Parlimen luluskan pindaan terhadap usul seru ekonomi SG lebih saksama dan inklusif
Parlimen pada Rabu (5 Ogos) menyokong usul pindaan yang menyeru ekonomi yang lebih saksama dan inklusif di Singapura untuk syarikat-syarikat tempatan dan perusahaan global.
Bangunan Parlimen Singapura. (Gambar fail: CNA/Syamil Sapari)
Usul asal yang dibentangkan Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP) Kenneth Tiong (WP-Aljunied) dan Jamus Lim (WP-Sengkang) menggesa pembentukan sebuah ekonomi masa hadapan yang memberi manfaat kepada semua rakyat Singapura, selain menggariskan visi parti pembangkang tersebut serta pelan tindakan ekonominya.
Encik Edward Chia (PAP-Holland-Bukit Timah) kemudian mencadangkan pindaan terhadap usulan itu bagi mencerminkan aspirasi usul tersebut selaras dengan Semakan Strategi Ekonomi (ESR) pemerintah, dan bukan dilaksanakan secara berasingan, di samping mengiktiraf peranan perusahaan global dalam ekonomi masa hadapan Singapura.
Versi terakhir usul itu menyatakan bahawa "Dewan ini, selaras dengan saranan Semakan Strategi Ekonomi berhubung ekonomi masa hadapan Singapura, percaya kepada sebuah ekonomi yang lebih saksama dan inklusif, dengan peluang untuk para usahawan mencuba idea baharu, isi rumah dan perniagaan mencapai kejayaan, pekerja terus berkembang maju, serta idea dan inovasi untuk terus berkembang; dan kepada sebuah ekonomi yang dipacu syarikat tempatan yang dinamik, perusahaan global, permintaan domestik dan luaran yang sihat, serta rakyat Singapura dan modal Singapura yang berkembang ke luar negara."
Usul itu diluluskan selepas perbahasan selama sembilan jam yang menyaksikan 24 AP berucap, termasuk empat pemegang jawatan politik dan sembilan AP WP.
Kesemua 12 AP pembangkang akhirnya mengundi untuk menolak pindaan yang menyelaraskan usul tersebut dengan ESR, selain mengundi untuk menolak usul yang telah dipinda itu secara keseluruhan.
AP Dilantik yang hadir di Dewan mengundi untuk menyokong sepenuhnya usul yang dipinda itu, dengan lima daripada mereka mengambil bahagian dalam perbahasan tersebut.
USUL YANG DIPINDA
Semasa membahaskannya, Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga dan Perusahaan) Tan See Leng berkata usul yang dipinda itu "merangkumi gabungan lengkap yang diperlukan Singapura".
“Semua ini saling melengkapi sebagai satu strategi ekonomi yang menyeluruh,” kata beliau sambil menggunakan satu pepatah Cina bagi menggambarkan bahawa masa yang tepat, peluang, tempat dan manusia sering dianggap sebagai unsur penting dalam mencapai kejayaan.
Dr Tan berkata pemerintah akan memainkan peranannya untuk mengekalkan ekonomi yang terbuka dan dipercayai, melabur bagi jangka panjang, merapatkan jurang sebenar dari segi keupayaan, pembiayaan dan akses pasaran, serta membantu para pekerja membuat persediaan untuk menghadapi perubahan.
“Pihak-pihak lain juga perlu memainkan peranan masing-masing. Perniagaan perlu berubah dan melabur dalam pembangunan tenaga kerja, pekerja perlu terus meningkatkan kemahiran, pelabur perlu mengambil risiko berasaskan pertimbangan, dan usahawan perlu membina, bersaing, bertahan serta memikul tanggungjawab,” kata beliau.
Walaupun pemerintah “tidak dapat menjamin setiap usaha akan berjaya, setiap pekerjaan akan kekal sama, atau setiap peralihan akan berjalan dengan lancar”, ia boleh memastikan “Singapura kekal sebagai sebuah negara di mana setiap individu mempunyai peluang yang adil untuk mencuba, peluang untuk terus maju, serta sokongan untuk bangkit semula selepas mengalami kegagalan”, kata Dr Tan.
“Kejayaan Singapura yang kita cintai tidak pernah terjamin. Setiap generasi perlu membinanya dengan terus bersikap terbuka, belajar dengan lebih pantas, mengambil risiko yang diperhitungkan, dan bersatu apabila berdepan kesukaran,” kata beliau.
“Babak seterusnya memerlukan semangat yang sama. Ekonomi masa hadapan tidak akan dipacu oleh satu jenis syarikat, satu sumber permintaan atau satu program pemerintah sahaja. Ia akan dipacu oleh semua rakyat Singapura yang berupaya membina, memimpin, memiliki, berinovasi, menyesuaikan diri dan terus berkembang.”
“Begitulah cara kita menjamin masa depan yang terbaik untuk Singapura. Dan begitulah cara kita memastikan ekonomi masa hadapan Singapura benar-benar memberi manfaat kepada semua rakyat Singapura.”
Dalam ucapan penutupnya, Encik Tiong menjelaskan mengapa WP tidak dapat menerima pindaan pertama daripada empat pindaan yang dicadangkan Encik Chia.
Pindaan itu menggantikan frasa “walau apa pun saranan” ESR kepada “selaras dengan” saranan ESR.
Menurut Encik Tiong, ESR “tidak mempunyai penilaian prestasi dan sasaran yang mencukupi”, sambil menambah bahawa sehingga kini tiada laporan penilaian menyeluruh pernah diterbitkan bagi mana-mana pelan tindakan ekonomi pemerintah PAP sebelum ini.
“Bezakan retorik berhubung janji yang ditunaikan daripada hasil yang boleh diukur. Tanpa penilaian, konsistensi tidak dapat dibezakan daripada pengulangan. Sudah tentu, di sebalik segala ketidaktentuan, kita boleh menetapkan sasaran makroekonomi selain pertumbuhan keseluruhan yang boleh kita ikrarkan,” kata beliau.
Encik Tiong berkata para AP yang menyokong semakan itu kerana mereka mahukan ekonomi yang lebih saksama dan inklusif serta sebuah ekonomi yang dipacu syarikat tempatan yang dinamik, sebenarnya sudahpun bersetuju dengan usul asal WP.
“Itulah matlamat yang ingin dicapai menerusi semakan tersebut. Mengundi untuk menyokong usul ini hanya menyatakan perkara tersebut, dan tidak lebih daripada itu. Ia tidak mengkritik semakan tersebut dan tidak mengikat sesiapa kepada cadangan kami,” kata Encik Tiong.
“Usul kami meminta Dewan ini untuk memberi komitmen dari segi prinsip. Pindaan itu pula meminta Dewan ini untuk memberikan komitmen kepada satu pelan pelaksanaan."
PERSAMAAN DAN PERBEZAAN PENDIRIAN
Dalam ucapannya, Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua Kewangan Jeffrey Siow, yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa ESR berhubung daya saing global, berkata beliau "bersetuju dengan beberapa idea ekonomi Parti Pekerja", termasuk cara untuk menyokong syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) serta syarikat pemula dengan lebih baik, selain membina asas syarikat tempatan yang lebih kukuh.
“Matlamat-matlamat ini tidak dipertikaikan, dan laporan ESR menggariskan cadangan khusus, sama ada untuk sokongan yang lebih meluas bagi pengembangan ke luar negara atau memupuk generasi baharu perusahaan global Singapura,” kata beliau.
“Walaupun kita boleh berbahas mengenai perinciannya, ia jelas bahawa cadangan Parti Pekerja bukanlah satu pelan tindakan ekonomi yang berbeza. Sebaliknya, ia amat selaras dengan hala tuju ESR. Jadi, kita mempunyai banyak persamaan.”
Namun, menurut Encik Siow, satu perbezaan yang ketara antara kedua-dua parti ialah cara mereka memahami model ekonomi Singapura.
“Daripada ucapan-ucapan yang saya dengar, Parti Pekerja nampaknya berpendapat model ekonomi Singapura tidak seimbang dan perlu dirombak secara menyeluruh. Mereka menggambarkan Singapura sebagai sebuah negara di mana syarikat-syarikat berbilang negara (MNC) mencipta kekayaan, manakala SME pula seolah-olah diketepikan, dan rakyat Singapura hanya menikmati manfaatnya menerusi pengagihan semula,” kata beliau.
“Saya tidak bersetuju dengan gambaran tersebut. Ini bukan sekadar perbezaan pandangan akademik, tetapi sesuatu yang penting dalam menentukan dasar yang akan kita laksanakan. Jika diagnosis atau andaian asal itu salah, penyelesaian yang dicadangkan akan membawa kita ke arah yang salah. Penawar yang salah mungkin mendatangkan lebih banyak kemudaratan daripada manfaat.”
Beliau turut merujuk kepada kenyataan Encik Tiong bahawa pemerintah mengamalkan model penetapan harga tanah universal, sambil mengatakan bahawa perkara itu “tidak benar sama sekali”.
Dalam ucapannya, AP WP itu berkata pemerintah menggunakan pendekatan sedemikian dalam menetapkan harga tanah, dan menggesa supaya nilai pasaran tanah tidak lagi dianggap sebagai harga semula jadi bagi setiap penggunaan tanah yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Berhubung perkara tersebut, Encik Siow berkata rangka kerja Singapura sememangnya membezakan harga tanah mengikut nilai pasaran yang adil berdasarkan tujuan penggunaannya, seperti bagi perumahan, komersial, perindustrian, kemasyarakatan, pendidikan atau keagamaan.
“Kita boleh berbahas sama ada rangka kerja sedia ada cukup fleksibel, dan sama ada terdapat keperluan untuk mengadakan lebih banyak perbezaan dalam penetapan harga. Namun, itu berbeza daripada mengatakan bahawa rangka kerja sedia ada mempunyai kelemahan asas. Sebaliknya, rangka kerja yang jelas dan telus ini memastikan sumber tanah kita yang terhad diuruskan secara bertanggungjawab,” kata beliau.
Sebagai respons, Encik Tiong membangkitkan ketiadaan sasaran yang boleh diukur dalam semakan ekonomi pemerintah sebelum ini, sambil menambah bahawa pemerintah “mungkin semakin kurang berasa selesa untuk dinilai”.
Beliau berkata walaupun laporan ESR memperkenalkan isu kecerdasan buatan (AI), ia hanyalah satu “faktor luaran baharu yang perlu ditangani semua negara”.
“Menambah babak baharu dan beberapa perubahan kepada pelan tindakan sedia ada tidak menjadikannya satu pelan tindakan baharu,” tambah beliau.
Encik Tiong berkata pemerintah juga tidak memberikan perincian mengenai sasaran ekonomi seterusnya selain sasaran pertumbuhan secara keseluruhan.
“Pemerintah mahu kita bertindak pantas apabila isyarat amaran pemantauan dicetuskan. Laporan semakan itu sendiri menyebutkan perkara tersebut berkaitan AI dan pekerja. Ia mengesyorkan supaya kesannya dipantau dengan teliti dan agar dasar-dasar diselaraskan apabila perlu,” kata Encik Tiong sambil menambah bahawa kebolehan untuk bertindak pantas merupakan jangkaan asas terhadap mana-mana pemerintah.
Menjawab perkara tersebut, Encik Siow berkata beliau tidak mendengar satu “idea besar” daripada AP WP yang boleh menggantikan ESR sepanjang perbahasan pada Rabu.
“Hakikatnya, saya melihat idea Parti Pekerja banyak membina daripada apa yang telah disyorkan ESR. Malah, Encik Tiong sendiri, semasa satu sidang media, berkata mereka hanya mengisi jurang dalam perkara-perkara yang telah digariskan ESR,” kata menteri itu.
Beliau berkata kedua-dua pihak sebenarnya berusaha ke arah matlamat dan objektif yang sama, kecuali beberapa perbezaan dari segi perincian.
“Yang paling penting, kita kini berada dalam dunia yang sangat mencabar, di mana persaingan luar telah menjadi semakin sengit. Saya fikir lebih baik kita mencari titik persamaan, perkara yang kita sehaluan dan perkara yang membolehkan Dewan ini menunjukkan kesepakatan kepada rakyat Singapura,” kata beliau.
“Lebih baik kita bergerak ke hadapan bersama-sama daripada mencari perbezaan yang mungkin sebenarnya tidak wujud, dan cuba mewujudkan jurang yang sebenarnya tiada.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.