Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasangan Cina pencipta 17 kamus Melayu-Cina ini terima Anugerah Pencapaian SBC

Pasangan suami isteri yang merupakan tokoh penterjemahan bahasa Melayu-Cina, dipilih menjadi penerima pertama Anugerah Pencapaian Majlis Buku Singapura (SBC) hari ini (25 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pasangan suami isteri yang merupakan tokoh penterjemahan bahasa Melayu-Cina, dipilih menjadi penerima pertama Anugerah Pencapaian Majlis Buku Singapura (SBC) hari ini (25 Sep).

Dr Yang Quee Yee dan isterinya Cik Chan Maw Woh diiktiraf kerana sumbangan besar dan pengabdian mereka selama lebih 50 tahun dalam menggalak pertukaran silang budaya antara masyarakat Cina dengan Melayu, menerusi karya-karya mereka.

BUKAN SATU DUA TETAPI 17 KAMUS BAHASA MELAYU-CINA!

Kamus dwibahasa Mandarin-Melayu pertama terbitan mereka adalah pada tahun 1972 dan ia boleh dianggap sebagai antara sumber penting bagi Singapura.

Kamus Umum itu terhasil setelah 10 tahun mereka memulakan projek itu.

"Orang Cina mesti faham dan tahu keadaan, fikiran dan kebudayaan orang Melayu supaya kedua bangsa ini boleh bersatu padu. Kami ada juga menulis dalam bahasa Melayu, untuk memperkenalkan orang Cina kepada bahasa Melayu," kata Cik Chan, 84 tahun.

"Yang penting kita mahu orang Cina dan Melayu terus memperjuangkan, dahulu kemerdekaan negara. Sekarang majukan kemajuan dan kemakmuran negara. Bangsa apapun mesti ada persamaannya jadi kalau tahu, tidak akan ada selisih faham," tambah Cik Chan tentang peri pentingnya kamus-kamusnya sebagai jambatan persefahaman antara kedua-dua kaum itu.

Lebih dikenali dengan nama pena Ma Chin (Dr Yang) dan Tinoh (Cik Chan), dua tokoh penterjemah itu sebenarnya sudah berkecimpung dalam bidang penterjemahan bahasa Cina kepada bahasa Melayu dan sebaliknya, sejak tahun 1950-an lagi.

Setakat ini, Dr Yang dan Cik Chan sudah menyusun bukan dua atau tiga kamus Melayu-Cina, tetapi 17 kesemuanya!

Senarai kamus-kamus itu termasuk - Kamus Umum Bahasa Malaysia (1972), Kamus Sari Ejaan Bersama (1973, 1985), Kamus Sarjana Bahasa Cina-Melayu Terkini (2012), Kamus Umum Bahasa Melayu-Cina Serba Baru (2015), Kamus Bestari Cina-Melayu-Inggeris (2015), Kamus Sari Ejaan Bersama Edisi ke 4 (2018).

"Saya belajar bahasa Melayu dahulu tidak ada kamus. Jadi hadapi banyak kesukaran. Saya fikir kenapa tidak ada kamus, saya geram jadi saya menyusun sendiri," cerita Dr Yang.

Susunan kamus-kamus bahasa Melayu-Cina yang diterbitkan Dr Yang dan Cik Chan sebenarnya juga menitikberatkan keperluan pelbagai lapisan usia.

Misalnya pada 1984, pasangan itu menerbitkan Kamus Titian, sebuah kamus bahasa Melayu-Cina yang ditujukan buat golongan kanak-kanak, dan diisi penuh dengan gambar-gambar agar lebih mudah difahami.

"Kalau murid sekolah rendah gunakan kamus besar tidak boleh, kan? Mesti standardnya ikut sekolah rendah," kata Cik Chan.

Kamus-kamus Umum mereka juga sering dikemas kini mengikut perubahan zaman dan masa. Misalnya, edisi pertama Kamus Umum mereka yang diterbitkan pada 1972 masih mengikut sistem ejaan sekolah.

16 tahun kemudian, mereka menerbitkan edisi kedua kamus itu, dengan perkataan-perkataan baru.

Lantaran itu, tidak hairan kamus-kamus terbitan pasangan suami isteri itu menjadi rebutan khalayak ramai, malah menembusi persada antarabangsa.

Ujar Cik Chan: "Keistimewaan kamus kami adalah banyak perkataan yang baru yang diterbitkan dalam suratkhabar, majalah. Itu Dewan Bahasa belum masukkan, kami sudah masukkan. Sambutannya bagi kamus kami hangat di Malaysia. Universiti Beijing pun ada gunakan kamus umum kami."

TERJEMAH NOVEL, ANTALOGI JUGA

Cik Chan mula berjinak-jinak dengan bahasa Melayu pada tahun 1956, semasa usianya 21 tahun.

""Pada tahun 1956, saya diberhentikan sekolah. Jadi, tiada sekolah untuk saya belajar dan masa itu banyak pemuda pemudi Cina belajar bahasa Melayu jadi saya pun belajar. Saya belajar buku-buku bahasa Melayu, yang sangat kurang, dan saya hanya dapat baca buku-buku pelajar sekolah rendah," imbas Cik Chan mengenang titik permulaannya mendalami bahasa Melayu.

Beliau banyak menulis cerpen sebagai permulaan. Antaranya cerpen bertajuk 'Tragedi Di Sebuah Pondok' serta 'Sebuah Coretan Hidupku' yang disiarkan oleh Dewan Bahasa pada 1964.

Selain itu, Cik Chan juga sudah menterjemah sekitar 10 novel dan antologi cerpen Melayu ke dalam bahasa Mandarin termasuk novel terkenal Isa Kamari berjudul Satu Bumi.

Nenek kepada lima orang cucu itu sebenarnya masih lagi aktif dalam dunia penterjemahan sehingga kini.

Selain itu, beliau juga menterjemah 3 buku Cina ke dalam bahasa Melayu iaitu Dongeng-dongeng Tiongkok Kuno (1962), Antologi Cerpen Xinhua (1999) dan 12 Cerpen Xinhua (2000).

TERJEMAH HIKAYAT MUNSHI ABDULLAH

Pernah menjadi pensyarah bahasa Melayu di Universiti Nanyang, minat Dr Yang untuk belajar bahasa Melayu bermula sejak di bangku sekolah rendah lagi. Namun, beliau sering belajar bahasa Melayu secara sendiri, menerusi perbualan dengan rakan-rakan dan anggota masyarakat Melayu.

Setelah menjejaki usia dewasa pula, Dr Yang mengajar bahasa Melayu kepada teman-teman mahasiswanya di Universiti Nanyang secara sukarela.

LEBIH 50 TAHUN MARTABATKAN DUNIA BAHASA MELAYU DIIKTIRAF

Ibarat permata dalam dunia penterjemahan, Dr Yang dan Cik Chan sudah menerima pelbagai pengiktirafan dari dalam dan luar negara.

Selain itu, beliau juga dijulang dengan Anugerah Tokoh Budaya oleh Persatuan Kebudayaan Cina Malaysia pada 2002 dan Hadiah Karyawan Bukan Melayu oleh Yayasan Warisan Johor pada 2005.

Dalam pada itu, Cik Chan pula pernah menerima Anugerah Bakti Persuratan daripada Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) atas komitmennya dalam melestarikan dunia persuratan Melayu.

Beliau juga dianugerahkan Anugerah Sastera daripada Persatuan Kesusasteraan Singapura pada 1999 serta Anugerah Sastera Cina Asean pada 2016.

Kini, demi menjulang sumbangan pasangan itu memartabatkan penggunaan bahasa Melayu kepada masyarakat Cina dan sebaliknya, mereka menjadi penerima sulung Anugerah Pencapaian Majlis Buku Singapura.

Anugerah tersebut disampaikan pada Sabtu (25 Sep), semasa Simposium Penterjemahan Singapura anjuran SBC. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan