tersebut, bernikah di ROMM Canning Rise bukan sekadar satu peristiwa penting dalam kehidupan mereka, tetapi juga satu pengalaman yang bermakna.
"Bernikah di sini - satu keindahannya ialah Fort Canning di mana senang untuk bergambar dan ada juga stesen MRT dan bas untuk datang ke sini. Jadi ini seperti tempat kenangan (untuk saya) nanti," ujar Encik Rashid.
Perasaan bercampur baur turut menyelubungi Timbalan Pendaftar Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM), Ustaz Syakir Pasuni, apabila beliau mengijab kabul pasangan terakhir itu sebelum ia ditutup bagi kerja pembangunan semula.
"Seperti biasa, sifat majlis pernikahan itu adalah sesuatu yang mendatangkan kegembiraan dan kebahagiaan. Tetapi dalam masa yang sama, menyedari bahawa ini adalah majlis pernikahan terakhir yang telah dilaksanakan di Bangunan ROMM di Canning Rise ini, ia menjadikannya bercampur antara bahagia, gembira dan juga ada sedikit kesedihan bahawa selepas ini, sudah tiada pernikahan yang akan dilangsungkan di sini lagi," kongsi Ustaz Syakir.
KENANGAN, HUBUNGAN BERSAMA RAKAN, MASYARKAT TERCIPTA DI TAPAK LAMA
Pemindahan sementara ke ruang ti tingkat tiga Esplanade Mall mulai Isnin (14 April) bukan sekadar pertukaran lokasi.
Ia membawa bersama kenangan, nostalgia dan hubungan erat yang telah dibina selama ini di tapak Canning Rise.
"Pastinya, dengan pemindahan itu, ia akan menimbulkan kerinduan kepada tempat yang lama. Kita dengan kebiasaan kita, dengan hubungan kita dengan orang-orang yang berada di sini. Kita akan mengingati semula kenangan-kenangan bersama dengan rakan-rakan sekerja dan juga masyarakat umum dengan pernikahan-pernikahan yang telah dilangsungkan di sini. Ini terutama sekali apabila kita mengingati bahawa beribu-ribu pernikahan telah dilangsungkan di sini," ujar Ustaz Syakir.
Ustaz Syakir turut menzahirkan keunikan suasana sekitar bangunan di Canning Rise yang cukup dekat dengan alam semula jadi.
"Dalam masa yang sama, ada keunikan kepada bangunan ini di mana ia dekat dengan alam sekitar. Jadi apabila kita datang setiap pagi, kita disambut dengan kicauan burung-burung, ayam yang lalu-lalang serta tupai di pokok-pokok dan sebagainya," tambah beliau.
NILAI-NILAI DAN AMALAN BAIK DITERUSKAN DI TEMPAT BAHARU
Walaupun lokasinya berubah, ROMM tetap komited meneruskan nilai dan amalan baik yang telah menjadi teras kepada perkhidmatan mereka selama ini.
"Walaupun tempatnya berubah, tetapi kebiasaan kita sama. Maksudnya, selain daripada menghayati dan menikmati upacara pernikahan itu yang gembira dan bahagia, bersama-sama, tugas kita tidak berubah," jelas Ustaz Syakir.
"Kita akan terus mengingatkan pasangan tentang sifat pernikahan itu, yang merupakan satu-satu perkara yang serius, yang berkait rapat dengan niat dan juga kerohanian apabila pasangan itu memasuki ke alam rumah tangga," tambahnya.
Bangunan baru ROM dan ROMM yang dijangka siap pada 2028 dijangka tampil lebih moden dan inklusif, dengan ruang pernikahan yang luas, lokasi atas bumbung serta sudut bergambar menarik.
Ia dijangka menjadi lokasi pilihan pasangan mempelai pada masa depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.