Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Parlimen luluskan Rang Undang-Undang wajib laporkan kelahiran, kematian, bayi lahir mati

Melaporkan kelahiran setiap anak di Singapura serta kematian dan bayi lahir mati akan diwajibkan tidak lama lagi. Ini selepas perubahan yang diusulkan ke atas Akta Pendaftaran  Kelahiran dan Kematian diluluskan di Parlimen pada Selasa (6 Jul). 

Anggaran Waktu Membaca:
Parlimen luluskan Rang Undang-Undang wajib laporkan kelahiran, kematian, bayi lahir mati

(Gambar fail: AFP/Philippe Huguen)

Diterbitkan : 06 Jul 2021 10:32PM Dikemas Kini : 06 Jul 2021 10:34PM

SINGAPURA: Melaporkan kelahiran setiap anak di Singapura serta kematian dan bayi lahir mati akan diwajibkan tidak lama lagi. Ini selepas perubahan yang diusulkan ke atas Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian diluluskan di Parlimen pada Selasa (6 Jul).

Proses laporan itu dibuat sebelum pendaftaran.

Sebelum ini, undang-undang menghendaki ibu bapa atau anggota keluarga mendaftarkan kelahiran, bayi lahir mati dan kematian tetapi tidak mengenakan syarat laporan wajib.

Bagi melaporkan kelahiran, perubahan tersebut kebanyakannya menjejas bayi yang dilahirkan di luar hospital. Dalam kes seumpama itu, ibu bapa perlu melaporkan kelahiran secepat mungkin, secara bertemu muka di Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

Mereka yang gagal berbuat demikian boleh didenda sehingga S$1,500 dan dipenjara sehingga sebulan.

Kelahiran di hospital akan terus dilaporkan kepada Ketua Pendaftar (RG) Kelahiran dan Kematian di bawah satu aturan pentadbiran. Ini termasuk bayi yang dibawa ke hospital dalam tempoh 24 jam dilahirkan.

Ketika menggariskan perubahan utama di Parlimen, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, berkata: "Melaporkan kelahiran, kematian atau bayi dilahir mati adalah langkah pertama yang penting sebagai pemberitahuan kepada pihak-pihak berkuasa relevan tentang kejadian tersebut. Selepas kelahiran, kematian atau kelahiran mati dilaporkan, langkah seterusnya adalah pendaftaran."

Beliau menambah bahawa perubahan pada Akta tersebut, yang digubal pada 1937, akan "meningkatkan dengan ketara" kemudahan bagi masyarakat umum kerana ia memperkemas proses pelaporan dan pendaftaran.

Ini penting bagi penggubalan dasar dan peruntukan perkhidmatan awam seperti pendidikan serta perumahan, ujar Dr Faishal lanjut.

MENDAFTARKAN KELAHIRAN

Sebelum ini, bagi kelahiran di luar hospital, hampir sesiapa sahaja termasuk seorang wakil bagi pihak ibu bapa, boleh menyediakan butiran kelahiran anak tersebut kepada ICA bagi pendaftaran dalam tempoh 42 hari dari tarikh kelahiran.

Dengan perubahan itu, hanya ibu bapa atau individu yang dilantik secara sah boleh mendaftarkan kelahiran anak tersebut.

Individu yang dilantik secara sah merujuk kepada pewaris kanak-kanak yang sah, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat atau pelindung bagi anak yang telahpun diletakkan di bawah Akta Kanak-kanak dan Orang Muda, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).

Bagi kelahiran yang tidak berdaftar atau dalam kes di mana pendaftaran tidak lengkap, RG mempunyai kuasa untuk mendaftarkan kelahiran tersebut.

Profesor Madya Faishal berkata kuasa tambahan itu penting bagi kebajikan kanak-kanak yang dilahirkan di Singapura.

“Ia memastikan bahawa setiap kanak-kanak diberi identiti sah dan kehadirannya diumumkan kepada agensi-agensi pemerintah lain untuk membolehkan campur tangan atau sokongan pemerintah, jika perlu," jelas beliau.

MELAPORKAN KEMATIAN

Bagi kematian, saudara-mara tidak perlu lagi menyediakan butiran orang yang meninggal dunia itu di pusat pendaftaran.

Sebaliknya, kematian akan didaftarkan secara automatik oleh RG sebaik sahaja pengamal perubatan mengesahkan kematian itu secara online.

Satu makluman digital akan dikirimkan kepada saudara si mati untuk memuat turun sijil kematian digital tersebut, yangh boleh diakses melalui My Legacy, sebuah lelaman yang menyediakan maklumat dan perkhidmatan mengenai urusan selepas kematian.

Kad pengenalan (IC) si mati juga tidak perlu diserahkan kerana ia akan secara automatik dianggap sebagai tidak sah sebaik sahaja kematian didaftarkan. Bagaimanapun, anggota keluarga harus memusnahkan IC itu bagi memastikan ia tidak disalah guna.

Semua kematian mesti dilaporkan kepada pengamal perubatan secepat mungkin. Ini termasuk kematian yang berlaku di atas pesawat, kapal atau kereta api yang dalam perjalanan ke Singapura.

Perubahan pada undang-undang tersebut akan memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk mendaftarkan kematian penduduk setempat, jika mayatnya hancur, tidak boleh dikenalpasti atau tidak dapat ditemui.

Ini dengan syarat Ketua Pendaftar berpuas hati bahawa terdapat bukti yang mencukupi untuk mengenal pasti individu berkenaan dan bahawa kematian itu berlaku di Singapura.

TIADA KOS TAMBAHAN DIKENAKAN

Menjawab soalan Anggota-anggota Parlimen Derrick Goh (PAP-Nee Soon) dan Zhulkarnain Abdul Rahim (PAP-Chua Chu Kang) tentang sama ada proses baru bagi mendaftarkan kematian akan menyebabkan kenaikan yuran memandangkan doktor perlu menyerahkan sijil secara online, Dr Fasihal berkata ICA dan hospital awam tidak akan mengenakan yuran tambahan bagi pendaftaran kematian di bawa proses yang diperkemas.

“Walaupun pemerintah tidak boleh menentukan yuran yang dikenakan oleh hospital privet dan klinik umum yang membuat kunjungan rumah bagi mengesahkan kematian, kami faham bahawa hospital privet dan klinik umum akan terus menggunakan perkhidmatan elektronik ICA yang sama yang telahpun mereka gunakan untuk mengesahkan kematian secara online sekarang ini," ujar Dr Faishal.

"Maka itu, kami tidak menjangkakan kos yang ditanggung oleh hospital privet dan klinik umum akan naik." 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan