Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Parti Liyani minta arahan pampasan bagi perbicaraan kes curi, dakwa kerugian S$71,000

Cik Parti Liyani, yang dibebaskan dari sabitan mencuri bulan lalu, meminta perintah ganti rugi bagi kes itu dari Mahkamah Tinggi pada Selasa (27 Okt). Beliau menganggarkan mengalami kerugian sekitar S$71,000.

Anggaran Waktu Membaca:
Parti Liyani minta arahan pampasan bagi perbicaraan kes curi, dakwa kerugian S$71,000

Cik Parti Liyani (kiri) dan peguamnya Anil Balchandani (tengah) di luar Mahkamah Tinggi pada 27 Okt 2020 (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Diterbitkan : 27 Oct 2020 09:52PM Dikemas Kini : 27 Oct 2020 09:58PM

SINGAPURA: Cik Parti Liyani, yang dibebaskan dari sabitan mencuri bulan lalu, meminta perintah ganti rugi bagi kes itu dari Mahkamah Tinggi pada Selasa (27 Okt). Beliau menganggarkan mengalami kerugian sekitar S$71,000.

Cik Parti disabit kesalahan pada Mac tahun lalu di Mahkamah Negara kerana mencuri barangan bernilai S$34,000 dari bekas pengerusi Changi Airport Group Liew Mun Leong dan keluarganya semasa bekerja untuk mereka sebagai pembantu rumah.

Sabitan itu dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 4 September, dan beliau dibebaskan dari semua tuduhan mencuri.

Peguamnya Anil Balchandani memberitahu Hakim Chan Seng Onn pada Selasa meskipun beliau pada awalnya merancang untuk memberitahu terus kepada Encik Liew tentang permintaan ganti rugi, arahan anak guamnya adalah "untuk tidak menambahkan lagi masalah (Encik Liew)", kerana dia "(perlu) meletak jawatan" dari pelbagai jawatan di Changi Airport Group dan Surbana Jurong setelah Cik Parti dibebaskan dari sabitan.

Oleh itu, Encik Balchandani sebaliknya meminta arahan pampasan dari mahkamah.

Di bawah Kanun Prosedur Jenayah, jika tertuduh dibebaskan dari sebarang dakwaan bagi sebarang kesalahan, dan jika terbukti bahawa pendakwaan itu remeh atau menyusahkan, mahkamah "boleh mengarahkan pihak pendakwa atau pengadu atau orang yang menyediakan maklumat bagi tindakan pendakwaan, untuk membayar tertuduh pampasan tidak melebihi S$10,000".

Menjelaskan bagaimana beliau menganggarkan nilai S$71,000, yang melebihi jumlah maksimum S$10,000 yang dibenarkan, Encik Balchandani merujuk kepada kerugian pendapatan yang dialami Cik Parti iaitu sekitar S$41,000 antara Oktober 2016 dengan Oktober 2020. Angka ini berdasarkan gaji S$750 sebulan yang beliau terima sebagai pembantu rumah dengan pengalaman 20 tahun.

Jumlah S$71,000 itu juga termasuk perbelanjaan untuk penginapan yang ditanggung oleh Badan Kemanusiaan bagi Ekonomi Migrasi (HOME), yang menyediakan tempat berteduh untuk Cik Parti selepas beliau diberhentikan.

Hakim Chan membangkitkan beberapa isu dengan angka S$71,000 itu, sambil menekankan bahawa jumlah maksimum yang boleh diberi sebagai pampasan kepada Cik Parti adalah S$10,000, serta mempersoalkan jika kos penginapan boleh dituntut jika HOME secara sukarela menyediakan tempat tinggal untuk Cik Parti.

Beliau menggesa kedua-dua pihak untuk mempertimbangkan perantaraan pihak ketiga, dengan pampasan diselesaikan di luar mahkamah, memandangkan Encik Balchandani dan Pejabat Peguam Negara (AGC) telah berusaha berunding mengenai perkara itu tetapi gagal untuk mencapai persetujuan.

Sekiranya ini gagal, kedua-dua Encik Balchandani dan pihak pendakwaan akan kembali membentangkan hujah mengenai perintah pampasan itu.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan