Skip to main content

Singapura

Parlimen sebulat suara sokong usul SG tidak harus alami pertumbuhan tanpa pekerjaan di tengah peralihan AI

Parlimen sebulat suara meluluskan usulan pada Rabu (6 Mei) yang menegaskan bahawa Singapura tidak seharusnya mengalami pertumbuhan tanpa pekerjaan dalam peralihan kecerdasan buatan (AI), dengan ketua buruh Ng Chee Meng menyifatkannya sebagai “kata sepakat yang jelas” bahawa kesan terhadap pekerja perlu ditangani secara bersama.

Anggaran Waktu Membaca:
Parlimen sebulat suara sokong usul SG tidak harus alami pertumbuhan tanpa pekerjaan di tengah peralihan AI

Bangunan Parlimen di Singapura pada 24 Mei 2018. (Gambar fail: REUTERS/Edgar Su)

SINGAPURA: Parlimen sebulat suara meluluskan usulan pada Rabu (6 Mei) yang menegaskan bahawa Singapura tidak seharusnya mengalami pertumbuhan tanpa pekerjaan dalam peralihan kecerdasan buatan (AI), dengan ketua buruh Ng Chee Meng menyifatkannya sebagai “kata sepakat yang jelas” bahawa kesan terhadap pekerja perlu ditangani secara bersama.

“Semua anggota mengiktiraf bahawa penggunaan AI bukanlah satu pilihan. Jika Singapura mahu kekal berdaya saing, kedua-dua perusahaan dan pekerja perlu menguasai AI untuk merebut peluang baharu,” kata Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) itu.

Usulan tersebut menggesa Dewan supaya mengiktiraf kuasa transformatif teknologi baharu, menekankan bahawa pendekatan Singapura perlu bersifat adil, selain memastikan kemajuan ekonomi bersifat inklusif.

Usulan itu diluluskan selepas dua hari perbahasan selama lebih tujuh jam, dengan ucapan daripada 24 Anggota Parlimen (AP), termasuk tujuh daripada Parti Pekerja (WP) serta dua pemegang jawatan politik, Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng dan Menteri Negara Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pendidikan Jasmin Lau.

Dalam ucapannya bagi menggulung perbahasan, Encik Ng mengulangi pandangan Dr Tan dan Cik Lau berhubung perlunya tindakan bersama.

“Jika diserahkan kepada pasaran semata-mata, pertumbuhan AI mungkin tidak memanfaatkan para pekerja secara automatik,” kata Encik Ng.

PARTI PEKERJA CADANGKAN ‘DIVIDEN SOSIAL’, INSURANS PEMBERHENTIAN

Tujuh AP WP yang berucap semasa perbahasan mengemukakan beberapa cadangan untuk menyokong para pekerja dalam peralihan AI. Kesemua mereka akhirnya menyatakan sokongan terhadap usulan tersebut.

Dalam ucapannya, Encik Gerald Giam (WP-Aljunied) mencadangkan penubuhan “dana ekuiti AI” nasional, dengan sebahagiannya diagihkan sebagai “dividen sosial” kepada rakyat Singapura yang dewasa.

“Ia memberi ganjaran bagi usaha para pekerja yang menyesuaikan diri, sambil mengurangkan rintangan kepada syarikat untuk mengambil, melatih dan mengekalkan bakat dalam pasaran yang tidak menentu ini,” kata beliau.

Dalam ucapan lain, AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Andre Low turut mencadangkan perubahan kepada Skim Bantuan Pencari Kerja (JSS) bagi melindungi pekerja yang terjejas akibat AI.

Sebagai ganti JSS, WP mencadangkan skim insurans pemberhentian, di mana pekerja yang diberhentikan akan menerima bayaran sebanyak 40 peratus daripada gaji terakhir mereka, tanpa had pendapatan dan tanpa mekanisme pengurangan berperingkat.

Skim itu akan dibiayai melalui caruman majikan dan pekerja seperti model Tabung Simpanan Pekerja (CPF), dan meliputi semua pekerja yang membuat caruman itu, kata beliau.

Sebagai respons, Dr Tan berkata cadangan Encik Giam dan Encik Low berasaskan andaian yang lebih bersifat “pesimis” bahawa rakyat Singapura merupakan “penumpang pasif dalam peralihan AI” dan tidak mempunyai keupayaan untuk merebut peluang.

KETIDAKSAMAAN AI

Beberapa AP, seperti Encik Saktiandi, turut menimbulkan kebimbangan bahawa AI boleh memburukkan lagi ketidaksamaan.

“Jika tidak ditangani, kita berisiko mewujudkan bentuk baharu ketidaksamaan antara mereka yang mempunyai akses kepada AI dan mereka yang tidak mempunyai akses,” kata Encik Saktiandi.

Timbalan Setiausaha Agung NTUC Desmond Tan turut menyorot golongan warga emas sebagai kumpulan yang mempunyai kurang akses kepada alat dan latihan AI serta kurang keyakinan untuk menggunakannya.

Cik He Ting Ru (WP-Sengkang) pula berkata sesetengah pihak berdepan “halangan sistemik” sedang Singapura bergerak ke arah masa depan yang bersedia untuk mendakap AI.

Beliau merujuk kepada golongan kurang upaya, wanita, rakyat berpendapatan rendah serta siswazah muda sebagai antara kumpulan yang terjejas.

Respons pemerintah terhadap kebimbangan tersebut adalah untuk “meningkatkan peluang dan meluaskan akses”, kata Cik Lau.

MENYOKONG PEKERJA TERJEJAS

Beberapa AP turut menekankan keperluan untuk menyokong para pekerja yang berisiko terjejas akibat AI, khususnya dalam kalangan individu yang memegang peranan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknikal (PMET).

Golongan tersebut sangat terdedah kepada AI, kata Penolong Setiausaha Agung NTUC Patrick Tay (PAP-Pioneer).

“Kita sering menganggap PME sebagai golongan yang berkeupayaan dan boleh menyesuaikan diri serta bertanggungjawab terhadap diri sendiri untuk meningkatkan kemahiran dan menghadapi cabaran. Andaian ini tidak lagi tepat,” kata beliau.

AP Dilantik (NMP) Mark Lee pula berkata pekerja yang terjejas memerlukan sokongan lebih kukuh semasa peralihan.

“Jika ada syarikat lain yang bersedia untuk mengambil pekerja yang terjejas, walaupun kesesuaiannya tidak berlaku dengan serta-merta, kita harus menyokong peralihan itu secara langsung,” kata beliau, sambil menambah bahawa perkara tersebut boleh dilakukan melalui sokongan gaji sementara kepada majikan.

Penolong Setiausaha Agung NTUC Yeo Wan Ling (PAP-Punggol) berkata sokongan peralihan mesti dilaksanakan tepat pada masanya, dan geran AI perlu dikaitkan dengan keperluan reka bentuk semula pekerjaan serta peningkatan daya penghasilan yang memberi manfaat kepada para pekerja.

Sehubungan itu, dalam ucapannya, Cik Lau berkata Semakan Strategi Ekonomi (ESR) akan mengenal pasti sektor dengan permintaan tenaga kerja yang berterusan dan risiko penggantian AI yang lebih rendah, serta bekerjasama dengan kesatuan sekerja dan majikan untuk mewujudkan laluan kemasukan yang disokong bagi para pekerja yang melakukan peralihan kerjaya.

“Kita perlu memastikan laluan ini benar-benar boleh dilalui, bukan sekadar kelihatan jelas,” kata beliau.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita