Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasangan dengan anak kecil terpaksa bermalam di Lapangan Terbang Changi, penerbangan Scoot ke Athens dibatalkan kerana ribut salji

Seorang penumpang Scoot mengadu terpaksa bermalam dan tidur di atas lantai Lapangan Terbang Changi bersama pasangannya dan anak kecil mereka setelah penerbangan mereka ke Athens dibatalkan, sekali gus bermakna penerbangan pulang mereka ke Greece ditunda.

Anggaran Waktu Membaca:
Pasangan dengan anak kecil terpaksa bermalam di  Lapangan Terbang Changi, penerbangan Scoot ke Athens dibatalkan kerana ribut salji

(Gambar: Reuters, Twitter/Irene Caselli)

Diterbitkan : 25 Jan 2022 09:55PM Dikemas Kini : 25 Jan 2022 09:55PM

SINGAPURA: Seorang penumpang Scoot mengadu terpaksa bermalam dan tidur di atas lantai Lapangan Terbang Changi bersama pasangannya dan anak kecil mereka setelah penerbangan mereka ke Athens dibatalkan, sekali gus bermakna penerbangan pulang mereka ke Greece ditunda.

Nasib penumpang itu diketahui apabila Cik Irene Caselli menulis catatan Twitter mengenai pengalamannya selepas tengah malam, pada Selasa(25 Jan).

Penerbangan Scoot mereka dibatalkan kerana ribut salji di Athens. Cik Caselli berkata mereka tidak dapat meninggalkan Lapangan Terbang Changi disebabkan oleh peraturan COVID-19.

Mediacorp cuba menghubungi Cik Caselli bagi mendapatkan butiran lanjut seperti waktu penerbangannya yang dibatalkan itu namun dia tidak memberi respons.

Dalam catatannya di Twitter, Cik Caselle mendakwa dia tidak diberi sebarang pilihan oleh Scoot atau syarikat induknya Singapore Airlines (SIA) "selain daripada tidur di atas lantai" bersama anak kecilnya sehingga penerbangan mereka dijadual semula pada Khamis (27 Jan).

SIA dalam responsnya di Twitter menjelaskan bahawa semua hotel di lapangan terbang itu sudah penuh ketika penerbangan mereka dibatalkan. Ia juga menarik perhatian bahawa Scoot kemudian menghubungi wanita itu untuk memaklumkan bahawa ia sudah berjaya mendapatkan bilik hotel untuk keluarga mereka.

Dalam catatan yang sama, SIA menyatakan bahawa "ia benar-benar meminta maaf atas kesulitan yang berlaku".

Cik Caselli berkata dia diberikan bilik di sebuah hotel di lapangan terbang pada petang Selasa, setelah terkandas di sana selama sekitar 17 jam.

Dalam jawapan kepada pertanyaan Mediacorp, Scoot menyatakan: "Penerbangan Scoot TR722 (Singapura-Athens-Berlin) dan TR723 (Berlin-Athens-Singapura), yang dijadual berlepas pada 25 Januari 2022 dibatalkan kerana keadaan cuaca buruk di Athens."

Pelanggan terjejas diberikan penerbangan Scoot seterusnya. Scoot menyatakan ia sudah menghubungi pelanggan yang terjejas untuk menawarkan sokongan dan bantuan yang perlu.

"Kesihatan dan keselamatan kakitangan serta pelanggan adalah keutamaan kami, dan kami mohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku disebabkan keadaan cuaca buruk," kata seorang jurucakap Scoot.

"Kami mengharapkan pemahaman pelanggan kami yang rancangan perjalanan mereka terjejas oleh keadaan cuaca buruk yang tidak diduga dan kami akan terus menghulurkan bantuan sewajarnya."

Sumber : Today/HA/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa