Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasangan dipercayai sembur cecair basmi kuman, guna kata kesat terhadap jiran akan didakwa

Sepasang lelaki dan wanita akan didakwa di mahkamah kerana disyaki terlibat dalam perbuatan sengaja mengganggu jiran mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Pasangan dipercayai sembur cecair basmi kuman, guna kata kesat terhadap jiran akan didakwa

Air bersabun disimbah di depan rumah seorang jururawat, jibby4g. (Gambar: Instagram/jibby4g/habby.yabby)

Diterbitkan : 20 May 2021 08:17PM Dikemas Kini : 20 May 2021 08:23PM

SINGAPURA: Sepasang lelaki dan wanita akan didakwa di mahkamah kerana disyaki terlibat dalam perbuatan sengaja mengganggu jiran mereka.

Demikian menurut polis pada Khamis (20 Mei).

Perbuatan gangguan itu dipercayai termasuk menghamburkan kata-kata kesat dan menghina, menyembur cecair pembasmi kuman ke arah rumah jiran mereka dan penghuninya serta menyimbah air di koridor depan rumah yang diguna bersama, menurut polis.

Seorang lelaki berusia 55 tahun dan wanita berusia 48 tahun akan didakwa di mahkamah esok (21 Mei), dengan wanita itu juga akan didakwa atas kesalahan mencetuskan gangguan awam dalam satu lagi insiden tidak berkaitan.

Pada 3 Mac, pengguna akaun Instagram bernama jibby4g, yang bertugas sebagai seorang jururawat di Hospital Besar Sengkang memuat naik satu rakaman video yang menunjukkan air bersabun disimbah di luar rumahnya. Dalam catatan itu, dia juga memuat naik video yang dirakam pada Disember 2020 yang menunjukkan cecair pembasmi kuman disembur ke arah rumahnya.

"Anak saya akan terbatuk-batuk disebabkan bau kuat daripada cecair pembasmi kuman itu dan apabila dia batuk, sekolah tidak akan membenarkannya masuk," katanya.

Pada Khamis (19 Mei), pengguna Instagram habby.yabby, iaitu isteri jibby4g, memuat naik gambar-gambar air bersabun yang dilihat di lantai luar rumahnya, sambil menyifatkan insiden gangguan itu sebagai "penderaan mental".

Pada 18 Mei tahun lalu, Hospital Besar Sengkang (SKH) menyatakan dalam catatan di laman Facebooknya, bahawa ia maklum tentang video yang dimuat naik online oleh salah seorang jururawatnya mengenai perbuatan jiran itu. Pihak hospital juga menyatakan ia sudah membuat laporan.

"SKH memandang serius terhadap insiden ini. Para petugas perubatan kami bekerja keras untuk memberikan jagaan yang diperlukan para pesakit kami, terutama sekali dalam tempoh ini semasa dunia bergelut dengan pandemik COVID-19.

"Mereka berhak mendapatkan pertimbangan, rasa hormat dan sekitaran yang selamat di tempat kerja dan di rumah supaya mereka boleh terus memberikan yang terbaik. Kami sedang memberikan sokongan kepada para kakitangan kami dalam masa mencabar ini."

Hospital itu menyeru orang ramai supaya menghormati para petugas perubatannya dan menyatakan kes-kes penderaan fizikal atau lisan terhadap kakitangan jagaan kesihatannya akan dilaporkan kepada polis.

Polis sudah menerima laporan pada 15 Mei tahun lalu yang menyatakan bahawa pasangan berkenaan mengganggu jiran mereka dan sudahpun memulakan siasatan.

Sedang siasatan dijalankan, polis menerima beberapa laporan tambahan antara Oktober 2020 dengan Januari 2021, mendakwa insiden-insiden gangguan serupa berulang lagi.

Ini meskipun semua pihak terlibat dalam insiden itu sedang menjalani sesi pengantaraan di Pusat Pengantara Masyarakat untuk mencari huraian pada Jun 2020.

Siasatan ke atas wanita itu bagi kesalahan-kesalahan baru yang didakwa dilakukan ke atas jirannya seperti yang dilaporkan dalam bulan April 2021 masih dijalankan.

Menurut polis, ia terus berhubungan dengan pihak-pihak terlibat sepanjang siasatan dijalankan dan sudah menasihatkan mereka supaya mengurangkan kontak dan interaksi antara satu sama lain.

Jika didapati bersalah sengaja menyebabkan gangguan, pelaku boleh didenda shingga S$5,000, dipenjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Mereka yang disabit menimbulkan gangguan awam boleh dipenjara sehingga tiga bulan, didenda sehingga S$2,000 atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan