Skip to main content

Singapura

Parlimen luluskan rang undang-undang baharu banteras pengubahan wang haram dalam sektor hartanah SG

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Hukuman dan denda lebih berat untuk membanteras pengubahan wang haram dalam sektor hartanah selepas rang undang-undang baharu diluluskan pada Selasa (8 Apr).

Rang Undang-Undang Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Perkara Lain (Ejen Hartanah dan Pemaju) akan, antara lain, mengenakan hukuman dan denda lebih berat ke atas agensi hartanah dan ejen mereka atas dasar "setiap kesalahan yang dilakukan", dan bukan berdasarkan "setiap kes".

Ini sekiranya mereka melanggar mana-mana undang-undang atau peruntukan kod amalan, etika dan tingkah laku yang berkaitan dengan pengubahan wang haram atau pembiayaan pengganasan.

Pengukuhan rangka kerja hukuman dan denda akan menguatkan lagi kesan pencegahan rejim semasa, kata Menteri Kedua Pembangunan Negara Indranee Rajah.

"Dalam sektor hartanah, ejen hartanah, jurujual dan pemaju memainkan peranan penting dalam mengesan dan mencegah aktiviti haram, bersama institusi kewangan, peguam dan entiti penguatkuasaan undang-undang," kata Cik Indranee.

"Rang Undang-Undang ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk memperkukuh keupayaan kami untuk mengesan dan menghalang aktiviti-aktiviti haram dalam sektor hartanah, sekali gus mengukuhkan komitmen kami untuk membanteras pengubahan wang haram hasil jenayah dan pembiayaan aktiviti haram melalui Singapura," tambahnya lagi.

LEBIH BANYAK PENCEGAHAN DIPERLUKAN

Walaupun Singapura telah membangunkan rangka kerja pengurusan risiko yang teguh untuk sektor hartanah, Cik Indranee berkata bahawa rangka kerja hukuman sedia ada, yang membolehkan denda dikenakan pada dasar "setiap kes" tidak memberikan "pencegahan yang mencukupi".

Ini kerana faedah kewangan yang mungkin diperoleh oleh agensi dan ejen hartanah untuk memudahkan urus niaga haram mungkin jauh lebih tinggi daripada denda maksimum S$200,000 ke atas agensi, atau S$100,000 terhadap ejen hartanah, katanya.

Di bawah langkah baharu itu, agensi dan ejen hartanah yang melakukan kesalahan kini akan dikenakan denda maksimum sehingga S$5,000 bagi setiap kesalahan di bawah rejim teguran Majlis Agensi Hartanah (CEA).

Ejen dan agensi hartanah yang melakukan kesalahan yang lebih serius mungkin dikenakan tindakan disiplin di hadapan Jawatankuasa Disiplin, yang merupakan sebuah tribunal bebas yang terdiri daripada para anggota panel disiplin CEA.

Buat masa ini, jawatankuasa itu boleh mengenakan hukuman dan denda sehingga S$200,000 bagi setiap kes ke atas agensi hartanah atau S$100,000 "setiap kes" ke atas ejen hartanah. Di bawah pindaan yang diusulkan, had tersebut kini akan digunakan atas dasar "setiap kesalahan yang dilakukan".

Langkah-langkah lain sebagai sebahagian daripada rang undang-undang baharu itu termasuk mewajibkan agensi hartanah dan ejen mereka untuk menjalankan langkah usaha wajar ke atas "rakan niaga yang tidak diwakili", bukan hanya pada pelanggan mereka sahaja.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita