Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasangan bapa, anak dihukum penjara; belasah remaja 13 tahun yang bermain bola sepak di kawasan awam

Seorang bapa dan anak lelakinya masing-masing dipenjara tiga minggu pada Isnin (18 Apr) kerana membelasah seorang budak lelaki berusia 13 tahun yang bermain bola sepak di dewan serbaguna sebuah blok perumahan awam.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang bapa dan anak lelakinya masing-masing dipenjara tiga minggu pada Isnin (18 Apr) kerana membelasah seorang budak lelaki berusia 13 tahun yang bermain bola sepak di dewan serbaguna sebuah blok perumahan awam.

Ong Eng Seng, seorang pesara 62 tahun, dan anaknya Bernard Ong Wei Feng, 31 tahun, seorang pengurus projek ketika kesalahan itu, masing-masing mengaku bersalah atas satu tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan.

Setiap daripada mereka juga diarah membayar S$60 sebagai pampasan bil perubatan mangsa.

Mahkamah diberitahu bahawa pada sekitar 5.00 petang, 22 Dis 2019, mangsa bersama tiga rakannya bermain bola sepak di dewan serbaguna di Blok 6, Toa Payoh Lorong 7.

Semasa bermain, bola itu menghampiri Ong yang sedang berjalan di dalam dewan. Dia bersemuka dengan mangsa dan rakan-rakannya, mengeluarkan kata kesat kepada mereka, yang dibalas budak-budak lelaki itu dengan kata-kata kesat.

Ong kemudian memberitahu mangsa bahawa dia akan kembali. Dia kemudian pulang ke rumah dan meminta bantuan anaknya untuk bersemuka dengan mangsa dan rakan-rakannya. Anaknya bersetuju.

Pasangan bapa dan anak itu kembali ke dewan pada kira-kira 5.30 petang dan menghampiri mangsa dan rakan-rakannya, yang sedang duduk.

Bernard menarik mangsa untuk berdiri sambil menjerit: "Eh kau ketawakan ayah aku eh. Kau ingat ini kelakar?" Dia memegang leher mangsa dan menghempasnya ke lantai, menyebabkan kepala budak itu terhantuk ke lantai.

Semasa mangsa dalam keadaan terlentang, Bernard turut menumbuk pipi kanan budak itu dan menekannya ke lantai sebelum mengangkatnya berdiri.

Bapa Bernard kemudian mencekik leher mangsa dan menamparnya lima hingga enam kali, sebelum menolaknya ke arah bangku batu berhampiran. Kedua-dua lelaki kemudian meninggalkan tempat kejadian.

Nenek mangsa membawanya ke balai polis untuk membuat laporan.

Dia dibawa ke jabatan kecemasan kanak-kanak dan didapati mengalami kemerahan di bahagian belakang kepalanya, lebam di sepanjang leher dan tulang belakangnya, serta di muka, leher, bahu, belakang dan lengannya.

Mangsa dibenarkan keluar hospital dan dinasihatkan agar mengelak melakukan aktiviti fizikal selama dua minggu.

Pihak pendakwa memohon dua pesalah itu dihukum penjara tiga hingga empat minggu atas sebab melakukan keganasan kumpulan dan perbezaan umur yang ketara dengan mangsa.

Hakim Daerah Ng Peng Hong berkata tindakan kedua-dua lelaki itu "jelas antisosial" sambil menambah perlunya memberi isyarat kepada orang ramai bahawa kelakuan sedemikian tidak akan diterima.

Mereka yang bersalah sengaja menyebabkan kecederaan boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/SU/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan