Parti pembangkang suarakan pandangan bercampur tentang peraturan baru pilihan raya umum
Garis panduan baru kempen pilihan raya menunjukkan satu "peningkatan besar" berbanding pilihan raya sebelumnya, kata beberapa pemimpin parti pembangkang, namun beberapa pemimpin pembangkang lain berpendapat rapat-rapat umum yang ditiadakan akan hambat usaha mereka mendekati penduduk.

(Gambar fail: TODAY)
SINGAPURA: Garis panduan kempen pilihan raya yang dikeluarkan oleh Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada Khamis (18 Jun) menunjukkan satu "peningkatan besar" berbanding pilihan raya sebelumnya, kata beberapa pemimpin parti pembangkang, namun beberapa pemimpin pembangkang lain berpendapat rapat-rapat umum yang ditiadakan akan menghambat usaha mereka mendekati penduduk.
Peraturan baru yang ditetapkan bagi kegiatan berkempen bermakna bahawa Pilihan Raya Umum (GE) seterusnya umumnya berbentuk maya, sekiranya GE diadakan semasa Fasa 2 pembukaan semula selepas langkah pemutus jangkitan.
Dengan rapat umum besar-besaran dilarang, serta lawatan bertemu penduduk dan kunjungan dari rumah ke rumah dihadkan kepada tidak lebih lima orang dalam sebuah kumpulan sejajar dengan sekatan-sekatan Fasa 2, parti-parti politik perlu bergantung kepada saluran online mereka dengan mengadakan webinar dan sesi siaran langsung.
Antara lain, parti-parti politik akan diberikan masa siaran lebih lama di stesen televisyen nasional melalui satu kategori siaran nasional baru yang dipanggil "siaran politik kawasan undi", dengan setiap calon mendapat purata tiga minit untuk menyampaikan ucapannya.
JEJAS SEMUA PARTI, SAMA RATAKAN PERSAINGAN
Ketua Parti Kuasa Rakyat (PPP) Goh Meng Seng dan rakan sejawatannya dari Parti Suara Rakyat Lim Tean, berkata bahawa ini membolehkan para pengundi untuk mengenali setiap calon dengan lebih dekat, dan meneliti mereka berdasarkan kelebihan mereka. Tumpuan para pengundi juga kurang diganggu oleh retorik bersifat emosi yang sering didengar semasa rapat-rapat pilihan raya.
Encik Goh berkata bahawa garis panduan baru itu tidak merugikan para calon PPP.
"Ini mengurangkan kesan daripada kelebihan sebuah parti kerana jenama baiknya dan sangat bergantung kepada keupayaan setiap calon untuk meyakinkan para pengundi untuk memilih mereka," katanya.
Encik Jose Raymond, pengerusi Parti Rakyat Singapura (SPP), berkata bahawa garis panduan baru itu menjejas semua calon dari semua parti politik, termasuk Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah, kerana mereka sekarang harus membangunkan strategi pendampingan dan komunikasi yang menyeluruh, baik dalam talian mahupun tidak.
"Dari satu segi, ini menyama ratakan persaingan dan juga boleh menjimatkan sumber kewangan sebahagian parti terutama jika rapat-rapat umum mereka kurang mendapat sambutan," katanya.
LARANGAN RAPAT-RAPAT UMUM
Namun, parti-parti politik lain berpendapat bahawa larangan ke atas rapat-rapat umum, walaupun dapat difahami dalam konteks pandemik COVID-19, mengurangkan kemampuan mereka untuk berinteraksi dengan para pengundi dengan lebih berkesan.
Parti Demokratik Singapura (SDP) menyatakan langkah itu hanya menguntungkan parti pemerintah kerana pembangkang tidak akan dapat mengadakan rapat-rapat umum tradisional yang penting bagi mereka untuk berkomunikasi secara langsung dengan para pengundi.
Menghadkan interaksi kepada kumpulan tidak melebihi lima orang juga menghambat komunikasi yang berkesan, kata parti itu.
"Pembatasan seperti itu dapat dilonggarkan lebih lanjut jika PAP menunggu beberapa bulan lagi dan mengadakan pilihan raya semasa Fasa 3 apabila risiko jangkitan baru adalah minimal. Ini akan membenarkan parti-parti berkempen secara bebas dan berkesan,” kata seorang jurucakap SDP.
Setiausaha Agung Parti Demokratik Progresif, Encik Mohamad Hamim Aliyas, berkata bahawa kebergantungan pada siaran langsung menghadkan akses parti itu kepada pengundi yang lebih berusia yang mungkin tidak begitu celik digital.
"Tidak semua orang mungkin mahu menonton siaran politik kawasan undi yang tidak relevan dengan mereka," tambahnya lagi.
Di samping itu, dengan 93 kerusi yang dipertandingkan berdasarkan sempadan pilihan raya terbaru, Encik Hamim mempersoalkan bagaimana jadual akan diperuntukkan kerana setiap parti akan bersaing untuk mendapatkan siaran waktu perdana antara 8.00 malam dengan 10.00 malam.
Encik Andy Zhu, ketua Parti Reform, berkata bahawa tiga minit yang diberikan untuk setiap calon dalam siaran politik kawasan undi tidak mencukupi.
KURANG PELUANG CARI DANA
Walaupun menyokong garis panduan baru itu, Encik Goh dari PPP menarik perhatian bahawa satu kerugian bagi parti itu adalah kurangnya peluang untuk mengumpul dana, yang biasanya dilakukan semasa rapat-rapat terbuka.
Dalam satu kenyataan media, Red Dot United, yang baru sahaja mendapat kelulusan untuk didaftarkan sebagai sebuah parti politik pada Isnin, menyatakan bahawa siaran politik kawasan undi harus ditawarkan di saluran-saluran bahasa berbeza, bukan hanya Saluran 5, yang merupakan saluran bahasa Inggeris Mediacorp.
Parti Pekerja, satu-satunya parti pembangkang dengan Anggota Parlimen yang dipilih, menyatakan pihaknya sedang meneliti garis panduan baru kempen pilihan raya itu.
Seorang jurucakap PAP juga berkata bahawa parti itu sedang mengkaji butiran garis panduan baru itu dengan teliti.
"Kami akan mematuhi garis panduan itu seperti yang ditetapkan oleh pasukan bertindak berbilang kementerian untuk sebarang kegiatan melibatkan interaksi masyarakat, bersesuaian dengan mana-mana fasa mana selepas langkah pemutus jangkitan pilihan raya seterusnya diadakan," tambah jurucakap itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.