PAS tolak 'percubaan' jadikannya 'kambing hitam' dalam politik SG
Setiausaha agung PAS Takiyuddin Hassan di perhimpunan Perikatan Nasional di Stadium Mahmud IV di Kelantan pada 2023. (Gambar fail: CNA/Fadza Ishak)
Tindak balas Setiausaha agung Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Takiyuddin Hassan itu dibuat sehari selepas Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam menyampaikan kenyataan di Parlimen mengenai politik kaum dan agama.
Dalam ucapannya, Encik Shanmugam berkata ahli politik Malaysia dari PAS menggesa rakyat Singapura supaya mengundi berdasarkan garis kaum dan agama pada Pilihan Raya Umum pada Mei lalu.
Encik Takiyuddin berkata ini adalah "naratif palsu" dan bahawa "komentar biasa rentas sempadan" itu kini "disensasikan menjadi ancaman keselamatan untuk keuntungan parti dalam jangka pendek".
Beliau berkata PAS komited untuk menghormati kedaulatan negara, dan ini memastikan semua libat urus parti dijalankan melalui saluran yang betul dan rasmi.
Kenyataan PAS turut dilaporkan oleh beberapa agensi berita Malaysia termasuk Utusan Malaysia dan Free Malaysia Today.
Mediacorp sudahpun menghubungi Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) untuk mendapatkan komen.
Semasa kempen pilihan raya di Singapura, pihak berkuasa menyatakan bahawa ia mengenal pasti warga asing yang cuba mempengaruhi pilihan raya, dan mengarahkan Meta untuk menyekat iklan online oleh dua ahli politik PAS.
Catatan mereka di Facebook, yang tidak lagi boleh dilihat oleh pengguna di Singapura, menyatakan sokongan untuk calon-calon pembangkang tertentu dan mengkritik keputusan yang dibuat oleh pemerintah.
Dua artikel juga diterbitkan dalam surat berita PAS, salah satunya menyebut beberapa calon pembangkang Melayu yang bertanding dalam GE2025, sambil menyorot latar belakang pendidikan dan kerjaya mereka.
Satu lagi surat berita PAS mengkritik dasar perumahan Singapura.
Pada masa itu, PAS juga mengeluarkan kenyataan sebagai memberi respons, sambil menyatakan bahawa kedua-dua individu tersebut menyatakan pandangan peribadi mereka, yang "sama sekali tidak mencerminkan dasar atau pendirian rasmi PAS".
Parti itu menambah bahawa walaupun ia menghormati keprihatinan Singapura, ia juga percaya bahawa reaksi Singapura adalah "agak berlebihan dan sepihak".
Encik Takiyuddin dari PAS dalam kenyataannya pada Rabu berkata bahawa Singapura memposisikan dirinya sebagai "hab global yang terhubung di mana idea dan pendapat tidak dapat dielakkan daripada merentasi sempadan".
Encik Takiyuddin berkata kenyataan itu menunjukkan seolah-olah pengundi Singapura "begitu mudah dipengaruhi" oleh pandangan luar sehingga mereka mesti "dilindungi" daripada pendapat yang boleh dinilai secara kritikal.
Beliau berkata ini membolehkan pemimpin mendorong orang ramai menentang "ancaman palsu", yang lebih mudah daripada merangka dasar, membina konsensus dan menangani kebimbangan sebenar rakyat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.