Parlimen mansuh Akta Hasutan selepas 83 tahun
Parlimen pada Selasa (5 Okt) memansuhkan Akta Hasutan yang digubal 83 tahun lalu, yang mana Menteri Ehwal dalam Negeri K Shanmugam menyifatkannya sebagai "perundangan ekstrim" dengan beberapa peruntukan relevan kini digantikan dengan undang-undang lain yang lebih tersasar.
(Gambar: CNA)
SINGAPURA: Parlimen pada Selasa (5 Okt) memansuhkan Akta Hasutan yang digubal 83 tahun lalu, yang mana Menteri Ehwal dalam Negeri K Shanmugam menyifatkannya sebagai "perundangan ekstrim" dengan beberapa peruntukan relevan kini digantikan dengan undang-undang lain yang lebih tersasar.
Akta tersebut menjadikannya satu kesalahan jenayah bagi kelakukan yang mempunyai unsur hasutan dan menggalak kebencian terhadap Pemerintah, antara lain.
Akta dari zaman penjajahan Britain itu kini tidak lagi relevan dan sememangnya sudah lama tidak digunakan, kata Menteri K Shanmugam berucap mengenai Rang Undang-Undang (Pemansuhan) Hasutan.
Encik Shanmugam yang juga Menteri Undang-Undang berkata: "Kecenderungan untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pemerintah tidak seharusnya dianggap sebagai satu perbuatan jenayah. Saya fikir, jika ia benar, ramai orang termasuk ramai dalam Dewan ini akan dianggap sebagai penjenayah.
"Namun ia tidak dimansuhkan lebih awal kerana beberapa peruntukannya masih relevan," katanya.
Sepanjang beberapa tahun lalu, undang-undang baru diperkenalkan termasuk Akta Pentadbiran Kehakiman (Perlindungan) 2016, dan Akta Mengekalkan Keharmonian Agama, yang meliputi kesalahan bertindih dengan Akta Hasutan secara lebih bersasar.
Meskipun demikian, Encik Shanmugam berkata satu aspek Akta Hasutan yang bertujuan untuk memastikan perpaduan sosial antara kumpulan berbeza-beza, terus menjadi relevan. Akta Hasutan menjadikannya satu kesalahan jenayah bagi kelakuan yang menggalak perasaan yang menyakitkan hati dan permusuhan antara kaum atau agama.
Justeru, Parlimen juga meminda Kanun Keseksaan untuk menjaga perpaduan sosial antara kumpulan berbeza di Singapura, seperti antara status sosioekonomi atau bahasa yang berlainan, menurut Encik Shanmugam.
LAPORAN BERKAITAN: Rang undang-undang bagi mansuh Akta Hasutan diperkenal di Parlimen
Anggota Parlimen Parti Pekerja Leon Perera (GRC Aljunied) merupakan satu-satunya AP yang mengemukakan soalan semasa perbahasan mengenai Rang Undang-Undang itu.
Beliau bertanya jika Seksyen 267C yang dipinda itu bermakna bahawa sebarang arahan untuk mengingkari undang-undang, seperti seorang pensyarah yang mengajar modul tentang ketidakpatuhan terhadap undang-undang akan dianggap sebagai satu kesalahan.
Menjawab, Encik Shanmugam berkata Seksyen 267C yang baru menyatakan bahawa individu itu mesti berniat bagi keganasan atau gangguan ketenteraman akan berlaku, justeru perbuatan setakat memberikan maklumat tentang ketidakpatuhan terhadap undang-undang bukanlah satu perbuatan jenayah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.