Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Parlimen tolak usul perumahan awam PSP, lulus usul pemerintah berhubung flat HDB

Anggaran Waktu Membaca:
Parlimen tolak usul perumahan awam PSP, lulus usul pemerintah berhubung flat HDB

Flat HDB di Singapura. (Gambar: CNA/Calvin Oh)

SINGAPURA: Parlimen pada Selasa (7 Feb) menolak usulan yang dikemukakan Parti Kemajuan Singapura (PSP) yang menggesa agar terdapat "pembetulan semula" dalam dasar perumahan awam. Sementara itu, Parlimen menyokong usulan yang dibentangkan Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee, yang mengesahkan lagi komitmen Pemerintah dalam memastikan perumahan awam boleh dimampui dan mudah diakses.

Dua undian tersebut, yang dilakukan selepas dua hari perbahasan yang berakhir lewat pukul 11.00 malam pada Selasa (7 Feb), menyaksikan 82 Anggota Parlimen (AP) menyokong usulan oleh Pemerintah, dengan 11 AP tidak memberi sokongan terhadap usulan itu.

Sebelas AP menyokong usulan PSP, sementara 82 AP tidak memberi sokongan terhadap usulan tersebut.

Nama-nama AP yang menyokong atau menentang usulan-usulan tersebut, tidak didedahkan kepada umum. Terdapat sembilan AP Parti Pekerja dan dua AP Tanpa Kawasan Undi Parti Kemajuan Singapura (PSP).

Dewan juga tidak memberi undi sokongan terhadap pindaan yang disarankan Ketua Pembangkang Pritam Singh kepada usulan Encik Lee, yang mana dinyatakan pada asalnya: "Bahawa Dewan ini mengesahkan pentingnya memastikan perumahan awam boleh dimampui dan mudah diakses sementara melindungi kepentingan generasi warga Singapura kini dan akan datang dan menyokong komitmen Pemerintah terhadap kedua-dua matlamat ini."

Ketua Parti Pekerja (WP) itu menyarankan untuk mengubah bahagian ayat terakhir usulan tersebut supaya tertera: "Bahawa Dewan ini ...menggesa Pemerintah supaya memperhebatkan usahanya untuk memenuhi kedua-dua matlamat ini."

Sebelum pengundian tersebut dijalankan, Encik Singh menyatakan bahawa AP WP akan mengundi untuk menyokong usulan PSP. Beliau juga bagaimanapun menyatakan bahawa skim PSP yang diusulkan bukan usulan WP. Meskipun partinya tidak menyokong kedua-dua usulan tersebut, mereka berpendapat bahawa idea-idea tersebut seharusnya dikaji dengan lebih lanjut, tambahnya.

"Kami tidak melihat usul itu secara tersembunyi dan berbahaya, kami sebenarnya memberi tumpuan kepada gesaan untuk mengkaji semula dasar untuk hasil yang lebih baik," jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada usulan mereka berhubung Dasar-dasar Perumahan Awam, Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) PSP Encik Leong dan Cik Hazel Poa mengemukakan dua usulan bagi menangani kebimbangan berhubung perumahan awam.

Mereka menyarankan Skim Rumah Boleh Dimampui, yang menangguhkan kos tanah daripada pembelian flat Bina Ikut Tempahan (BTO), dengan kos sedemikian perlu dibayar hanya jika flat itu dijual di pasaran jualan semula. Usulan lain, iaitu Skim Apartmen Milenium, akan menyediakan bekalan besar "flat bermutu" berdekatan dengan kawasan pusat bandar (CBD) bagi golongan muda Singapura untuk disewa selama dua hingga lima tahun.

Dalam usul balasnya, Encik Lee berkata perumahan awam kekal boleh diakses secara meluas dan berpatutan, dan menekankan perlunya penambahbaikan yang mampan terhadap dasar perumahan.

Beliau berkata Pemerintah sedang mengkaji perubahan kepada dasar itu, dan akan memperkenalkan lebih banyak flat BTO dengan "Masa Menunggu Lebih Singkat" mulai 2024, dan mempertimbangkan lebih banyak sokongan bagi para pembeli flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) kali pertama untuk membeli flat jualan semula.

Menggulung ucapannya pada Selasa, Encik Lee berkata bahawa usulan PSP mempunyai "niat yang murni" tetapi dakwaan parti tersebut bahawa sistem itu sudah "rosak secara asasnya" tidak boleh diterima sama sekali.
USULAN PSP "MEMBINGUNGKAN"

Menteri Negara Kanan bagi Pembangunan Negara Sim Ann mengelar "sifat membingungkan" Skim Rumah Boleh Dimampui PSP. Beliau menarik perhatian bahawa ia melibatkan "harga sangat rendah pada kemasukan".

Jika para pemohon BTO tertarik dengan harga yang rendah itu, ia sekali gus akan mewujudkan banyak permintaan. Beliau juga mempersoalkan sama ada ia kemudian akan menjadikannya lebih sukar bagi para pembeli kali pertama untuk mendapatkan flat dan memburukkan lagi kebimbangan sedia ada berhubung kemudahan akses.

Dengan beralih daripada model kemampuan kepada model harga berasaskan kos, terdapat kemungkinan bakal penjual akhirnya boleh membayar harga yang jauh lebih tinggi kepada Pemerintah jika mereka menjual flat mereka, tambah Cik Sim.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan