Skip to main content

Singapura

Parlimen luluskan undang-undang keadilan di tempat kerja berkuat kuasa 2027

Anggaran Waktu Membaca:
Parlimen luluskan undang-undang keadilan di tempat kerja berkuat kuasa 2027
Rakyat Singapura. (Gambar: CNA/Ooi Boon Keong)
Diterbitkan : 04 Nov 2025 11:39PM
SINGAPURA: Satu undang-undang yang memperkenalkan rangka kerja penyelesaian pertikaian, yang boleh digunakan oleh pekerja untuk memfailkan tuntutan terhadap diskriminasi diluluskan di parlimen pada Selasa (4 Nov).

Membentangkan Rang Undang-Undang Keadilan di Tempat Kerja (Penyelesaian Pertikaian) bagi bacaan kedua, Menteri Tenaga Manusia Dr Tan See Leng menyifatkan Akta Keadilan di Tempat Kerja yang baharu itu sebagai langkah penting dalam usaha memastikan tempat kerja lebih adil dan harmoni.

"Tidak ada ruang untuk diskriminasi di tempat kerja kita. Apabila kes-kes sedemikian malangnya berlaku, kami mahu pihak-pihak yang terlibat dilengkapi dengan kaedah dan sumber yang diperlukan, yang kemudiannya akan membolehkan mereka menyelesaikan isu tersebut dengan baik dan pantas," jelasnya.

"Model yang telah kami reka dengan teliti membolehkan isu-isu diskriminasi di tempat kerja dibincangkan dan diselesaikan dengan pantas, sambil memastikan hasil yang adil."

Pihak berkuasa merancang untuk menguatkuasakan Akta Keadilan di Tempat Kerja pada akhir 2027, kata Dr Tan.

Undang-undang bersejarah ini diluluskant empat tahun selepas Perdana Menteri ketika itu, Lee Hsien Loong mengumumkan semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan 2021 bahawa Singapura akan menerapkan garis panduan antidiskriminasi di tempat kerja ke dalam undang-undang negara.

Undang-undang itu diperkenalkan melalui dua Rang Undang-Undang, yang pertama dibentangkan pada November tahun lalu dan menetapkan skop yang akan diliputi oleh undang-undang keadilan di tempat kerja dan apa yang sepatutnya dipatuhi oleh pihak majikan.

Pada Januari, para penggubal undang-undang sebulat suara menyokong Rang Undang-Undang yang menguatkuasakan Akta Keadilan di Tempat Kerja dan menetapkan usia, kerakyatan, jantina, kaum dan ketidakupayaan sebagai bidang-bidang di mana pekerja dilindungi daripada diskriminasi. Majikan yang melanggar undang-undang tersebut akan diarahkan untuk menghadiri bengkel pendidikan dan dikenakan denda.

Rang Undang-Undang kedua, yang dibentangkan bulan lalu, memberi tumpuan kepada proses penyelesaian pertikaian dengan mencadangkan rangka kerja yang bertujuan untuk membantu pihak-pihak terlibat mencari penyelesaian yang adil.

Seramai 18 Anggota Parlimen (AP) menyokong Rang Undang-Undang tersebut pada Selasa (4 Nov), dengan menyorot maklum balas para penduduk dalam ucapan masing-masing.

Bagi ramai pekerja, terutamanya kaum wanita dan penjaga, keadilan di tempat kerja adalah sesuatu yang "sangat peribadi", kata Cik Yeo Wan Ling (PAP-Punggol), sambil menambah bahawa ramai pekerja wanita telah berkongsi dengannya bahawa "sikap pilih kasih dan berat sebelah masih membelenggu kerjaya mereka" hari ini.

Cik Mariam Jaafar (PAP-GRC Sembawang) menceritakan bagaimana seorang penduduk datang ke Sesi Bertemu Rakyat pada Isnin untuk memohon bantuan. Dia diberhentikan kerja sebaik sahaja dia pulang dari cuti sakit di hospital bagi rawatan persenyawaan in-vitro (IVF).

"Ujian sebenar keadilan bukan setakat bagaimana undang-undang digubal, atau bagaimana prosesnya diatur - hakikatnya ia adalah dari segi bagaimana pekerja berdepan dengannya setiap hari," kata Cik Mariam.

"Keadilan bukan sahaja mesti adil, tetapi mesti terasa adil kepada orang yang melaluinya."
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita