Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Parti Pekerja kata sudah minta jumpa majlis bandaran sedia ada bincang peralihan Sengkang

Pasukan Parti Pekerja (WP) bagi GRC Sengkang telah meminta untuk berjumpa dengan wakil-wakil majlis bandaran sedia ada pada minggu hadapan untuk membincangkan hal-hal berkaitan pengambil alihan, kata ketua pasukan He Ting Ru pada Ahad (19 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 Jul 2020 07:12PM Dikemas Kini : 19 Jul 2020 08:52PM

SINGAPURA: Pasukan Parti Pekerja (WP) bagi GRC Sengkang telah meminta untuk berjumpa dengan wakil-wakil majlis bandaran sedia ada pada minggu hadapan untuk membincangkan hal-hal berkaitan pengambil alihan, kata ketua pasukan He Ting Ru pada Ahad (19 Jul).

Memberi perkembangan terkini di Facebook, Cik He berkata bahawa pasukannya pada minggu lalu meminta salinan perjanjian bagi perkhidmatan ejen pengurusan dan perisian (sofwe) pengurusan majlis bandaran "untuk disediakan kepada kami secepat mungkin".

Sedang proses itu berterusan, bidang kuasa bagi Anchorvale masih di bawah Majlis Bandaran Ang Mo Kio (AMKTC), manakala Punggol East dan Sengkang Central pula di bawah Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol (PRPTC), jelas beliau.

GRC Sengkang adalah kawasan yang baru dibentuk dan mempunyai lebih daripada 120,000 pengundi.

Ia merangkumi bekas SMC Punggol East, sebahagian SMC Sengkang West dan bahagian Sengkang Central daripada GRC Pasir Ris-Punggol. Sengkang West diuruskan bersama dengan GRC Ang Mo Kio.

Pasukan Cik He, terdiri daripada pakar ekonomi Jamus Lim, penganalisis penyelidikan ekuiti Louis Chua, dan aktivis masyarakat Raeesah Khan, mengalahkan pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang dianggotai ketua buruh Ng Chee Meng, dua pemegang jawatan politik lain - Dr Lam Pin Min dan Amrin Amin - serta calon baru Raymond Lye untuk memenangi GRC itu dalam Pilihan Raya Umum.

Anggota parlimen dipilih Sengkang telah memaklumkan Kementerian Pembangunan Negara bahwa mereka bercadang untuk menguruskan Majlis Bandaran Sengkang sendiri tanpa menggabungkannya dengan kawasan undi lain, kata Cik He, sambil menambah bahawa beliau bakal mempengerusikan majlis bandaran baru itu.

Cik He berkata pasukannya telah menulis kepada AMKTC dan PRPTC pada 11 Jul untuk satu mesyuarat awal bagi membincangkan penyerahan itu.

Pada 15 Jul, pasukan itu juga "secara khusus meminta salinan kontrak untuk perkhidmatan ejen pengurusan dan penggunaan perisian pengurusan Majlis Bandaran untuk disediakan kepada kami secepat mungkin".

Beliau berkata, PRPTC, yang mereka fahami akan menyelaraskan penyerahan itu bersama AMKTC, mencadangkan satu pertemuan secara maya pada 16 Jul.

Semasa pertemuan online itu, pasukan GRC Sengkang sekali lagi meminta salinan perjanjian tersebut. Mereka juga meminta satu pertemuan secara fizikal minggu depan untuk membincangkan lebih lanjut penyerahan itu dan mendapatkan taklimat mengenai hal-hal pengendalian berkaitan dengan kedua-dua majlis bandaran, kata Cik He.

Kemas kini lebih lanjut mengenai penyerahan itu akan disediakan dalam beberapa minggu mendatang, tambahnya.

"Kami memahami bahawa beberapa penduduk Sengkang telah menghubungi Majlis Bandaran Aljunied-Hougang untuk melaporkan masalah estet," kata Cik He.

"Sila laporkan masalah estet dan buat pembayaran S&CC anda kepada Majlis Bandaran sedia ada sehingga pemberitahuan lanjut."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan