Skip to main content

Singapura

PAS dakwa catatan media sosial ahlinya tentang GE2025 'pandangan peribadi'; anggap reaksi SG 'keterlaluan'

Anggaran Waktu Membaca:
PAS dakwa catatan media sosial ahlinya tentang GE2025 'pandangan peribadi'; anggap reaksi SG 'keterlaluan'

Simulasi pusat mengundi di ELD. (Gambar fail: CNA/Syamil Sapari)

SINGAPURA: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pada Isnin (28 Apr) menyatakan bahawa catatan media sosial baru-baru ini oleh dua ahlinya yang membuat komen mengenai pilihan raya Singapura adalah "pandangan peribadi" dan tidak mencerminkan pendirian rasmi parti.

Sekalipun demikian, ia menyifatkan reaksi Singapura terhadap catatan itu sebagai "keterlaluan".

Catatan-catatan tersebut tidak lagi boleh dilihat oleh para pengguna Facebook Singapura selepas pihak berkuasa di sini mengarahkan Meta supaya menyekat akses, sambil menambah bahawa terdapat percubaan oleh warga asing untuk mempenagruhi Pilihan Raya Umum.

Komen-komen tersebut dimuat naik oleh bendahari negara Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Abdul Samad, dan ketua belia PAS Selangor Mohamed Sukri Omar mengongsikan semula catatan Encik Zulfikar.

Dua rencana juga diterbitkan dalam naskhah PAS, salah satu daripadanya menyebut nama beberapa calon Melayu pembangkang yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2025, sambil menarik perhatian kepada latar belakang pendidikan dan kerjaya mereka. Satu lagi rencana mengkritik dasar-dasar perumahan Singapura, dengan mengaitkannya kepada imigresen.

Dalam satu kenyataan media pada Isnin, setiausaha aging PAS Takiyuddin Hassan berkata: "Mesti ditekankan bahawa catatan-catatan tersebut mewakili pandangan peribadi mereka dan langsung tidak mencerminkan dasar atau pendirian rasmi PAS sebagai parti politik - sama ada berkait Singapura sebagai sebuah negara mahupun proses-prosesnya yang sedang berlangsung.

"PAS percaya bahawa kedua-dua individu sekadar menyuarakan pandangan peribadi tanpa sebarang niat untuk campur tangan, apa lagi mempengaruhi hasil pilihan raya yang dijadual pada 3 Mei, seperti yang didakwa."

Encik Takiyuddin berkata meskipun PAS menghormati keprihatinan Singapura berhubung perkara itu, ia juga percaya bahawa reaksi Singapura "sedikir sebanyak keterlaluan dan sepihak", memandangkan hubungan baik parti itu dengan pemerintah Singapura.

PAS menyatakan bahawa kedua-dua ketua parti itu menafikan tuduhan berkait campur tangan asing.

"Dasar PAS untuk mengekalkan hubungan dua hala rasmi sebagai saluran yang sah untuk menyampaikan sebarang pandangan bagi membincangkan perkara yang menjadi kepentingan bersama - termasuk dengan pemeorntah Singapura - seperti yang diamalkan selama ini, jelas membuktikan bahawa dakwaan-dakwaan ini tidak tepat atau tidak benar," tambahnya.

Selain catatan oleh dua ahli PAS, Singapura juga sudah mengarahkan Meta supaya menyekat satu catatan oleh pengguna bernama "Zai Nal", yang dikenal pasti sebagai Zulfikar Mohamad Shariff.

Encik Zulfikar merupakan rakyat Australia yang melepaskan kerakyatan Singapura pada 2020. Dia ditahan pada 2016 di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) kerana "menggalak pengganasan" dan mengagungkan kumpulan ISIS online, kata pihak berkuasa Singapura.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Jabatan Pilihan Raya (ELD) menyatakan dalam satu kenyataan pada 25 April bahawa Singapura adalah sebuah negara sekular, sambil memberi amaran tentang perbuatan mencampuradukkanm agama dan politik.

Perkembangan itu, yang dibuat di tengah-tengah kempen pilihan raya, menyebabkan parti-parti politik bersuara terhadap isu campur tangan asing dalam politik Singapura.

Pada Isnin, PAS menyatakan dalam dunia tanpa sempadan dengan akses di hujung jari kepada maklumat dari seluruh dunia, "tidak dapat dielak jika perkembangan di sesebuah negara atau tempat mungkin menarik perhatian atau reaksi individu dari negara lain, terutama sekali berkait isu-isu yang mereka secara peribadi anggap sebagai penting."

"Reaksi sedemikian tidak harus dianggap sebagai percubaan untuk campur tangan kecuali ia diikuti oleh langkah-langkah konkrit seperti niat untuk melakukan sedemikian," tambah parti itu.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita