Parlimen rancang 'bahas' isu ucapan kebencian, kaum dan agama bulan depan: Shanmugam
Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam mengumumkan rancangan untuk mengadakan "perbahasan wajar" di Parlimen mengenai isu-isu berhubung ucapan berunsur kebencian, berbaur perkauman dan agama awal bulan depan.
SINGAPURA: Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam mengumumkan rancangan untuk mengadakan "perbahasan wajar" di Parlimen mengenai isu-isu berhubung ucapan berunsur kebencian serta berbaur perkauman dan agama awal bulan depan.
Beliau berkata demikian kepada pihak media hari ini (19 Mar) selepas menyampaikan ucapan di retreat tahunan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG). Encik Shanmugam berkata adalah penting bagi masyarakat untuk melihat pelbagai aspek isu-isu tersebut dan secara sebuah masyarakat menentukan garis-garis batasan.
Beliau menambah bahawa satu pendirian sudah dibincangkan beberapa tahun lalu namun harus diteliti lagi.
"Saya rasa adalah penting satu pendirian komprehensif perlu dibentangkan untuk dibahaskan (di Parlimen)," menurut Encik Shanmugam.
"Ini agar masyarakat dapat melihat pendirian kita sejauh ini dan setiap generasi harus menentukannya sendiri. (Pendirian-pendirian ini)bukan sesuatu yang tetap dan tidak boleh diubah.
"Apakah tahap yang betul, apakah pendekatan yang betul (bagi isu-isu ini) perlu ditentukan menerusi perbahasan; itulah pendekatan yang sewajarnya," kata Encik Shanmugam, yang mendedahkan bahawa beliau merancang untuk membentangkan isu itu "pada April".
Kenyataan beliau itu susulan insiden serangan maut di Christchurch, New Zealand, yang meragut 50 nyawa di dua masjid dan menyebabkan puluhan lagi cedera.
Merujuk kepada serangan tersebut, Encik Shanmugam dalam ucapannya di retreat RRG berkata penyerang Christchurch itu menerbitkan manifesto 74 muka surat yang dipenuhi dengan ucapan-ucapan benci terhadap Islam.
Encik Shanmugam sekali lagi mengutuk komen-komen berbaur Islamofobia yang dibuat senator Australia Fraser Anning. Senator itu telah berkata serangan-serangan itu mengetengahkan rasa ketakutan yang kian meningkat terhadap keberadaan warga Muslim dan mendakwa program imigresen New Zealand membawa masuk fanatik Islam ke dalam negara itu.
"Ucapan (Encik Anning) yang saya rasa adalah antara paling tidak wajar ... seperti saya katakan, jika beliau ada di Singapura, beliau sudah diberkas. Kita tidak membenarkan (ucapan) sebegini," kata menteri itu lagi.
Encik Shanmugam memberi amaran: "Jika anda berkata demikian, dan orang lain mengutuknya namun anda terus bercakap demikian, dan semakin ramai orang berkata demikian."
Tambah beliau lagi: "Jika anda berkata demikian, dan orang lain mengutuknya namun anda teruskan juga dan semakin ramai orang berkata yang sama, ia menjadi suatu yang biasa dan semua orang akan menyerang agama orang lain. Apa akan terjadi pada masyarakat?"
Atas sebab itu, badan-badan seperti RRG amat berguna kerana mereka membantu menangani ideologi songsang lagi ganas dan menyediakan akses kepada ilmu agama yang sahih, kata Encik Shanmugam.
Beliau juga menyeru segenap lapisan masyarakat untuk memainkan peranan menentang ucapan berbaur kebencian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.