Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Parlimen luluskan Rang Undang-Undang tetapkan senarai yuran pemerintah tidak dikenakan cukai

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pemerintah akan menetapkan senarai yuran kawal selia di mana Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak sepatutnya dikenakan selepas Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang pada Selasa (2 Apr).

Rang Undang-Undang GST (Pindaan) akan memberikan kejelasan lebih lanjut mengenai cukai bagi yuran pemerintah dan menangani isu GST yang dikenakan secara salah ke atas 18 yuran yang dibayar kepada enam agensi pemerintah, kata Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua Kewangan Chee Hong Tat semasa beliau membentangkan Rang Undang-Undang itu untuk bacaan kali kedua.
GST biasanya dikenakan ke atas khidmat-khidmat pemerintah. Ini termasuk, sebagai contoh, bayaran untuk penggunaan kemudahan sukan awam atau sewa gerai penjaja.

Dengan berbuat demikian, ia memastikan kesamarataan pada cukai di mana perkhidmatan yang berpotensi disediakan oleh atau menggunakan khidmat luar daripada sektor swasta atau bukan pemerintah tertakluk kepada GST, kata Encik Chee.

18 yuran yang didapati telah dicukai secara salah terdiri daripada yuran permohonan untuk lesen profesional seperti lesen ejen hartanah, pendaftaran Surat Kuasa Berkekalan dan yuran pentadbiran untuk menyewa rumah flat awam.

Memandangkan kebanyakan daripadanya adalah untuk pemprosesan permohonan, dan bukan yuran lesen, agensi-agensi telah tersilap menganggapnya sebagai yuran yang boleh dikenakan cukai, kata pihak berkuasa sebelum ini.

Buat masa ini, agensi-agensi pemerintah boleh menilai dan menentukan apa yang menjadi yuran kawal selia, berdasarkan panduan yang diberikan melalui panduan pemerintah. Tetapi agensi-agensi "mungkin tidak sentiasa jelas bagaimana untuk menentukannya", kata Encik Chee.

APA YANG AKAN DILAKUKAN

Dengan Rang Undang-Undang itu, pemerintah akan menetapkan senarai yuran yang tidak dikenakan cukai, seperti yang dibayar untuk permohonan lesen profesional dan yuran pembaharuan lesen.

Senarai itu juga akan termasuk 18 yuran kawal selia yang akan dibayar balik.

Selaras dengan perubahan pada pendekatan perundangan, MOF dan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) akan bekerja rapat dengan agensi-agensi pemerintah untuk menilai yuran masing-masing, dan bukan setakat membenarkan penilaian sendiri oleh agensi-agensi tersebut.

Encik Chee berkata senarai awal yuran tidak dikenakan cukai akan diterbitkan dalam Warta Pemerintah pada akhir April apabila Rang Undang-Undang itu dikuatkuasakan.

Beliau menambah bahawa MOF sebelum ini telah menyemak semua yuran kawal selia dan yuran sampingan yang mengenakan GST buat masa ini dan ia akan bekerja rapat dengan agensi-agensi pemerintah untuk menyemak baki “lebih 1,700” yuran yang tidak mengenakan GST.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan