Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Parlimen luluskan Rang Undang-undang baru lindungi lebih baik pengambilan anak angkat

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Undang-undang yang melindungi dengan lebih baik kebajikan kanak-kanak yang dijadikan anak angkat diluluskan di Parlimen pada Isnin (9 Mei), sekali gus membuka ruang bagi kriteria kelayakan yang lebih ketat dan perlindungan tambahan seperti keperluan bagi semua orang yang mahu mengambil anak angkat dinilai.

Rang Undang-Undang Pengambilan Anak Angkat itu, yang memansuhkan Akta Pengambilan Anak Angkat 1939 (ACA), juga termasuk lebih banyak langkah kawalselia untuk mencegah "amalan tidak menyenangkan" dalam kalangan agensi pengambilan anak angkat.

Semasa membentangkan bacaan kedua rang undang-undang itu, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) Masagos Zulkifli berkata Akta sedia ada kali terakhir dipinda pada 1985.

Sejak itu, landskap pengambilan anak angkat di Singapura sudah berubah "dengan ketara" termasuk beberapa perekembangan penting.

Pertama, permohonan untuk mengambil anak angkat sudah menjadi "semakin rumit", dengan pihak berkuasa menerima lebih banyak permohonan melibatkan kanak-kanak berkeperluan tinggi manakala orang yang berminat mengambil anak angkat mempunyai isu yang membimbangkan.

Kedua, beberapa kanak-kanak yang mudah terjejas dalam penjagaan pemerintah, yang akan mendapat manfaat dijadikan anak angkat, menghadapi beberapa halangan dalam proses pengambilan tersebut, terutamanya disebabkan bantahan daripada ibu bapa kandung mereka.

Ketiga, pihak berkuasa menerima maklum balas mengenai agensi pengambilan anak angkat komersil yang terlibat dalam "amalan tidak menyenangkan iaitu lebih didorong oleh tarikan kewangan dengan sedikit atau tiada minat terhadap kepentingan kanak-kanak itu, orang yang berminat mengambil anak angkat dan ibu bapa kandung".

"Walaupun MSF sudah menangani amalan yang tidak menyenangkan itu, perundangan diperlukan untuk mencegah hal yang lebih besar", kata Encik Masagos.

"Dengan itu, rang undang-undang ini akan memansuhkan dan menggubal semula ACA dengan peruntukan untuk mentadbir sektor pengambilan anak angkat, amalan dan proses pengambilan di Singapura serta untuk melindungi kebajikan kanak-kanak itu dengan lebih baik."

Sebanyak 14 Anggota Parlimen dan seorang AP Dilantik bangkit berucap mengenai Rang tersebut.

Meskipun mereka menyokong pindaan pada Rang itu, mereka juga menimbulkan keprihatinan tentang isu-isu termasuk kriteria kelayakan serta mutu agensi pengambilan anak angkat.

KELAYAKAN BAKAL IBU BAPA ANGKAT

Para AP bertanya tentang kriteria kelayakan bagi bakal ibu bapa angkat berhubung status kewarganegaraan serta sejarah jenayah.

Akta sedia ada menghendaki pemohon untuk menjadi penduduk di Singapura. Rang Undang-undang baru itu bagaimanapun menjelaskan bahawa pemohon untuk mengambil anak angkat di bawah bidang kuasa Singapura mesti tinggal di Singapura.

Dalam menentukan hal itu, mahkamah yang meluluskan arahan pengambilan anak angkat akan mempertimbangkan berapa lama pemohon sudah tinggal di sesebuah negara, tempat kerja mereka dan asas hubungan sosial dan ekonomi mereka.

Bagi permohonan bersama, sekurang-kurangnya salah seorang pemohon mestilah warga Singapura atau kedua-duanya penduduk tetap (PR) manakala pemohon bersendirian harus warga Singapura atau PR.

Undang-undang itu juga menetapkan bahawa pemohon yang disabitkan dengan jenayah berat tidak boleh mengambil anak anak.

Encik Masagos berkata Rang Undang-undang baru itu menambah baik aturan yang ada sekarang yang bergantung kepada penjaga yang dilantik mahkamah berdasarkan kes demi kes. Senarai jenayah berat termasuk kesalahan berkaitan dengan penderaan seksual, keganasan dan pengambilan dadah.

Bagi kesalahan tidak dalam senarai yang ditetapkan, rekod jenayah pemohon masih akan diambil kira sebagai sebahagian daripada penilaian kesesuaian anak angkat, kata Encik Masagos.

"Lebih lama orang itu bebas jenayah, lebih baik permohonannya," tambah beliau.

KAWAL SELIA AGENSI ANAK ANGKAT

Sebagai sebahagian daripada usaha mewujudkan sistem kawal selia yang kukuh bagi proses pengambilan anak angkat, Rang Undang-undang tersebut akan memerlukan agensi anak angkat untuk menyiarkan makluamt bayaran mereka secara telus dan mengenakan bayaran yang dibenarkan sahaja.

Terdapat juga peraturan baru untuk menghukum sebarang tindakan melibatkan penipuan, paksaan, pengaruh tidak wajar atau cara lain untuk mendapatkan persetujuan bagi dijadikan anak angkat, serta menghalang penerbitan foto dan maklumat kanak-kanak yang dikenal pasti untuk dijadikan anak angkat.

Encik Masagos berkata MSF akan mengkaji lebih lanjut langkah-langkah seperti penubuhan daftar anak angkat.

Namun begitu, semua ibu bapa kandung secara amnya akan tahu identiti ibu bapa angkat anak mereka kerana salinan sijil kelahiran asal anak mereka mesti dikemukakan kepada mahkamah sebagai sebahagian daripada permohonan mengambil anak angkat, katanya.

“Justeru, ibu bapa angkat boleh menjadi titik perhubungan pertama sekiranya anak angkat mereka ingin menghubungi ibu bapa kandung mereka,” katanya.
 

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan