Skip to main content

Singapura

Parti Pekerja akan adakan sidang media berhubung video paparkan Leon Perera dan Nicole Seah

Anggaran Waktu Membaca:
Parti Pekerja akan adakan sidang media berhubung video paparkan Leon Perera dan Nicole Seah

Gambar: Facebook/Nicole Seah, Victoria Wang

SINGAPURA: Parti Pekerja (WP) akan mengadakan sidang media pada Rabu (19 Jul), berikutan sebuah video yang membayangkan "kelakuan yang tidak wajar" antara para anggota kanan parti tersebut, iaitu Leon Perera dan Nicole Seah.

"Parti ini akan mengadakan sidang media dengan wakil-wakil media yang diundang esok, pada Rabu, 19 Julai 2023, untuk menangani perkara ini," nyata WP pada Selasa.
Parti pembangkang tersebut telah menyatakan pada Isnin bahawa ia sedia maklum mengenai video tersebut dan sedang meneliti perkara itu.

"Parti ini juga mengharapkan semua anggota bersikap bertanggungjawab sepenuhnya atas tingkah laku mereka."

Rakaman video sepanjang 15 saat itu dimuat naik ke media sosial tetapi ia tidak lagi dijumpai setakat ini.

Video tersebut kelihatan menunjukkan Encik Perera - seorang Anggota Parlimen GRC Aljunied - sedang makan bersama calon Pilihan Raya Umum 2020, Cik Seah, sambil memegang dan membelai tangannya.

Ia bagaimanapun tidak diketahui bila dan di mana video tersebut dirakam.

Kedua-dua Encik Perera dan Cik Seah sudah berkahwin.

Encik Perera, yang berusia 53 tahun ini, mempunyai dua anak. Cik Seah, 36 tahun, melahirkan anak keduanya pada April tahun lalu.

Kedua-dua mereka menganggotai Jawatankuasa Eksekutif Pusat WP, dengan Encik Perera menerajui pasukan media, manakala Cik Seah pula adalah presiden sayap belia.

Encik Perera mula memasuki arena politik tempatan apabila beliau bertanding sebagai calon bagi East Coast semasa Pilihan Raya Umum 2015. Beliau seterusnya menjadi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), sebelum menyertai kubu kuat WP di GRC Aljunied pada Pilihan Raya 2020.

Sebelum menyertai politik, beliau merupakan kakitangan awam dan kemudian menjadi pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif sebuah agensi penyelidikan dan perunding perusahaan.

Cik Seah menyertai WP pada 2015, dengan bertanding di GRC East Coast semasa Pilihan Raya 2020, selepas beliau berkhidmat dengan Parti Reform dan Parti Perpaduan Nasional. Beliau mula dikenali ramai sebagai calon wanita paling muda di Pilihan Raya Umum 2011, pada usia 24 tahun.

Cik Seah, kali terakhir dilaporkan pada 2020, bekerja di sebuah firma pemasaran berbilang negara.

Pada 2012, WP pernah menggantung khidmat mantan AP Hougang Yaw Shin Leong berikutan khabar angin mengenai hubungan sulit yang terjalin. Insiden tersebut bagaimanpun dibangkitkan semula pada 2021, apabila parti tersebut menyangkal dakwaan oleh Encik Yaw bahawa beliau diberitahu untuk terus berdiam diri selepas hubungan sulit itu didedahkan.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita