Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasangan didakwa rakam video dalam Kompleks Polis Cantonment, sebuah kawasan dilindungi

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dua individu didakwa kerana merakam video dalam Kompleks Polis Cantonment, iaitu sebuah kawasan yang dilindungi di bawah Akta Perlindungan Infrastruktur.

Video tersebut kemudian dimuat naik ke laman media sosial.

Siti Zulaika A Rahman, 33 tahun, didakwa atas dua tuduhan pada Selasa (8 Ogos). Dia didakwa merakam dua video dalam bangunan tersebut bersama Mohd Heirizal Kamarzaman, 41 tahun pada 13 Julai dan 1 Ogos.

Bagaimanapun, tidak jelas mengapa mereka berada di dalam kompleks berkenaan di 391 New Bridge Road, tetapi Heirizal dikenakan lagi satu tuduhan mencederakan Siti dengan alat meluruskan rambut yang panas pada 19 Jun tahun ini.

Heirizal didakwa sebelum ini pada Sabtu (5 Ogos) dengan satu tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan bahan yang panas terhadap Siti dan satu tuduhan merakam video di Divisyen Polis Pusat pada 1 Ogos.

Polis menegaskan dalam satu kenyataan bahawa balai polis diisyitiharkan sebagai kawasan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Infrastruktur.

Lantaran itu, ia merupakan satu kesalahan untuk menangkap gambar atau membuat sebarang rakaman filem atau video sesebuah balai polis tanpa kebenaran.

Siti, yang ditahan reman dan menghadiri perbicaraan di mahkamah menerusi pautan video pada Selasa, berkata bahawa dia berhasrat untuk mengaku bersalah.

Dia diberikan tarikh untuk melakukan demikian pada 22 September.

Heirizal juga ditahan reman dan akan kembali ke mahkamah pada hujung bulan ini bagi perbicaraan lanjut kes tersebut.

Jika sabit kesalahan mengambil video di sebuah tempat dilindungi, mereka boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$20,000, atau kedua-duanya sekali.

Hukuman bagi kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan bahan panas adalah tempoh penjara sehingga tujuh tahun, denda, sebatan rotan atau mana-mana gabungan hukuman tersebut.

Polis mengingatkan orang ramai supaya jangan mengambil gambar atau membuat rakaman di sebarang kawasan yang dilindungi tanpa kebenaran.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan