Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasangan China halang pengesanan kontak COVID-19 di S'pura batalkan rayuan, akan jalani hukuman

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pasangan suami isteri warga China yang dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan menghalang tugas para pegawai pengesanan kontak di Singapura, akhirnya mengaku salah setelah hampir dua tahun mempertahankan kes mereka di mahkamah.

Hari ini (11 Jan) pasangan itu membatalkan rayuan mereka dan akan mula menjalani hukuman penjara yang dikenakan dalam bulan-bulan mendatang.

Warga China Hu Jun, 40 tahun, akan memulakan hukuman penjara selama lima bulan pada 17 Januari, manakala isterinya Shi Sha, 38 tahun, akan memulakan hukuman penjara selama enam bulan pada 17 Mei.

Hu, seorang perunding pelaburan, didapati bersalah pada Oktober lalu atas satu tuduhan di bawah Akta Penyakit Berjangkit kerana dengan sengaja tidak mendedahkan butiran tentang keberadaan dan aktivitinya kepada para pegawai pengesan kontak.

Isterinya disabit kesalahan dengan empat tuduhan tidak menyerahkan maklumat, memberi keterangan palsu dan gagal memberi respons sepenuhnya serta secara jujur kepada seorang pegawai kesihatan.

Hu tiba di Singapura dari Wuhan, yang merupakan tapak penularan koronavirus pada ketika itu, pada Januari 2020 untuk menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarganya di sini.

Isterinya Shi, seorang bekas pegawai polis, berada di Singapura di bawah pas lawatan jangka panjang untuk menemani anak perempuannya yang menuntut di sebuah sekolah antarabangsa di sini.

Sembilan hari selepas tiba di Singapura, Hu diuji positif bagi COVID-19. Bagaimanapun, apabila dia disoal oleh para pegawai pengesanan kontak, Hu tidak memberitahu mereka senarai penuh tempat-tempat yang dikunjungi, termasuk ke beberapa hotel, sebuah restoran dan Kedutaan China.

Shi, yang lebih kerap berhubung dengan pegawai pengesanan kontak kerana suaminya sedang dirawat di hospital, disabit lebih banyak kesalahan. Dia memberi keterangan bahawa komunikasi antara dirinya dengan pegawai yang menghubunginya seperti ayam dengan itik dan dia yakin bahawa Bahasa Mandarin bukan bahasa ibunda pegawai wanita itu.

Pasangan tersebut mendapatkan khidmat tiga peguam bela sepanjang proses mahkamah, sambil membuat permohonon bagi beberapa hakim berlainan untuk dibenarkan pulang ke China sambil menunggu perbicaraan dimulakan.

Seorang hakim mahkamah daerah pada mulanya meluluskan permohonan mereka pada Oktober 2020, tetapi ia dicabar pihak pendakwa, yang kemudian berjaya membatalkan keputusan itu di Mahkamah Tinggi.

Apabila pasangan berkenaan dijatuhi hukuman pada November tahun lalu, mereka menunjukkan niat untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Hari ini, pasangan itu kembali ke Mahkamah Negara bagi perbicaraan selepas hukuman dijatuhkan. Sesi itu tidak dibuka kepada pihak media.

Dokumen mahkamah kemudian menunjukkan bahawa rayuan mereka sudah dibatalkan. Hu dan Shi akan mula menjalani hukuman penjara masing-masing pada Januari dan Mei.

Hu dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak S$30,000, dan S$10,000 bagi isterinya sehingga mereka menyerahkan diri di Mahkamah Negara untuk memulakan tempoh hukuman.

Peguam pasangan itu, Encik Steven John Lam dari Templars Law, memberitahu Mediacorp bahawa anak-anak guamnya mengambil keputusan untuk membatalkan rayuan pada minggu lalu.

Proses perbicaraan menjejas mereka dari segi mental dan kewangan dan mereka ingin disatukan dengan keluarga mereka secepat mungkin, jelas Encik Lam.

Selain itu, seorang anggota keluarga mereka yang lanjut usia juga jatuh sakit, tambah peguam itu. Pasangan tersebut tinggal bersama rakan-rakan di Singapura sepanjang proses mahkamah.

Sumber : CNA/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan