Skip to main content

Singapura

Parlimen perlu bincang 'tindak balas wajar' terhadap sabitan Pritam Singh kerana berbohong: Indranee

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 17 Dec 2025 05:36PM Dikemas Kini : 28 Dec 2025 12:34PM
SINGAPURA: Parlimen mesti membincangkan "tindak balas yang wajar" terhadap tindakan dan sabitan ketua Parti Pekerja (WP) Pritam Singh, kata Ketua Dewan Indranee Rajah pada Rabu (17 Dis).

"Berbohong di bawah sumpah adalah perkara yang serius. Di sesetengah negara, pemimpin yang berbohong, menipu atau melanggar undang-undang secara terang-terangan masih terlepas daripada sebarang akibat undang-undang atau politik. Kita tidak boleh menerima piawaian sedemikian di Singapura," kata Cik Indranee dalam sebuah kenyataan media.

Beliau menggambarkan fakta kes itu sebagai "membimbangkan".

"Penemuan mahkamah dan sabitan Encik Pritam adalah peringatan yang serius kepada semua Anggota Parlimen (AP) bahawa kita mempunyai tugas penting untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan mengekalkan kejujuran dan integriti dalam tingkah laku kita."

Singapura tidak boleh mempunyai Parlimen dunia pertama atau menyediakan semak dan imbang yang kukuh, melainkan AP di kedua-dua belah pihak memastikan diri mereka menepati piawaian tingkah laku yang tinggi, tambah Cik Indranee, yang merupakan AP bagi GRC Pasir Ris-Changi dan Menteri di Pejabat Perdana Menteri.

"Apa jua tindakan yang mungkin diambil oleh Parti Pekerja (WP), adalah perlu bagi Parlimen untuk mengambil perhatian terhadap tindakan dan sabitan Encik Pritam, dan membincangkan respons yang wajar," katanya, sambil menambah bahawa perkara itu akan dibangkitkan pada sidang parlimen Januari nanti.

Kenyataannya berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi pada awal Disember untuk menolak rayuan ketua WP terhadap sabitan berbohong kepada jawatankuasa parlimen, berkaitan kes bekas AP Raeesah Khan.

Encik Pritam, yang merupakan AP bagi GRC Aljunied, sabit kesalahan pada Februari dan dijatuhi hukuman denda berjumlah S$14,000.

Oleh sebab denda sebanyak S$7,000 bagi setiap tuduhan tidak mencapai had untuk hilang kelayakan, beliau kekal sebagai AP. Beliau memimpin pasukannya dalam meraih kemenangan di GRC Aljunied dalam Pilihan Raya Umum (GE) pada Mei lalu.

"PENGHINAAN" TERHADAP DISIPLIN DALAMAN

Dalam kenyataannya, Cik Indranee berkata bahawa selepas Cik Raeesah mengaku berbohong, Encik Pritam membentuk panel disiplin dengan pemimpin WP Sylvia Lim dan Faisal Manap untuk menyiasat tingkah lakunya.

"Ini adalah satu penghinaan, memandangkan ketiga-tiga mereka sudah mengetahui tentang pembohongan itu beberapa bulan sebelumnya, dan sebenarnya Encik Pritam yang membimbing Cik Khan untuk meneruskan pembohongan itu. Fakta-fakta tersebut tidak didedahkan apabila Panel Disiplin dibentuk," kata Cik Indranee.

WP mempunyai prosesnya sendiri untuk menangani anggota yang tidak jujur, katanya, dengan menyebut contoh-contoh Cik Raeesah dan mantan AP Leon Perera, yang berbohong kepada kepimpinan parti mengenai hubungan tidak wajarnya.

Mediacorp sudahpun menghubungi WP untuk mendapatkan komen.

PERINCIAN KES

Pada Ogos 2021, mantan anggota WP Khan, yang merupakan AP bagi GRC Sengkang, berbohong di Parlimen tentang mengiringi mangsa rogol untuk membuat aduan polis.

Dia kemudian mengulangi pembohongan itu apabila disoal oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam.

Cik Raeesah mengaku tentang pembohongan itu beberapa bulan kemudian pada November 2021, dan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP) untuk menyiasat tingkah lakunya di Parlimen.

Encik Pritam memberi keterangan di hadapan COP pada Disember 2021.

Pada Mac 2024, Encik Pritam didakwa atas dua tuduhan kerana memberi keterangan palsu kepada COP bahawa beliau mahu Cik Raeesah menjelaskan pembohongannya di parlimen.

Beliau mempertikaikan tuduhan-tuduhan tersebut semasa perbicaraan dan didapati bersalah atas kedua-dua tuduhan pada Februari tahun ini.

Beliau kemudian membuat rayuan terhadap sabitan kesalahannya, yang ditolak pada 4 Disember.

Encik Pritam memberitahu wartawan di luar mahkamah bahawa beliau kecewa dengan keputusan rayuan tetapi menghormatinya. Beliau berkata beliau bertanggungjawab kerana mengambil masa "terlalu lama" untuk bertindak balas terhadap pembohongan Cik Raeesah, tetapi berkata beliau tetap komited kepada tanggungjawabnya terhadap parlimen dan rakyat Singapura.

Beliau juga berkata tumpuannya adalah untuk terus berkhidmat kepada rakyat Singapura dan bersuara untuk mereka, dan mengucapkan terima kasih kepada rakyat Singapura atas sokongan mereka.

Dalam kenyataan yang dimuat naik ke laman Facebook selepas perbicaraan, WP menyatakan bahawa pihaknya sedang mengkaji keputusan mahkamah dan alasan keputusan.

WP juga menambah bahawa pihaknya "menghadapi banyak cabaran selama bertahun-tahun" dan bahawa "komitmen kami untuk berkhidmat kepada rakyat Singapura tetap tidak berubah".
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita