Skip to main content

Singapura

Parti-parti politik lakukan lawatan menemui penduduk, tingkat spekulasi pilihan raya

Beberapa parti politik menjalankan aktiviti mendampingi penduduk pada Sabtu (20 Jun), meningkatkan lagi bahang spekulasi pilihan raya umum semakin hampir.

Anggaran Waktu Membaca:
Parti-parti politik lakukan lawatan menemui penduduk, tingkat spekulasi pilihan raya

Pengerusi Parti Demokratik Singapura Paul Tambyah mengagihkan bendera dan risalah di pusat penjaja Ghim Moh Road. (Gambar: Mediacorp/Goh Chiew Tong)

Diterbitkan : 20 Jun 2020 10:20PM Dikemas Kini : 21 Jun 2020 12:46AM

SINGAPURA: Beberapa parti politik menjalankan aktiviti mendampingi penduduk pada Sabtu (20 Jun), meningkatkan lagi bahang spekulasi pilihan raya umum semakin hampir.

Singapura melangkah ke Fasa 2 pembukaan semula pada Jumaat (19 Jun) menyusuli tempoh "pemutus rantaian jangkitan COVID" selama dua bulan. Parti Kemajuan Singapura (PSP) dan anggota PAP yang juga AP GRC Nee Soon, Henry Kwek berada di Pasar dan Pusat Makan Mayflower, manakala Parti Demokratik Singapura (SDP) pula melakukan lawatan ke rumah di kawasan GRC Marsiling-Yew Tee.

SDP kemudian meneruskan kegiatan mereka di GRC Holland-Bukit Panjang pada Sabtu.

Pengerusi SDP Paul Tambyah dan anggota parti Benjamin Pwee dilihat membahagi-bahagikan bendera dan risalah kepada orang ramai di pusat penjaja di Ghim Moh Road dan kedai-kedai kopi di sekitar kawasan itu. Mereka juga dapat didengar memberitahu orang ramai bahawa "pilihan raya bakal diadakan tidak lama lagi".

Bercakap kepada media, pengerusi SDP itu berkata keutamaan parti tersebut adalah kesihatan orang ramai semasa melakukan lawatan menemui penduduk.

"Kami mahu memastikan kita tidak membentuk kelompok jangkitan (COVID-19) dan mempunyai individu pembawa virus itu mengunjungi rumah setiap penduduk. Itu sesuatu yang kita pastinya tidak mahu berlaku," katanya.

Menurutnya, SDP "tidak mempunyai pilihan" tetapi untuk mengetuk pintu rumah penduduk kerana "golongan warga emas tidak semua menggunakan media sosial".

Jabatan Pilihan Raya (ELD) menyatakan pada Khamis (18 Jun) bahawa rapat fisikal tidak dibenarkan jika pilihan raya diadakan semasa Fasa 2.

SDP dijangka meneruskan usaha mendekati orang ramai pada Ahad (21 Jun) dan pada minggu-minggu akan datang.

Pasukan Parti Rakyat Singapura (SPP) yang bakal bertanding dalam GRC Bishan-Toa Payoh juga melakukan lawatan pada Sabtu. Parti itu memperkenalkan setiausaha agung parti Steve Chia, naib pengerusi Williamson Lee dan anggota parti Melvyn Chiu dan Osman Sulaiman kepada para penduduk di sana.

Parti PSP yang memperkenalkan barisan pertama calonnya pada Khamis, membuat lawatan di Boon Lay pada Sabtu.

Setiausaha Agung PSP Tan Cheng Bock berkata pada Jumaat bahawa PSP tidak akan menjauhkan diri daripada pertandingan tiga penjuru jika keadaan sedemikian berlaku.

Dr Tan merupakan Anggota Parlimen Ayer Rajah selama 26 tahun, ketika bersama Parti Tindakan Rakyat (PAP). Kawasan undi itu kini diserap ke dalam GRC West Coast, yang mana PSP mula mengadakan sesi mingguan bertemu penduduk menerusi persidangan video Zoom .

Dalam Pilihan Raya Umum 2015, GRC West Coast menyaksikan pertandingan antara Parti Reform (RP) dan PAP.

RP meraih 21.4 peratus undi menentang pasukan PAP yang dipimpin Menteri Perdagangan dan Perusahaan ketika itu, Lim Hng Kiang, Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran, Encik Patrick Tay dan Cik Foo Mee Har.

RP menyatakan dalam satu catatan Facebook bahawa ia akan mengadakan sesi bertemu penduduk GRC West Coast pada Jumaat. Ia juga akan terus mendampingi penduduk secara maya menerusi Facebook Live pada Sabtu.

Dalam pada itu, sekurang-kurangnya seorang anggota Parti Pekerja dilihat melakukan lawatan menemui penduduk pada Sabtu, menurut satu catatan Facebook.

Bekas Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Yee Jenn Jong dalam satu catatan Facebook berkata bahawa beliau menyarung seragam WP untuk mengagihkan hidangan makanan di GRC Marine Parade dan berkempen selepas itu. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita