Parlimen luluskan undang-undang turunkan had alkohol, hukuman lebih berat bagi kesalahan pandu berbahaya
Undang-undang baharu diluluskan di parlimen pada Selasa (4 Ogos) bagi menurunkan had kandungan alkohol untuk kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol serta mengenakan hukuman lebih berat terhadap kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan parah.
Seorang lelaki menjalani ujian nafas semasa operasi penguatkuasaan terhadap pemanduan di bawah pengaruh alkohol di Upper Cross Street, berhampiran Chinatown, pada 20 September 2025. (Gambar: CNA/Tan Wen Lin)
Rang Undang-Undang Lalu Lintas Jalan Raya (Pindaan Pelbagai) dibahaskan oleh 27 Anggota Parlimen (AP) daripada kedua-dua belah Dewan selama lima jam.
Antara isu yang dibangkitkan termasuk sama ada hukuman baharu itu masih terlalu ringan, sama ada denda berdasarkan pendapatan wajar dipertimbangkan, dan bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh penguatkuasaan.
Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Sim Ann berkata rang undang-undang itu bertujuan memperkukuh kebertanggungjawaban terhadap "kelakuan paling serius di jalan raya", meningkatkan pencegahan terhadap pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah, serta mempertingkat keupayaan polis trafik menguatkuasakan kesalahan lalu lintas.
Antara pindaan yang diperkenalkan ialah kesalahan baharu membahayakan orang lain secara sengaja, iaitu apabila seseorang dengan sengaja menggunakan kenderaan untuk membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan parah.
Cik Sim merujuk kepada kes Jarrett Tee, yang dengan sengaja membelokkan keretanya untuk menghalang sebuah motosikal pada 2024 sehingga menyebabkan pembonceng motosikal itu maut.
Sebelum berbuat demikian, dia dikatakan bertanya kepada penumpangnya: "Adakah anda mahu melihat sebuah motosikal terpelanting?"
Cik Sim berkata: "Namun, berdasarkan fakta kes tersebut, pertuduhan paling serius yang boleh dikenakan terhadap pesalah itu hanyalah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, yang membawa hukuman penjara maksimum lapan tahun.
"Pandangan pemerintah ialah perbuatan sedemikian mesti dikenakan hukuman yang lebih berat."
Hukuman bagi kesalahan membahayakan orang lain secara sengaja adalah lebih berat berbanding kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Jika kesalahan itu menyebabkan kematian, pesalah boleh dipenjara sehingga 15 tahun, didenda dan dikenakan hukuman sebat.
Mahkamah juga diwajibkan melarang pesalah daripada memandu seumur hidup, kecuali jika terdapat alasan khas untuk tidak berbuat demikian. Sekiranya alasan khas tersebut diterima, mahkamah tetap perlu mengenakan larangan memandu sekurang-kurangnya selama 10 tahun.
Undang-undang baharu itu turut meningkatkan hukuman bagi kesalahan memandu secara cuai dan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan parah.
"Kami membuat pindaan ini kerana bentuk kecederaan parah yang paling serius boleh menyebabkan mangsa mengalami kesan kekal yang mengubah kehidupan mereka, sehingga tidak lagi mampu bekerja, hidup berdikari atau menjaga diri sendiri," kata Cik Sim.
Bagi kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan parah, undang-undang baharu itu meningkatkan hukuman penjara maksimum bagi pesalah kali pertama daripada lima tahun kepada tujuh tahun, manakala bagi pesalah berulang daripada 10 tahun kepada 13 tahun.
Had kandungan alkohol bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol turut diturunkan daripada 35 mikrogram alkohol bagi setiap 100 mililiter nafas kepada 15 mikrogram alkohol bagi setiap 100 mililiter nafas.
Had kandungan alkohol dalam darah pula dikurangkan daripada 80 miligram alkohol bagi setiap 100 mililiter darah kepada 30 miligram alkohol bagi setiap 100 mililiter darah.
Had kandungan alkohol sedia ada telah dikuatkuasakan sejak 1985.
"Sejak itu, pemahaman saintifik berhubung kesan alkohol terhadap keupayaan memandu telah berkembang dengan ketara. Banyak negara termasuk Thailand, Filipina, Australia dan Korea Selatan telah mengguna pakai had kandungan alkohol yang lebih rendah," tambah beliau.
Tahun lalu menyaksikan jumlah kematian di jalan raya tertinggi dalam tempoh 10 tahun, dengan 149 kematian direkodkan, iaitu hampir satu kematian setiap dua hari.
"Kadar kemalangan dan jumlah kematian di jalan raya perlu dikurangkan," kata Cik Sim.
HUKUMAN MASIH TERLALU RINGAN?
Walaupun undang-undang tersebut sudah dipinda bagi meningkatkan hukuman terhadap kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan parah, AP Xie Yao Quan (PAP-Jurong Central) berkata beliau berharap undang-undang lalu lintas dijadikan "lebih tegas lagi".
Beliau membangkitkan kes Jeremiah Ng, yang pada 2021 memandu dalam keadaan mabuk dan melebihi had kelajuan.
Ng merempuh pembahagi jalan sebelum melanggar bahagian pemandu sebuah kereta lain, sekali gus mengorbankan pemandu Gojek berusia 59 tahun yang sedang berhenti di lampu isyarat merah bersama kenderaan lain.
Kemalangan itu turut mencetuskan beberapa pelanggaran lain yang menyebabkan lima lagi mangsa cedera.
Para mangsa mengalami kecederaan serius termasuk kecederaan otak traumatik dan beberapa patah tulang.
Ng dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, serta enam bulan penjara kerana memandu di bawah pengaruh alkohol, dengan kedua-dua hukuman dijalankan secara serentak.
"Walaupun Jeremiah Ng memandu secara melulu, saya tidak fikir keadaan mentalnya ketika itu memenuhi ambang bagi kesalahan membahayakan orang lain secara sengaja sekiranya undang-undang ini sudah wujud ketika itu. Oleh itu, dia tetap akan didakwa atas kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, yang membawa hukuman maksimum lapan tahun penjara, bukannya 15 tahun dan bagi saya, perkara itu tidak masuk akal," kata Encik Xie.
Beliau menambah bahawa hukuman maksimum lapan tahun bagi kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian masih "terlalu ringan", memandangkan tindakan itu menunjukkan "kecuaian melampau dan sikap yang tidak menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya lain".
Kata beliau, jika hukuman maksimum bagi kesalahan baharu membahayakan orang lain secara sengaja ialah 15 tahun penjara, maka perbezaan hukuman bagi kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian tidak sepatutnya melebihi 30 peratus.
"Saya berharap hukuman maksimum bagi kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dinaikkan kepada 11 tahun, bukannya lapan tahun," kata beliau.
Beliau turut berharap rang undang-undang itu dapat menyelaraskan hukuman bagi kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan parah dengan kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Ini kerana, bagi sesetengah mangsa kemalangan, keadaan mereka selepas terselamat mungkin "bukan lebih baik daripada kematian".
Mengulas cadangan Encik Xie, Cik Sim berkata pihak kementerian akan terus meneliti hukuman yang diperuntukkan dalam undang-undang berkenaan, termasuk kemungkinan menaikkan hukuman maksimum, bergantung kepada keadaan lalu lintas.
"Sedang kami meneliti semula hukuman dalam Akta ini, kami juga akan merujuk kepada hukuman dalam undang-undang lain seperti Kanun Keseksaan di mana sesuai," kata beliau.
Cik Sim bersetuju bahawa bentuk kecederaan parah yang serius, seperti mangsa yang berada dalam keadaan vegetatif kekal, boleh membawa "kesan yang hampir sama serius dengan kematian, dan oleh itu hukumannya juga seharusnya hampir setara".
"Itulah yang ingin dicapai menerusi rang undang-undang ini dengan meningkatkan hukuman bagi kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan parah," tambah beliau.
"KALAU MINUM, JANGAN MEMANDU"
AP Tanpa Kawasan Undi Andre Low (WP) meminta penjelasan mengenai bukti yang menyokong penetapan had baharu kandungan alkohol bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, termasuk kaitannya dengan risiko keupayaan memandu yang terjejas.
Cik Sim berkata dalam menyemak had tersebut, pihak kementerian mengambil kira bukti saintifik berhubung kesan alkohol terhadap keupayaan memandu serta pendekatan yang digunakan di negara-negara lain yang setanding.
"Bukti saintifik menunjukkan bahawa keupayaan memandu mula terjejas pada tahap pengambilan alkohol yang rendah," kata Cik Sim.
"Oleh itu, had baharu ini disasarkan kepada tahap di mana kesan alkohol terhadap keupayaan memandu mula berlaku, sambil mengambil kira penghasilan alkohol secara semula jadi oleh tubuh menerusi proses metabolisme."
AP Diana Pang (PAP-Marine Parade-Braddell Heights) bertanya sama ada pemerintah akan mempertimbangkan untuk meluluskan alat uji nafas yang boleh dibeli orang ramai.
Ini bagi membolehkan seseorang yang telah mengambil alkohol untuk membuat pemeriksaan awal sebelum memutuskan sama ada dirinya boleh memandu.
Cik Sim mengulangi bahawa mesej utama pindaan berkaitan memandu di bawah pengaruh alkohol ialah "kalau minum, jangan memandu".
"Oleh itu, tiada sebab untuk menyediakan alat uji nafas di pasaran bagi membolehkan para pemandu memeriksa sendiri tahap kandungan alkohol mereka," tambah beliau.
DENDA BERDASARKAN PENDAPATAN
Beberapa AP turut membangkitkan persoalan sama ada denda bagi kesalahan lalu lintas wajar ditetapkan berdasarkan pendapatan pesalah.
AP He Ting Ru (WP-Sengkang) bertanya tentang bukti dan kaedah yang digunakan untuk menilai sama ada jumlah denda sedia ada masih memberi kesan pencegahan kepada para pemandu daripada latar belakang kewangan yang berbeza-beza.
"Adakah MHA meneliti keputusan hukuman, kesalahan berulang serta beban denda terhadap pesalah mengikut kedudukan kewangan mereka?" kata beliau.
AP Hazlina Abdul Halim (PAP-East Coast) pula bertanya sama ada MHA akan mengkaji pelaksanaan denda berdasarkan pendapatan.
"Ia adalah bermanfaat untuk mengetahui sama ada denda tetap memberi kesan pencegahan yang sama kepada semua kumpulan pendapatan, atau sama ada ia terlalu mudah untuk ditanggung oleh sesetengah pihak tetapi terlalu membebankan bagi pihak lain," kata beliau.
Cik Sim berkata cadangan untuk melaksanakan denda berdasarkan pendapatan merupakan "isu yang rumit dan melibatkan persoalan kesaksamaan serta keadilan".
"Kami sedar beberapa negara telah melaksanakannya dan kami akan mengkaji pengalaman mereka," tambah beliau.
PENGGUNAAN TEKNOLOGI UNTUK MENGESAN KESALAHAN
Cik Sim berkata undang-undang baharu itu turut menyokong usaha polis trafik memanfaatkan teknologi bagi memperluaskan penguatkuasaan terhadap kesalahan lalu lintas.
Pada masa ini, apabila kamera merakam sesebuah kenderaan melakukan kesalahan lalu lintas, seorang pegawai polis perlu meneliti rakaman tersebut bagi menentukan sama ada terdapat bukti yang mencukupi bahawa kesalahan telah dilakukan.
Di bawah undang-undang baharu, program komputer boleh menilai sama ada terdapat bukti yang mencukupi bahawa sesuatu kesalahan lalu lintas telah dilakukan. Jika ya, notis boleh dikeluarkan secara automatik untuk meminta pemilik kenderaan untuk memberikan maklumat pemandu pada waktu kesalahan itu didakwa berlaku.
"Ini membolehkan polis trafik meningkatkan penguatkuasaan secara ketara dan memansuhkan proses manual menerusi penggunaan analitik video pada kamera penguatkuasaan lalu lintas," kata Cik Sim.
Mempersoalkan langkah tersebut, AP Darryl David (PAP-Ang Mo Kio) bertanya sama ada pemandu yang percaya kesalahan dikesan secara tidak betul boleh memohon semakan.
Beliau turut bertanya mengenai piawaian yang diguna pakai untuk mengawal pengumpulan, penyimpanan dan pengesahan bukti digital.
Cik Sim berkata notis automatik hanya akan dihantar bagi "kesalahan lalu lintas bersifat teknikal", yang akan diperincikan menerusi perundangan subsidiari.
Sebarang permohonan untuk membatalkan notis yang dikeluarkan secara automatik perlu disemak oleh seorang pegawai awam yang diberi kuasa, tambah beliau.
Polis trafik juga akan berusaha menyelesaikan rayuan daripada orang ramai dengan segera, dengan kebanyakan rayuan diselesaikan dalam tempoh sebulan, manakala kes yang lebih rumit boleh mengambil masa sehingga tiga bulan.
Beliau menambah bahawa proses rayuan akan terus disediakan secara percuma.
MEMANDU DI BAWAH PENGARUH BAHAN TERLARANG
Pindaan undang-undang itu turut memperkenalkan kesalahan baharu iaitu memandu semasa sampel darah pemandu mengandungi dadah terkawal, bahan memabukkan atau bahan psikoaktif.
"Walaupun ia menjadi kesalahan untuk memandu dengan kandungan alkohol melebihi had tertentu dalam darah, tiada kesalahan yang setara bagi bahan-bahan tertentu ini," kata Cik Sim.
"Ini kerana tiada satu paras kepekatan yang diiktiraf secara saintifik yang boleh menunjukkan dengan pasti bahawa keupayaan memandu seseorang itu terjejas disebabkan oleh pelbagai jenis bahan tersebut."
Pihak pendakwa perlu membuktikan bahawa pemandu bukan sahaja mengambil dadah, malah dadah itu menyebabkan pemandu berkenaan hilang keupayaan untuk mengawal kenderaan dengan baik, sekali gus mewujudkan "cabaran pembuktian yang besar".
Di bawah pindaan baharu itu, pihak pendakwa tidak lagi perlu membuktikan bahawa keupayaan memandu seseorang itu terjejas.
Menurut Cik Sim, memandu dengan kehadiran bahan-bahan tertentu dalam darah adalah berbahaya dan perlu dicegah kerana bahan tersebut, seperti etomidate, sudahpun dikawal di bawah undang-undang sedia ada dan diketahui boleh menjejaskan keupayaan memandu dengan memberi kesan kepada masa bertindak balas, tumpuan dan koordinasi.
Beberapa AP membangkitkan kebimbangan mengenai liabiliti jenayah terhadap para pemandu yang mengambil ubat yang dipreskripsikan secara sah tetapi boleh menjejaskan keupayaan memandu.
AP Vikram Nair (PAP-Sembawang) bertanya sama ada seseorang boleh melakukan kesalahan jika bahan tersebut disedut secara tidak sengaja semasa bekerja di stesen minyak atau tapak kilang.
AP Wan Rizal (PAP-Jalan Besar) pula bertanya sama ada lebih banyak penekanan akan diberikan kepada maklumat berhubung preskripsi ubat yang boleh menjejaskan keupayaan memandu. Beliau turut mencadangkan talian khas bagi membolehkan para pemandu mendapatkan nasihat sebelum memandu selepas mengambil ubat.
Cik Sim memberi jaminan bahawa kesalahan baharu itu tidak melibatkan "kebanyakan ubat biasa atau ubat yang dijual di kaunter".
Beliau berkata kesalahan baharu berasaskan kehadiran bahan tersebut hanya terpakai kepada dadah terkawal, bahan psikoaktif atau bahan memabukkan yang telahpun dikawal di bawah undang-undang sedia ada.
Pembelaan berkanun turut disediakan kepada mereka yang boleh membuktikan dua syarat berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Pertama, bahawa dadah terkawal, bahan psikoaktif atau bahan memabukkan itu dihisap, disedut, digunakan, dimakan atau diberikan secara sah, kata Cik Sim.
Kedua, bahawa individu tersebut tidak mengetahui atau tidak mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa bahan tersebut akan menjejaskan keupayaannya untuk mengawal kenderaan dengan baik ketika kesalahan didakwa berlaku.
Bagaimanapun, seseorang itu tetap melakukan kesalahan jika tidak mampu mengawal kenderaan dengan baik disebabkan oleh sebarang ubat atau bahan lain.
"Jika ragu-ragu, orang ramai harus mendapatkan nasihat daripada karyawan kesihatan dan mengambil pendekatan yang selamat dengan tidak memandu," kata Cik Sim.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.