Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasangan adik-beradik Omar dan Sarah Martin buka gim privet, tarik klien Muslimah

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jika dahulu, Noraliza Ramli, 41 tahun, perlu menunggu selepas masa sibuk untuk ke gim bagi mengelak orang ramai.

Ini memandangkan ada kalanya beliau berasa kurang selesa kerana "terasa seperti diperhatikan" semasa bersenam atau menggunakan kemudahan-kemudahan di gim-gim konvensional.

Sejak diperkenalkan kepada MyGymLab, masalah itu dapat diatasi ibu kepada empat orang anak itu.

(Gambar: MyGymLab) 

Ini dengan adanya privasi yang disediakan di mana para pengguna boleh menggunakan seluruh ruang gim itu untuk diri mereka sendiri.

Bagi Cik Noraliza, konsep sebegini sesuai bagi Muslimah seperti dirinya.



"Saya lebih selesa untuk bersenam di sini. Ini kerana ia mempunyai privasi. Saya tidak berasa tertekan ketika bersenam atau menggunakan kemudahan di sini," kongsi Cik Noraliza kepada BERITAmediacorp.

"Oleh kerana MyGymLab mempunyai privasi, wanita-wanita seperti saya juga tidak perlu risau jika menggunakan kemudahan-kemudahan terlalu lama atau berasa seperti ada orang memerhatikan mereka. Wanita-wanita (juga) akan berasa sungguh selesa apabila bersenam di MyGymLab," tambahnya lagi.


(Gambar: MyGymLab) 

Pengasas MyGymLab juga melihat lebih klien wanita yang datang menggunakan gim itu sejak ia dibuka awal tahun ini.

BERSENAM DALAM RUANG PRIVET YANG SELESA & SELAMAT

Dilancarkan pada awal tahun ini, MyGymLab menjanjikan satu pengalaman yang unik bagi para penggunanya; menawarkan ruang bersenam yang selamat, selesa dan senang.

Bagi mendapatkan ruang bersenam itu secara sendiri, para pengguna perlu membayar sehingga S$9 bagi setiap 30 minit setiap kali ingin menggunakan gim tersebut.


(Gambar: MyGymLab)

Dua daripada tiga cawangan MyGymLab dibuka sepanjang hari dan kebebasan untuk datang bersenam pada bila-bila masa adalah antara faktor yang mendorong pengasasnya membuka gim privet ini.

"Berapa tahun sebelum ini, dengan jadual saya yang sibuk, saya tidak ada masa untuk bersenam dan tidak rasa selesa bila ada gim yang mempunyai ramai orang," kongsi Pengasas bersama, Omar Martin.


(Gambar: MyGymLab)

"Oleh itu, saya menubuhkan MyGymLab dengan kakak saya, Sarah kerana kami mahukan pengalaman yang lebih baik, iaitu sebuah gim yang memberi kami privasi, tidak mempunyai kos bulanan yang tinggi dan yang penting berasa selesa tanpa orang lain melihat setiap gerak geri kami," tambahnya lagi.

GUNA JURULATIH AVATAR & SEDIAKAN ALAT-ALAT CANGGIH, CERMIN SENAMAN INTERAKTIF AI

Dari pemilihan lagu, kawalan lampu sehinggalah ke penggunaan alat-alat gim dan tahap senaman, para pengguna bebas untuk menentukannya sendiri.

Mereka juga boleh mengatur program senaman dan kesihatan mereka sendiri menerusi aplikasi telefon bijak yang disediakan.

Setakat ini, hampir 2,000 pengguna sudah memuat turun aplikasi tersebut.


(Gambar: MyGymLab)

Para pengguna juga boleh membawa rakan-rakan atau jurulatih peribadi untuk bersenam bersama.

"MyGymLab mempunyai alat-alat yang premium dan alat-alat teknologi yang boleh membantu dalam senaman seperti cermin (senaman interaktif) AI yang mempunyai lebih daripada 300 kelas dari segi kardio, tinju tendang dan yoga," menurut Encik Omar.



Selain itu, ia juga mempunyai Jurulatih Avatar yang dapat membimbing dan memberi saranan senaman kepada para pengguna.

Encik Omar Martin dan kakaknya Sarah Martin juga menyediakan video bagi menunjukkan cara-cara bagaimana untuk menggunakan alat-alat senaman.

GIM PRIVET ADA KELEBIHAN DARI SEGI KEBERSIHAN

Selain rasa tidak selesa diperhatikan orang ramai ketika bersenam, kebersihan alat-alat senaman juga menjadi keprihatinan utama pengguna seperti Cik Noraliza.

Ini lebih-lebih lagi sewaktu pandemik sekarang.

Tahap kebersihan sebegitu sukar dicapai dan dijamin di gim-gim konvensional dengan ruang dan alat yang dikongsi oleh ramai pengguna dalam satu-satu masa.



"Dengan wabak COVID, ramai yang masih bimbang atau mungkin kurang selesa untuk pergi ke gim yang ramai orang. Gim privet seperti MyGymLab dapat membantu dan kami mengambil langkah-langkah yang amat ketat untuk menjaga kebersihan dan keselamatan di gim," ujar Encik Omar.

"Kami menggunakan salutan anti-mikrob, pembersihan harian, dan semua lokasi MyGymLab mempunyai lampu germisid UV gred hospital," tambahnya lagi.

Buat masa ini, MyGymLab mempunyai tiga cawangan dan mereka merancang untuk membuka lagi 12 cawangan menjelang akhir tahun ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan