Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasangan dipercayai gagal hantar barangan mewah disenaraikan di laman notis merah Interpol

Anggaran Waktu Membaca:
Pasangan dipercayai gagal hantar barangan mewah disenaraikan di laman notis merah Interpol

(Gambar: SPF)

Diterbitkan : 22 Jul 2022 11:03AM Dikemas Kini : 22 Jul 2022 01:55PM

SINGAPURA: Pasangan yang melarikan diri dari Singapura setelah dipercayai gagal menghantar jam tangan mewah dan beg berjenama sudah disenaraikan di laman notis merah Interpol pada Khamis (21 Jul). 

Pi Jiapeng, seorang lelaki Singapura berusia 26 tahun, dan Pansuk Siriwipa, 27 tahun, dari Thailand adalah dua individu yang dikehendaki, menurut Interpol. 

Pasukan Polis Singapura (SPF) sudah mengeluarkan waran tangkap dan mengenal pasti identiti mereka pada Rabu (20 Jul). Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menyatakan bahawa pasangan itu melarikan diri dari Singapura dengan bersembunyi di dalam kompartmen kontena sebuah lori. 

Pi dilahirkan di Fujian, China, manakala Pansuk berasal dari Roi Et, wilayah di timur laut tengah Thailand, menurut Interpol. Agensi tersebut juga mendedahkan bahawa ketinggian Pansuk ialah 1.64 meter. 

Sekurang-kurangnya 180 aduan melibatkan dua syarikat, Tradenation dan Tradeluxury, sudah dilaporkan kepada polis dari Jun hingga kini. 

Walaupun sesetengah laporan media menyatakan nilai barangan yang tidak dihantar itu adalah S$32 juta, Mediacorp difahamkan bahawa mangsa yang membuat aduan polis belum menerima barangan bernilai sekurang-kurangnya S$20 juta setakat Ahad (17 Jul). 

Seorang lelaki Malaysia berusia 40 tahun membantu pasangan itu meninggalkan Singapura secara haram dengan menyembunyikan mereka dalam lorinya, menurut ICA semasa menjawab pertanyaan Mediacorp. 

Polis sudahpun memberkas lelaki tersebut. 

APAKAH NOTIS MERAH INTERPOL? 

Menurut Interpol, notis merah dikeluarkan untuk dua individu yang dikehendaki untuk dikenakan tuduhan atau untuk menjalani hukuman. 

Ia adalah permintaan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang di merata dunia untuk mengenal pasti dan memberkas seorang individu. 

Notis merah dikeluarkan oleh Interpol menyusuli permintaan negara anggota dan harus mematuhi perlambagaan dan undang-undang Interpol. Notis merah bukan waran tangkap antarabangsa, menurut Interpol. 

Setiap negara anggota memutuskan nilai undang-undang yang diberikan kepada notis merah dan kuasa pegawai penguatkuasaan undang-undang untuk membuat sebarang tangkapan. 

Kini, terdapat sekitar 69,000 notis merah yang sah, daripadanya kira-kira 7,500 didedahkan kepada orang awam, menurut data Interpol.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan