Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pas lawatan elektronik bakal dibenarkan di semua pusat imigresen S'pura

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Singapura akan membenarkan para pelawat memasuki negara melalui pas lawatan elektronik (e-Pass) secara berperingkat di semua pusat imigresen.

Pasport mereka tidak lagi perlu dicap.

Pengumuman itu dibuat sebagai sebahagian daripada laporan statistik tahunan 2021 Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Selasa (15 Feb). 

Pas elektronik itu diperkenalkan secara berperingkat di Lapangan Terbang Changi sejak 10 Oktober tahun lalu dan akan dikuatkuasakan di pusat-pusat pemeriksaan lain, menurut ICA. Pas itu diberikan menerusi notifikasi emel kepada emel yang tertera pada kad ketibaan elektronik para pengunjung. 

Ia juga akan dilengkapi dengan portal pertanyaan online yang membenarkan akses kepada rekod pas lawatan elektronik tersebut, tambah ICA lagi. 

"Pelancaran pas lawatan elektronik ini bukan sahaja mewujudkan pelepasan imigresen yang lebih selamat dengan mengurangkan kontak antara para pegawai dengan pelawat, tetapi juga merupakan ciri penting bagi ICA untuk membuat pelepasan automatik satu kebiasaan mulai 2023," menurut ICA. 

USAHA TRANSFORMASI 

Inisiatif itu sebahagian daripada usaha ICA untuk mengubah imigresen dan pelepasan kargo. 

Konsep baru ICA itu bertujuan untuk membenarkan rakyat Singapura, penduduk tetap (PR) dan pemegang pas lawatan jangka panjang untuk melepasi imigresen tanpa menunjukkan pasport mereka dan untuk pelawat asing berbuat sedemikian di laluan-laluan automatik tanpa pendaftaran lebih awal.

Kesemua laluan imigresen di dewan ketibaan, automatik dan manual, juga sudah dilengkapi dengan pengimbas mata hitam dan wajah sejak Julai 2020. 

"Penggunaan pola mata hitam dan ciri wajah sebagai pengenal pasti utama bagi pelepasan imigresen bukan sahaja membolehkan pengesahan identiti yang lebih kukuh dan dipercayai bagi para pelawat, tetapi juga lebih bersih, selesa dan cekap," tambahnya.

Selain itu ICA juga bertujuan untuk "memanfaatkan teknologi automatik dan digital untuk mengalihkan kargo dengan selamat dan berkesan, yang memperkukuhkan kedudukan Singapura sebagai sebuah pelabuhan global". 

Sejak 1 Oktober, ia sudah menguatkuasakan konsep pelepasan "on-the-fly", di mana pelepasan kargo dikendalikan semasa kenderaan itu masih bergerak. 

"Permit-permit pelepasan kargo akan diberikan secara automatik selepas para penganalisis wajah ICA menilai bahawa tiada yang janggal pada imej-imej konsainan kargo yang diimbas," menurut penguasa tersebut. 

Para pegawai ICA di pusat-pusat imigresen kargo juga sudah mula menggunakan peranti tablet untuk melepaskan permit di pusat-pusat pemeriksaan pada Oktober tahun lalu, untuk mengurangkan masa untuk melepas mereka yang perlu menjalani pemeriksaan lanjut. 

"Kami sudah hentikan pengeluaran permit secara manual sejak Februari tahun ini, sekali gus mengurangkan masa untuk kenderaan-kenderaan dan kargo yang melalui pusat-pusat imigresen berkenaan," tambah ICA. 

ICA juga bertujuan untuk melakukan pendigitalan sepenuhnya kepada proses pelepasan kargo, di mana para pemandu tidak perlu untuk menunjukkan permit dan dokumen-dokumen fizikal bagi kargo kontena dan konvensional. 

PERBAIKI KHIDMAT 

ICA juga sedang mempertingkatkan keupayaan berkhidmat dengan satu inisiatif baru. 

Penguasa tersebut menyatakan bahawa ia komited untuk menyediakan pengalaman "Tidak Leceh, Tiada Lawatan, Tidak Perlu Menunggu" ("No Fuss, No Visit, No Waiting") menggunakan teknologi digital, robot, biometrik dan automatik untuk membenarkan para pelawat melakukan urus niaga mengikut keselesaan mereka. 

Sejak hujung tahun lalu, ICA menguatkuasakan 23 khidmat elektronik, meliputi 99 peratus urus niaga awam dan mengurangkan keperluan masyarakat awam untuk membuat lawatan fizikal ke bangunan ICA. 

"Kami akan terus mereka semula proses-proses sedia ada dan menawarkan pengalaman digital yang lebih lancar dan berkesan kepada para pelanggan kami," tambah ICA. 

Penguasa tersebut juga akan "melakukan pendigitalan kepada dokumen-dokumen ICA supaya para pelanggan dapat mengakses dan mengeluarkan dokumen-dokumen berkenaan di mana-mana sahaja menerusi wadah yang selamat". 

"Menjelang hujung 2022, ICA akan melancarkan versi digital sijil-sijil kelahiran dan kematian, pas pelajar dan pas lawatan jangka masa panjang," tambah ICA lagi. 

Untuk mengurangkan jumlah pengunjung di premis ICA, ia juga menguatkuasakan langkah-langkah seperti melanjutkan tempoh sah pasport Singapura daripada lima sehingga 10 tahun dan menawarkan pengambilan pasport dan kad pengenalan (IC) secara percuma di pejabat pos. 

SOKONG PEMBUKAAN SEMULA SEMPADAN 

Sedang Singapura membuka semula sempadannya, ICA sudah melancarkan inisiatif-inisiatif untuk "menyediakan proses imigresen lebih selamat dan lancar bagi para pelawat". 

Ini termasuk menyediakan laman dan talian hotline pemerintah khusus buat para pelawat, SafeTravel dan memperluaskan portal pendaftaran SafeTravel untuk menyenangkan pendaftaran lawatan. 

Tahun lalu, portal tersebut menerima lebih 500,000 permohonan untuk masuk ke sini, menurut ICA. 

Selain itu, penguasa tersebut juga menguatkuasakan pelepasan digital bagi sijil-sijil vaksinasi para pengunjung dan mengubah reka bentuk kaunter-kaunter imigresen secara manual untuk membenarkan para pengunjung mengimbas pasport mereka sendiri, agar "pelepasan imigresen lebih selamat untuk kedua-dua pelawat dan pegawai ICA".

"Sedang Singapura mengambil langkah untuk membuka sempadan secara berperingkat, ICA akan berusaha untuk memantau dasar-dasar kawalan sempadan dan melaksanakan tanggungjawabnya untuk memastikan keselamatan dan kesihatan awam negara ini," tambah ICA. 

"Kami akan terus membuat perubahan bagi memperhebatkan khidmat ICA untuk mengawal sempadan dan juga menawarkan khidmat yang lebih senang dan selamat bagi para pelanggan kami."

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan