Pasangan diberkas selepas dadah ditemui di rumah bersama dua anak kecil
Peralatan dadah ditemui di ruang tamu sebuah unit kediaman dekat Marsiling Lane pada 11 Ogos 2026 (kiri), sedang pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) menjaga anak pasangan tersebut (kanan). (Gambar: Biro Narkotik Pusat)
Lelaki berusia 25 tahun dan wanita berusia 24 tahun itu, kedua-duanya warga Singapura, diberkas selepas pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) menyerbu sebuah unit kediaman di sekitar Marsiling Lane pada dini hari Selasa (11 Ogos).
Menurut CNB dalam kenyataannya pada Khamis (13 Ogos), sejumlah kecil dadah termasuk kanabis, Ice dan ekstasi serta peralatan berkaitan dadah dirampas dari beberapa bahagian unit tersebut.
Barangan itu turut ditemui di bilik tidur utama, tempat kedua-dua kanak-kanak berkenaan berada.
Kedua-dua anak lelaki pasangan itu masing-masing berusia tiga tahun dan tujuh bulan.
"Aturan sewajarnya dibuat bagi memastikan kebajikan kanak-kanak tersebut terjaga dan mereka sudah ditempatkan di bawah jagaan waris terdekat," menurut CNB.
Timbalan Pegawai Pemerintah Penguatkuasaan "J", Superintenden Xanthus Tong, berkata penyalahgunaan dadah turut membawa kesan kepada keluarga dan orang tersayang, termasuk kanak-kanak kecil.
"Penyalahgunaan dadah bukan jenayah tanpa mangsa. Kesannya meluas, bukan sahaja terhadap penagih dadah sendiri, malah keluarga dan orang tersayang, termasuk kanak-kanak kecil," katanya.
Beliau menegaskan CNB akan mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap mereka yang mendedahkan kanak-kanak kepada dadah.
CNB turut menggesa ibu bapa supaya menjauhkan anak-anak mereka daripada dadah dan kesan buruk yang berkaitan dengannya.
Individu berusia 21 tahun ke atas boleh didakwa jika mendedahkan seorang kanak-kanak kepada dadah terkawal atau peralatan berkaitan dadah.
Mereka juga boleh didakwa jika membenarkan atau gagal mengambil langkah munasabah untuk menghalang seorang individu muda daripada mengambil dadah terkawal.
Siasatan terhadap kegiatan dadah pasangan tersebut masih dijalankan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.