Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Parlimen luluskan undang-undang benarkan banduan layak kerja di luar penjara

Memastikan banduan tidak dieksploitasi dalam pekerjaan dan dibayar gaji yang setimpal menjadi sebahagian daripada perbahasan di Parlimen hari ini (11 Jan) berhubung perubahan pada Rang Undang-Undang Penjara.

Anggaran Waktu Membaca:
Parlimen luluskan undang-undang benarkan banduan layak kerja di luar penjara

(Gambar: Jabatan Penjara Singapura/Facebook)

SINGAPURA: Memastikan banduan tidak dieksploitasi dalam pekerjaan dan dibayar gaji yang setimpal menjadi sebahagian daripada perbahasan di Parlimen Selasa (11 Jan) berhubung perubahan pada Rang Undang-Undang Penjara.

Rang Undang-Undang itu, yang diluluskan selepas perbahasan tersebut, akan membolehkan banduan untuk menjalani latihan kemahiran, pendidikan dan bekerja dalam masyarakat sebelum selesai menjalani hukuman mereka - di bawah satu program dipanggil Skim Persediaan Pekerjaan (EmPS).

Menggantikan skim pelepasan kerja sekarang - yang membenarkan banduan dibebaskan hanya untuk keluar bekerja pada hujung tempoh hukuman mereka, program baru itu membolehkan banduan yang layak dan menunjukkan kemajuan untuk akhirnya pulang ke rumah masing-masing pada hujung minggu atau bahkan setiap hari selepas kerja, mengikuti bengkel latihan kemahiran ataupun kelas pendidikan.

Banduan yang layak termasuk mereka yang sudah menjalani hukuman penjara sekurang-kurangnya 14 hari.

Selain gaji yang dibayar kepada banduan bagi pekerjaan mereka, beberapa Anggota Parlimen (AP) ingin tahu bagaimana banduan akan dipilih untuk menjadi sebahagian daripada EmPS, jenis pekerjaan atau latihan kemahiran yang akan dijalani mereka serta bagaimana mereka akan menguruskan stigma terhadap banduan apabila bercampur dengan masyarakat di luar.

BAYARAN DAN KEADAAN KERJA

Encik Leon Perera, AP pembangkang bagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Aljunied, berkata syarikat tidak seharusnya menggunakan banduan sebagai sumber buruh murah dan akhirnya mengambil kesempatan ke atas mereka.

"Buruh seharusnya datang pada kos yang, dalam satu cara atau lain, ditanda aras untuk menjadi setara dengan gaji minimum, supaya banduan mempunyai semacam penampan simpanan apabila mereka keluar.

"Mereka tidak seharusnya kembali ke pangkuan masyarakat dalam keadaan kewangan yang sangat kekurangan kerana inilah sebabnya mengapa ramai banduan melakukan jenayah pada awalnya," hujah beliau semasa perbahasan itu.

Encik Yip Hon Weng, AP Yio Chu Kang, memberi amaran terhadap majikan yang ingkar yang mungkin menyertai program tersebut semata-mata untuk meraih manfaat daripada pelbagai geran pemerintah serta publisiti positif.

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, Profesor Madya Faishal Ibrahim, berkata majikan akan memasukkan gaji ke dalam akaun bank banduan atau memberikan cek tunai kepada mereka yang tidak mempunyai akaun bank.

Encik Perera mencadangkan agar Jabatan Penjara Singapura (SPS) bekerjasama dengan bank-bank lain selain POSB untuk membuka akaun bagi bekas banduan kerana segelintir daripada mereka nampaknya masih mempunyai masalah untuk memohon bagi sebuah akaun.

Bagaimanapun, Dr Faishal berkata aturan sedia ada dengan POSB sudah mencukupi.

Gaji banduan akan ditetapkan mengikut kadar pasaran sekiranya mereka mengambil peranan pekerjaan di luar penjara.

Dr Faishal juga berkata banduan yang diletakkan di bawah EmPS dan bekerja dengan seorang majikan akan dilindungi di bawah Akta Pekerjaan.

Majikan yang bekerjasama dengan Reben Kuning Singapura (YRSG), iaitu sebuah agensi pemerintah yang memberi tumpuan kepada pemulihan banduan, perlu mematuhi amalan adil pengambilan pekerja dan memupk sebuah persekitaran pekerjaan yang membina, tambah beliau.

"Jika seorang majikan dilaporkan melayani pekerja secara tidak adil disebabkan rekod jenayah mereka, YRSG boleh menggantung atau malah menghentikan kerjasama dengan majikan berkenaan."

Banduan di bawah EmPS akan dipadankan dengan seorang pembimbing kerjaya sehingga 12 bulan untuk memastikan mereka menerima sokongan mencukupi tatkala mereka menyesuaikan diri dengan tuntutan serta persekitaran pekerjaa.

Pembimbing kerjaya juga boleh menjadi pengantara antara banduan dengan majikan sekiranya terdapat sebarang masalah antara kedua-dua pihak itu. Mereka juga boleh menasihatkan banduan untuk membawa kes diskriminasi yang dihadapi langsung ke Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (TAFEP)

Dr Faishal berkata banduan yang menghadiri kelas bersama-sama anggota masyarakat tidak akan didedahkan identitinya. Menjawab keprihatinan Encik Yip tentang sama ada banduan mungkin diperhatikan, Dr Faishal mencadangkan agar banduan yang memakai gelang elektronik boleh menyelindungkan tag itu dengan memakai seluar atau skirt panjang.

"Kami tidak memaksa individu mendedahkan status mereka sebagai banduan atau bekas pesalah untuk mengelakkan stigma lebih lanjut," kata Dr Faishal.

Untuk mengurangkan stigma dengan lebih lanjut, AP Bukit Batok Murali Pillai malah mencadangkan agar bekas pesalah dipelawa untuk menghadiri Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini.

SIAPA YANG LAYAK UNTUK KERJA

Dr Faishal berkata banduan akan menjalani pemeriksaan rapi berdasarkan respons pemulihan mereka, tingkah laku mereka sepanjang di penjara dan sama ada mereka mempunyai sokongan mencukupi daripada keluarga.

Mereka yang dianggap selamat daripada membawa ancaman ketara kepada keselamatan awam akan dipertimbangkan dan dikemukakan kepada sebuah jawatankuasan penasihat untuk dinilai.

Pesuruhjaya Penjara kemudian akan memutuskan sama ada untuk meletakkan banduan itu di bawah EmPS.

Beberapa AP bertanya jika banduan yang tidak menerima sokongan kukuh daripada keluarga akan dikecualikan daripada program itu.

Dr Faishal menjawab banduan itu masih boleh diberikan tempat di dalam program tersebut. Namun, kata beliau, mereka mungkin tidak dapat maju ke fasa kedua di mana mereka boleh pulang ke rumah pada hujung minggu dan akhirnya, pada setiap hari seandainya mereka terus menunjukkan kemajuan.

Semasa fasa pertama EmPS, banduan akan pulang ke sebuah pusat pelepasan kerja selepas mereka habis bekerja atau tamat kelas.

Dalam respons kepada keprihatinan AP bahawa para banduan tidak akan melarikan diri, Dr Faishal berkata mereka perlu mematuhi syarat-syarat yang ketat seperti memakai tag elektronik, perintah berkurung dan melaporkan diri.

Mereka juga tidak dibenarkan untuk mengambil alkohol atau dadah, mengunjungi tempat pelacuran, kelab malam mahupun rumah urut.

Dr Faishal menambah Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menjangkakan jumlah banduan yang diletakkan di bawah program itu akan serupa dengan mereka yang menjalani skim pelepasan kerja sedia ada. Sekitar 200 banduan diletakkan di bawah skim itu setiap tahun, membentuk kira-kira tiga peratus daripada jumlah banduan di penjara.

Tahun lalu, purata dua banduan di bawah skim pelepasan kerja melarikan diri setiap bulan maka jumlah yang sama dijangkakan untuk EmPS.

Mereka yang dipilih untuk program baru itu akan dipadankan - melalui YRSG - dengan kursus atau majikan yang sesuai, berdasarkan kemahiran serta pengalaman mereka.

AP Radin Mas Melvin Yong mengusulkan lebih banyak boleh dilakukan untuk meletakkan bekas pesalah di dalam sektor yang kekurangan tenaga kerja. Beliau juga mencadangkan untuk menyemak semula sekatan pengambilan pekerja bagi bekas pesalah dalam sektor-sektor tertentu seperti khidmat keselamatan.

Walaupun YRSG sudahpun berganding bahu dengan majikan untuk meningkatkan kemahiran banduan, yang akan membuka peluang mereka kepada pekerjaan lebih baik, Dr Faishal berkata sekatan ke atas pengambilan pekerja bagi sektor-sektor tertentu masih diperlukan untuk memastikan keseimbangan antara pemulihan dengan keselamatan awam.

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan